07/07/2025
https://www.facebook.com/share/p/1BNyPHZqB5/?mibextid=wwXIfr
SATU JAJARAN UTAMA JALAN SABAH–INDONESIA DICADANGKAN, KERJA UKUR SEDANG DIJALANKAN
KOTA KINABALU; 7 JULAI 2025 (Isnin) – Sabah dijangka bakal mempunyai satu jajaran utama jalan darat yang menghubungkan negeri ini terus ke Kalimantan, Indonesia apabila projek jalan baharu dari Kalabakan ke sempadan Malaysia–Indonesia (Simanggaris) direalisasikan kelak.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya,dalam jawapan lisan kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof @ Josree Yacob di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini, memaklumkan bahawa jajaran utama tersebut merupakan projek strategik yang melibatkan pembinaan jalan sepanjang 28 kilometer dari Kalabakan ke sempadan, termasuk satu laluan spur road sepanjang 20 kilometer yang menghubungkan ke Kampung Serudong Laut.
“Projek ini kini berada di peringkat Kajian Awalan dan Rekabentuk yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3, RMKe-12),kerja-kerja awal seperti ukur tanah, utility mapping, dan penyiasatan geoteknikal sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan jajaran ini penting memandangkan Indonesia telah memulakan proses pemindahan pentadbiran ke Ibu Negara Baharu Nusantara (IKN), yang terletak di Kalimantan Timur.
Dalam masa yang sama, satu lagi projek berasingan turut sedang dirancang iaitu pembinaan jalan dari Pekan Pagalungan ke Pekan Sempadan Bantul di Daerah Pensiangan, Sabah.
Projek ini diluluskan di bawah program Jalan Luar Bandar (JALB), Rolling Plan 3 RMKe-12, dengan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Projek jalan ke Bantul kini berada dalam fasa proses perolehan,” tambah beliau.
Pembinaan jajaran-jajaran ini dijangka bukan sahaja mengukuhkan jaringan hubungan darat rentas sempadan, malah berpotensi membuka peluang besar dari segi ekonomi, perdagangan dan pelaburan strategik antara Sabah dan Kalimantan dalam era Nusantara sebagai pusat pentadbiran baharu Indonesia.