27/02/2020
27 Februari 2020 | Khamis
KENYATAAN MEDIA
KERAJAAN NEGERI KEDAH
1. Adalah dimaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah menyatakan sokongan kepada saya untuk kekal sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman.
2. ADUN PH dan BERSATU juga sepakat bersetuju supaya Kerajaan Negeri Kedah dikekalkan. Kerajaan Negeri hari ini adalah gandingan PH dan BERSATU. Kesepakatan ini menjamin urusan Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa.
3. Sebentar tadi, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman di Wisma Darul Aman.
4. Duli Tuanku berkenan mendengar penjelasan mengenai situasi semasa politik negara dan negeri. Dalam masa yang sama, saya telah mempersembahkan warkah penzahiran sokongan terhadap saya daripada 18 ADUN PH dan BERSATU kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
5. Alhamdulillah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan menerima warkah tersebut dan memperkenankan agar saya terus memegang jawatan Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman.
6. Sehubungan itu, kami, Kerajaan Negeri Kedah, meminta rakyat supaya meletakkan kepercayaan kepada kemampuan pentadbiran ini untuk menjalankan tanggungjawab berkhidmat demi negeri dan rakyat.
7. Kami juga berharap rakyat bertenang dan bersikap rasional kerana pentadbiran kerajaan di Kedah tidak terjejas oleh perkembangan di peringkat pusat. Kita mendoakan pemilihan kepimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan akan diselesaikan dengan baik, inshaa Allah.
Dato’ Seri Utama Hj. Mukhriz Tun Mahathir
Menteri Besar Kedah Darul Aman