05/08/2025
Bayar Tapi Kena Lelong – Dato' Dr Kalaivanar Bongkar Skandal Bank, Desak Henti Penipuan Sistematik Ke Atas Rakyat
KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2025 – Seorang warga emas berusia 69 tahun, K**a a/p Marugan, mendakwa menjadi mangsa penipuan sistematik bank setelah kediaman miliknya di Taman Dagang, Ampang dilelong meskipun beliau masih membuat bayaran bulanan secara konsisten.
Perkara ini dibongkar oleh Aktivis Sosial terkenal, Datuk Dr. Kalaivanar, yang turut hadir menemani mangsa dalam satu sidang media pagi tadi. Menurutnya, rumah tersebut dibeli pada tahun 1986 dengan harga RM75,000 dan dibiayai menerusi pinjaman sebanyak RM61,000 daripada sebuah bank tempatan ketika itu.
“Sepatutnya pinjaman rumah ini sudah selesai sejak lebih 20 tahun lalu. Suami mangsa, mendiang Anbalagan, telah meninggal dunia pada tahun 2010 dan selepas itu beliau meneruskan bayaran bulanan tanpa gagal. Tapi kini, pada tahun 2025, rumah ini p**a dilelong kononnya atas alasan tunggakan,” jelas Datuk Dr. Kalaivanar.
Tambah beliau, bank dikatakan enggan memberikan penyata lengkap walaupun mangsa beberapa kali hadir sendiri untuk mendapatkan penjelasan. Malah, usaha untuk bertemu pegawai bank seringkali dihalang oleh polis bantuan.
“Kita lihat satu muslihat besar berlaku di sini. Penyata tidak diberi, bayaran tetap diterima, tetapi rumah tetap dilelong. Ini bukan lagi salah faham teknikal – ini berbau penipuan terancang,” katanya tegas.
Apa yang lebih membingungkan, menurut Datuk Dr. Kalaivanar, wang insurans sebanyak RM10,400 serta caruman KWSP mendiang suami berjumlah RM20,000 juga telah diambil bank, namun pinjaman dikatakan belum selesai.
“Bagaimana sebuah pinjaman rumah boleh berlarutan selama 39 tahun? Bila ditanya, pihak bank sendiri seolah-olah tidak tahu bahawa suami mangsa telah meninggal dunia walaupun makluman dan dokumen berkaitan telah diserahkan,” katanya sambil mendesak agar Menteri Kewangan dan Bank Negara segera campur tangan.
Difahamkan, satu laporan polis akan dibuat oleh pihak aktivis pada keesokan hari bagi mendapatkan semula semua penyata pembayaran sejak tahun 1986 serta membantah proses lelongan yang sedang berjalan.
Kes ini membuka semula perdebatan tentang hak pengguna dalam sistem perbankan dan keperluan reformasi terhadap tatacara pemberian dan pengurusan pinjaman perumahan, terutama yang melibatkan golongan warga emas.
Datuk Dr. Kalaivanar turut menyeru para netizen, media serta pihak berkuasa agar tampil membongkar lebih banyak kes sebegini dan tidak membiarkan warga emas dizalimi oleh sistem yang longgar dan tidak telus.
**a