23/10/2023
Sumber Buletin TV3
Oleh: Afrina Romzi
PETALING JAYA: Malaysia perlu memperkenalkan semula had minimum dalam Dasar Pertukaran Asing untuk mewajibkan pengeksport menukarkan sebahagian hasil mereka kepada ringgit.
Ini sebagai langkah mengukuhkan ringgit yang kini jatuh ke paras terendah sejak 1998.
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata pada 2016, pengeksport perlu menukarkan 75 peratus hasil dijana kepada ringgit.
Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan liberalisasi Dasar Pertukaran Asing pada 2021, yang memberi lebih fleksibiliti kepada perniagaan.
“Setakat ini cuma 60 hingga 70 peratus sahaja daripada jumlah eksport itu ditukarkan kepada mata wang ringgit. Jadi mungkin sudah tiba masanya kita memperkenalkan semula supaya pengeksport menukar hasil eksport mereka dalam ringgit dalam jangka masa enam bulan atau tempoh masa tertentu,” katanya kepada BuletinTV3.
Tambah beliau, Imbangan Akaun Semasa (CAB) negara telah mencecah RM1.5 trilion sepanjang 24 tahun sejak 1998 dan lebihan ini sepatutnya diterjemahkan kepada aliran wang tunai masuk hasil permintaan terhadap ringgit.
Selain itu, kebergantungan terhadap dolar Amerika perlu dikurangkan dengan menggunakan mata wang tempatan dalam perdagangan.
Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) perlu diperluaskan selain China, Indonesia dan Thailand.
“Adalah diharapkan agar (rangka kerja) ini dapat diluaskan lagi kepada negara-negara ASEAN lain dan kepada negara-negara yang berdangang dengan Malaysia. Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat sebagai mata wang perdagangan,” katanya.
Tambah beliau, penyusutan ringgit ketika ini susulan prestasi dolar Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh berikutan perang di Asia Barat, yang menyebabkan pelabur beralih kepada mata wang selamat.
Ini selain kesan daripada kadar faedah tinggi AS pada 5.25 hingga 5.50 peratus berbanding Malaysia pada tiga peratus.