14/09/2026
KUALA LUMPUR, 14 Sep - PAS mempersoalkan saranan Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri gabungan SG4 dijadikan medan menguji keikhlasan kerjasama politik, dengan mendakwa UMNO sendiri belum pernah melepaskan kerusinya kepada parti itu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keikhlasan PAS tidak perlu diuji kerana kerjasama sebelum ini hanya membabitkan sokongan undi tanpa agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Suruh Tok Mat beritahu PAS, kerusi mana milik UMNO yang sudah dilepaskan kepada PAS di Johor dan Negeri Sembilan atau di Melaka nanti.
"Kalau tiada satupun kerusi milik UMNO yang diberi kepada PAS, kenapa nak uji keikhlasan PAS di negeri lain? Kerana keikhlasan UMNO setakat ini hanyalah pertahan apa yang mereka ada.
"Berebut p**a di kawasan yang belum dimiliki membabitkan kerusi Pakatan Harapan (PH) dan kerusi bukan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau berkata demikian susulan cadangan Mohamad supaya PRN di salah sebuah negeri SG4, khususnya Terengganu, dijadikan ujian bagi membuktikan sama ada kerjasama atas nama penyatuan ummah Melayu benar-benar ikhlas atau hanya menguntungkan satu pihak.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan PRN di Terengganu kerana pentadbiran negeri itu berada dalam keadaan stabil.
“Selagi tiada keperluan mendesak, rakyat tidak perlu dibebankan dengan tekanan politik dan kos bagi menghadapi PRN,” katanya.
Sumber : Berita Harian
| | | |