12/06/2025
Karbaid dipercayai punca letupan kuat di kedai buah
Ruwaida Md Zain
[email protected]
Klang: Orang ramai dikejutkan dengan bunyi letupan kuat yang merosakkan kedai buah-buahan malah serpihan akibat letupan terkena kenderaan dan masjid berhampiran di Jalan Gudang Nenas, Bandar Baru Klang, di sini petang tadi.
Akibat letupan berkenaan, buah-buahan bertaburan dan barang-barang niaga berselerak malah ada bumbung gerai tercabut dan tercampak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.21 petang tadi.
"Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati kejadian letupan itu berlaku di bahagian belakang sebuah kedai buah-buahan.
"Impak daripada letupan, berlaku runtuhan pada struktur dinding pejabat kedai buah dan terdapat enam kereta yang sedang parkir di Masjid Bandar Diraja Klang yang terletak berhampiran turut terkesan.
"Bagaimanapun kejadian ini tidak membabitkan orang awam. Siasatan awal mendapati, (bahan yang meletup adalah) karbaid untuk mempercepat buah masak, tetapi bomba masih menjalankan siasatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebentar lagi.
Artikel : Harian Metro