03/09/2026
4 remaja lemas: Keluarga berharap jasad Muhammad Adib ditemukan hari ini
KOTA TINGGI, 3 Sept: “Kami berdoa jasadnya ditemukan hari ini dalam apa juga keadaan,” luah abang kepada seorang daripada empat remaja yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Penawar, di sini semalam.
Muhammad Azril Haziq Kamal, 23, berkata keluarganya amat berharap adiknya, Muhammad Adib Hafiy Kamal, 16, ditemukan hari ini supaya jasadnya dapat dibawa p**ang untuk disemadikan.
“Pada awalnya apabila mendapat tahu adik saya lemas, saya marah. Bukan sedih tetapi geram kerana memikirkan mengapa dia pergi mandi dan siapa yang mengajaknya.
“Namun, semakin lama dicari dan tidak ditemukan, perasaan itu berubah. Kami mula reda dan berharap dia ditemukan hari ini.
“Sekurang-kurangnya kami dapat bawa dia p**ang. Kami tidak mahu setiap kali datang ke sini, kami masih tertanya-tanya dan terus berharap,” katanya ketika ditemui pemberita di pos kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Tanjung Lompat, di sini hari ini.
Muhammad Azril Haziq berkata Muhammad Adib, anak ketiga daripada lima beradik, tidak menunjukkan sebarang perubahan atau tanda pelik sebelum kejadian, malah sempat meluangkan masa bersama keluarga beberapa hari lalu.
Katanya, kali terakhir dia bertemu adiknya itu adalah pada malam sambutan Hari Kebangsaan, Ahad lalu, ketika seluruh keluarga berkumpul di rumah mereka di Felda Simpang Waha, di sini.
“Tiada tanda-tanda pelik. Dia ada beritahu atuk dan nenek yang mahu pergi berkhemah, buat aktiviti bakar-bakar dan makan bersama kawan-kawan.
“Atuk dan nenek juga sudah berpesan supaya jangan mandi, tetapi biasalah budak-budak. Mungkin dia rasa mahu mencuba,” katanya.
Semalam, media melaporkan empat remaja dikhuatiri lemas manakala dua lagi berjaya diselamatkan selepas mandi di pantai berkenaan kira-kira 7.30 pagi.
Mayat mangsa pertama, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, 16, ditemukan pasukan SAR dengan bantuan penduduk kampung pada 1.25 petang, kira-kira 800 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Tiga lagi mangsa yang masih belum ditemukan ialah Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, semuanya berusia 16 tahun.
Operasi SAR diteruskan hari ini dengan penglibatan 41 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
MyJohor