06/07/2025
Bukan pembangkang tak agresif. Faktanya ialah dalam situasi sekarang, sebelah kaki kita bertindak sebagai pembangkang dan sebelah kaki lagi berfungsi sebagai kerajaan.
Setiap teguran kita kepada Kerajaan Pusat, kita mesti kemukakan langkah solusi dari Kerajaan Negeri. Barulah ia menjadi teguran yang membina dan kondusif.
Contohnya, kita tegur kerajaan dalam isu beras tempatan. Dalam masa yang sama kita bentangkan kepada rakyat langkah-langkah yang telah diambil Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi seperti peningkatan infrastruktur pengairan, jalan pertanian, pembinaan empangan, penyelenggaraan pintu air, peningkatan kesuburan tanah dan lain-lain.
Kita minta Kerajaan Persekutuan selesaikan isu lesen nelayan. Dalam masa yang sama nelayan yang diberi lesen turun kelaut nak tangkap ikan. Maka Kerajaan Negeri buat pelbagai usaha untuk memperkayakan sumber perikanan. Barulah seimbang antara pemberian lesen nelayan dan peningkatan jumlah tangkapan.
Kita sedar nelayan Terengganu terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain kerana isu infrastruktur pelabuhan dan jeti pendaratan. Maka kita usaha cari bajet untuk baik pulih dan naik taraf jeti yang dibawah selian LKIM. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga membina jeti-jeti baru untuk kemudahan para nelayan.
Jalan-jalan pertanian yang teruk, kita cari bajet dari Kumpulan Wang Amanah Jalan dari Persekutuan untuk naik taraf. Bajet negeri juga kita peruntukan untuk tujuan yang sama.
Kalau boleh saya katakan, zaman sekarang rakyat dambakan politik solusi atau politik penyelesaian dan bukan lagi politik gema yang berdegar-degar. Rakyat mengimpikan untuk menjalani hidup dengan tenang dan tenteram. Bagaimana kita sebagai pemimpin yang diberikan amanah boleh berperanan untuk mewujudkan ketenteraman dan kedamaian ini.
Dr Azman Ibrahim