29/05/2026
Panggilan telefon dijawab tanpa suara, mayat membengkak ditemui dalam kereta berkunci
GEORGETOWN: Seorang lelaki ditemui maut di dalam sebuah kereta berkunci yang parkir di kawasan bertentangan kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Jalan Sungai Dua, di sini, hari ini.
Mayat berkenaan dijumpai dalam keadaan sudah membengkak dan dipercayai berada di dalam kereta terbabit sejak beberapa hari lalu.
Mangsa berusia 37 tahun itu ditemui selepas orang ramai di kawasan berkenaan mengadu terhidu bau busuk dari kereta terbabit.
Pasukan bomba kemudian berjaya membuka pintu kereta berkunci itu sebelum mendapati mangsa terkulai di tempat duduk pemandu dengan tubuhnya sudah membengkak.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Shahrunnizam Kamar Bashah, berkata terdahulu pasukannya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari membabitkan sebuah kereta berkunci.
"Sebaik saja berjaya membuka pintu kereta yang berkunci itu, pasukan menjumpai mayat mangsa yang sudah membengkak," katanya sambil memaklumkan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang pembantu kedai di lokasi terbabit yang enggan namanya disiarkan, memaklumkan kereta mangsa dilihat parkir di situ sejak beberapa hari lalu.
"Saya melihat kereta itu berada di situ sejak beberapa hari lalu, namun tidak nampak ada sesiapa di dalam ataupun sekitar kenderaan terbabit," katanya.
Dalam pada itu, isteri mangsa berusia 30-an kemudian hadir ke lokasi untuk membuat pengecaman mayat.
Ketika ditemui, wanita itu menceritakan detik-detik akhir sebelum suaminya dilaporkan hilang - panggilan lewat malam yang hanya dijawab tanpa suara.
Beliau berkata, suaminya yang menghidap penyakit kencing manis, telah melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur pada Rabu lalu atas urusan kerja dan sepatutnya pulang ke Pulau Pinang pada Sabtu.
Selepas tiba di Pulau Pinang, wanita itu berkata, suami memberitahunya bahawa beliau perlu singgah di pejabatnya di Bayan Baru terlebih dahulu.
"Antara jam 11 malam hingga tengah malam, saya menghubungi suami semula selepas dia tidak pulang, namun tiada jawapan.
"Saya semakin bimbang apabila masih gagal menghubungi suami pada keesokan hari," katanya sambil memaklumkan bahawa beliau kemudian tampil membuat laporan polis.
Katanya, beliau kemudian dihubungi polis pada tengah hari tadi bagi memaklumkan mayat suaminya dijumpai di dalam kereta yang parkir bertentangan kampus USM.
"Saya terus bergegas ke sini dan perasaan amat bimbang saya menjadi kenyataan apabila melihat tubuhnya terkulai di dalam kereta," katanya.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua anak.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 11.47 pagi tadi berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, mangsa warga tempatan berasal dari Ayer Itam itu ditemui dalam keadaan berpakaian kemas dan terbaring di tempat duduk pemandu kereta milik isterinya yang dikunci dari dalam.
"Hasil siasatan pada badan mangsa dan kawasan sekitar mendapati tiada sebarang unsur jenayah," katanya dalam satu kenyataan.
Swee Sake berkata, polis menganggarkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum mayatnya dijumpai.
Beliau berkata, mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, untuk bedah siasat.
Setakat ini, katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Oleh Audrey Dermawan
Mei 29, 2026 @ 7:14pm
Kredit➡️ Berita Harian