07/09/2026
Satu fakta yang cukup membimbangkan ialah Malaysia kini bergantung kepada import bagi menampung hampir 50% daripada keperluan beras negara.
Angka ini bukan sekadar statistik di atas kertas, tapi satu risiko keselamatan negara (food security) yang sangat tinggi.
Bayangkan jika berlaku krisis geopolitik, bencana alam, atau sekatan eksport dari negara pembekal utama, adakah kita bersedia?
Sebuah negara yang benar-benar berdaulat bukan sahaja merdeka dari segi lipatan sejarah, tetapi juga berupaya membekalkan keperluan asas dan makanan ruji rakyatnya sendiri tanpa perlu 'mengemis' dari luar.
Di mana silapnya?
Tanah kita subur dan kawasan tanaman padi luas, tetapi potensi sebenar masih terhalang.
Petani tempatan yang menjadi benteng barisan hadapan sekuriti makanan terpaksa berdepan pelbagai karenah birokrasi, isu subsidi, kos input pertanian yang melambung, dan pengurangan berat kasar padi yang membebankan.
Bila hasil tak sepadan dengan usaha dan bebanan yang ditanggung, makin kurang generasi muda mahu menyambung legasi penanaman padi.
Sudah tiba masanya sistem dan polisi industri padi serta beras negara dirombak secara komprehensif.
Kebajikan petani mesti diutamakan, birokrasi wajib dipermudahkan, dan kartel juga perlu dihapuskan.