24/07/2025
Thailand–Kemboja: Siapa Main Api, Siapa Terbakar
Sejak pagi harini 24 Julai 2025, sempadan Thailand dan Kemboja bertukar jadi medan tempur.
Tentera Kemboja yang mula mula melancarkan serangan roket dan artileri ke beberapa kawasan di wilayah Thai. Kampung sempadan, stesen minyak, pos kawalan. Sekurang-kurangnya seorang awam maut, tujuh anggota tentera cedera.
Thailand terus balas. Enam jet F‑16 diarah naik ke udara. Dua lokasi tentera Kemboja dibedil. Sempadan terus ditutup, ribuan penduduk mula dipindahkan. Media Thai sahkan pertempuran berlaku di sekurang-kurangnya enam titik panas.
Apa yang berlaku bukan baru.
Ia episod lama yang tak pernah selesai. Kuil Preah Vihear, kawasan sekitarnya, dan ego dua negara terus menghantui rantau ini. Mahkamah Antarabangsa pernah isytihar kuil itu milik Kemboja, tapi kawasan kelilingnya kekal kelabu. Sengketa ini berjalan senyap sejak era kolonial lagi.
Hari ini, sejarah yang kita tak pernah jinakkan kembali menyalak. Kemboja kata tentera Thai ceroboh kawasan suci. Thailand kata Kemboja mula tembak dulu.
Yang pasti, peluru tak pernah tanya siapa betul. Ia cuma meletup.
Dan dalam semua ini, ASEAN masih mencari suara. Mungkin sedang bermesyuarat, atau masih menunggu kenyataan bersama.
Malaysia kini pengerusi ASEAN.Perdana Menteri kita, Anwar Ibrahim, adalah wajah rasmi rantau ini.
Bukan tugas mudah. Tapi dalam saat begini, dunia sedang menunggu suara dari Kuala Lumpur.
Suara yang boleh tenangkan senjata dan panggil semula akal waras.
Tak perlu jadi pengadil. Tapi setidaknya jadi pemanggil sidang. Kalau ASEAN mahu terus relevan, inilah masanya. Kalau pemimpin dihormati kerana kebijaksanaan, inilah pentasnya.
Kerana bila negara jiran mula main api, siapa yang terbakar bukan mereka di atas.
Yang terbakar ialah rakyat biasa, yang tak sempat pun tahu kenapa roket datang dari langit.
Nota kaki
1. Jet F‑16 Thailand disahkan terlibat dalam operasi udara pagi ini.
2. Pertempuran berlaku di wilayah Preah Vihear, Oddar Meanchey dan Ubon Ratchathani.
3. Pertikaian ini berakar sejak perjanjian kolonial awal abad ke-20 dan kemuncaknya ialah keputusan ICJ 1962 yang masih gagal diterima sepenuhnya.
Kemaskini:
Polis Thailand melaporkan sekurang-kurangnya 8 orang terbunuh di wilayah Sisaket, Thailand selepas Kemboja melancarkan roket BM-21 ke arah sebuah stesen minyak.
Penulis :