04/08/2025
Sekadar coretan dari seorang peminat sukan catur.
IM Yeoh Li Tian, pemain no 1 Malaysia telah secara tidak rasmi menjadi seorang Grandmaster. Satu Malaysia bangga dengan pencapaian beliau, namun ia tak datang dengan mudah.
Lahir dalam keluarga catur, ayah Yeoh Li Tian, NM Yeoh Chin Seng merupakan seorang juara Malaysia. Jadi boleh dikatakan di mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.
Li Tian mula bermain catur seawal usia 3 tahun. Waktu budak lain sibuk nak belajar bercakap, Li Tian dah menolak buah.
Li Tian secara semulajadi naik menjadi pemain junior handalan Malaysia, dan menurut Li Tian, dia mula secara konsisten mengalahkan ayahnya sewaktu berusia 13 tahun.
Pada waktu tu, dia sedar, dia boleh pergi lebih jauh. Dia sedar kalau dia berlawan dengan pemain lebih kuat, dia mampu seri. Dari situ mula lahir hasrat Li Tian untuk menjadi lebih baik, dan mungkin lebih hebat dari ayahnya sendiri.
Pencapaian paling membanggakan Li Tian pastinya sewaktu kejohanan Zone 3.3 di Filipina.
Pada waktu itu, Yeoh Li Tian masih lagi merupakan seorang FIDE Master. Namun begitu, dia berjaya memegang rekod tanpa kalah melawan ramai International Master dan Grandmaster yang mempunyai rating lebih tinggi dari dirinya.
Hasilnya, Li Tian menang tempat pertama (dari kiraan tiebreak) meskipun mempunyai mata yang sama dengan pemain tempat ke-2, GM Nguyen Ngoc. Li Tian juga berjaya meraih gelaran International Master secara automatik, yang bermaksud dia tidak perlu mencari norm untuk memegang gelaran IM.
Dari kejohanan yang sama, Li Tian mendapat GM norm pertamanya. Dia perlu mengumpul 2 lagi norm untuk membolehkan dirinya memegang gelaran GRANDMASTER.
Li Tian bermain dalam beberapa kejohanan besar dan berjaya meraih norm keduanya. Norm ke-3, dan gelaran grandmaster hampir digapai Li Tian pada tahun 2019, apabila dia hanya perlu seri menentang GM Priasmoro dari Indonesia.
Nasib tidak menyebelahi Li Tian. Perlawanan itu berlangsung sengit, dan dia dinafikan gelaran grandmaster.
Li Tian terus cuba mendapatkan norm terakhirnya pada 2019, namun tidak berjaya.
Dan Covid mengubah banyak benda.
Li Tian mengakui bahawa Covid menjejaskan semangatnya dalam mencari norm terakhir. Ketiadaan kejohanan FIDE secara klasikal membantutkan hasratnya.
Li Tian, pada satu tahap dilihat hampir berputus asa.
"Regarding the GM title... for now, I am.. putting it down..."
Li Tian sendiri mengaku bahawa Covid menekan situasi dirinya. Sebelum Covid, dia boleh bermain catur dan fokus mencari norm, namun apabila Covid dan PKP berlaku, dia mula fokus kepada membina kariernya sebagai saintis data.
Catur, di Malaysia, tidak boleh membina kerjaya yang stabil.
Aku selalu jawab kepada diri sendiri, andai ada orang tanya, "Kenapa Malaysia takde GM lagi eh?" dengan jawapan berikut: "Kalau ada GM pun dia boleh hidup ke buat duit dengan catur?"
Perkara ini aku perasan dari temubual Li Tian bersama dengan Chessbase India sekitar tahun 2017.
Kalau nak difikir, tak berbaloi sebenarnya jadi pemain professional tanpa penaja. Kau kena fikir nak bayar yuran penyertaan, duit untuk travel ke luar negara lagi dan kos penginapan. Kalau menang, untunglah dapat income. Kalau kalah? Tak balik modal.
Coaching sambilan sambil menjadi pemain professional, aku rasa macam tak sustainable. Kau perlukan masa untuk buat persiapan kejohanan, dahtu bila kau nak ada masa mengajar budak, ye tak?
Dekat Malaysia ni, catur sebagai satu perkara serious hanyalah relevan selagi mana kau masih belum ada komitmen. Aku rasa Yeoh Li Tian, dan mungkin ramai lagi pemain terbaik catur Malaysia mengalami dilema yang sama.
Maksimum 'had waktu' untuk fokus terhadap catur adalah sehingga mereka di alam universiti. Selepas itu, mereka perlu memilih jalan mereka sendiri.
Apa-apa pun, aku memang betul-betul kagum dengan Yeoh Li Tian. Bukan sebab dia Grandmaster pertama kita. Aku rasa benda tu memang akan dapat dekat dia.
Tak.
Aku rasa kagum sebab lepas dia berhenti main catur, dan dia fokus bina kerjaya professional dia, dia masih lagi kembali kepada catur.
Dia masih kembali kepada permainan yang dia dah abadikan banyak masa dalam hidup dia, untuk dapat gelaran yang dia memang layak dapat.
Siapa yang cakap main catur ni setakat main tolak-tolak buah, mohon fahamkan perjalanan GM Yeoh Li Tian tu.
Dari 2017 member tu tunggu. 2025 baru title tu sampai.
Sewaktu ditemubual wartawan, Yeoh Li Tian sendiri mengaku dia tak pernah rasa ada zaman kanak-kanak. Waktu budak habis sekolah keluar main dengan kawan, dia habis sekolah sambung belajar catur.
Itu namanya pengorbanan, dan itu membuatkan dia berada di mana dia ada sekarang.
Akhir kata, sudah-sudah lah bagi dana berjuta kat sukan yang takde sumbangan balik *uhuk bola sepak uhuk*. Apa kata korang mula fokus dekat sukan perseorangan macam catur ni?
Ramai lagi bakat muda yang masih lagi tengah cuba meningkat naik. IM Poh Yu Tian, FM Kavin Mohan, IM Tan Jun Ying, FM Yinn Long, FM Andersen, Uzair Shahar, Aqil, semua ada potensi. Puteri Munajjah, Tan Li Ting, Ainul Mardhiah. Sponser diorang. Bukak laluan diorang untuk jadi the next Grandmaster.
Apa-apa pun memang kena puji gabungan MCF dan Chesshub yang banyak membantu player-player ni. Kalau ada syarikat yang nak bantu sponsor, cari je list top Malaysian chess player.
Sekian bebelan malam.
Rujukan:
https://youtu.be/sH3W-iekVoI?si=0DTyIWfk8w8qz0eD
https://youtu.be/viCkR2NsU2Y?si=x9AbPc1EGbLlnzog
https://malaysiachess.org/announcement/congratulations-yeoh-li-tian-making-history-as-malaysias-1st-grandmaster/