
10/08/2025
HARI KE-25 PEMERGIAN ZARA QAIRINA : RAHSIA JASAD YANG DIJAGA TUHAN
Lama saya tidak berkongsi seperti rutin sebelum ini, bagi memberi laluan kepada pengumuman penting pihak pas**an undang-undang ibu Zara. Alhamdulillah.. Selesai sudah proses menggali pusara Almarhumah Zara Qairina..
Dan MasyaAllah, 3 minggu selepas pemergian beliau, jenazahnya langsung tidak berbau. Selepas solat subuh tadi, saya berbual panjang dengan ibu Zara. Santai-santai sambil tunggu waktu Dhuha. Bercerita s**a duka perjuangan membela . Bila saya tanya beliau tentang Almarhumah Zara.. jawapannya ringkas tapi sangat menusuk hati:
"Zara ni jaga solat.. bukan saja solat dia sendiri, tapi dia jaga solat kawan-kawan. Sebab itu dia mahu masuk BADAR (Badan Dakwah dan Rohani)."
MasyaAllah..
Inilah yang Rasulullah ﷺ sudah pesankan lebih 1400 tahun lalu:
إِنَّ رَبَّكُمْ يَقُولُ: مَنْ أَقَامَ صَلَاةَ الخَمْسِ لِوَقْتِهَا وَحَافَظَ عَلَيْها وَلَمْ يُضَيِّعْهَا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهَا، فَلَهُ عَهْدٌ عَلَيَّ أَنْ أُدْخِلَهُ الجَنَّةَ، وَمَنْ لَمْ يُقِمْهَا لِوَقْتِهَا وَلَمْ يُحَافِظْ عَلَيْهَا وَضَيَّعَهَا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهَا، فَلَيْسَ لَهُ عِنْدِي عَهْدٌ، إِنْ شِئْتُ عَذَّبْتُهُ، وَإِنْ شِئْتُ غَفَرْتُ لَهُ
Maksud Hadis:
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya Tuhan kamu berfirman: Sesiapa yang mendirikan solat lima waktu pada waktunya, dan memeliharanya (menjaga dengan penuh perhatian) serta tidak meremehkannya, maka baginya ada janji daripada-Ku untuk memasukkannya ke dalam Syurga.
Dan sesiapa yang tidak mendirikannya pada waktunya, tidak memeliharanya, serta meremehkannya, maka tiada baginya janji di sisi-Ku, jika Aku kehendaki, Aku akan mengazabnya; dan jika Aku kehendaki, Aku akan mengampunkannya.”
Makna يُحَافِظْ dalam bahasa Arab bukan sekadar “menjaga” untuk diri sendiri, tetapi saling menjaga. Huruf أ (alif) di tengah perkataan ini memberi maksud musyārakah (مشاركة) ertinya, secara ringkas ialah "saling" atau "berkongsi melakukan sesuatu bersama".
Maksudnya, dalam hadith ini, konsepnya, bukan kita jaga solat kita saja, tetapi kita bantu orang lain menjaga solat mereka.
Zara buat itu.. Dia hidupkan maksud يُحَافِظْ. Dia tegur, dia ajak, dia tulis nama kawan-kawan tidak solat dan dia bimbing kawan-kawannya.
Sebab itu, dalam menjadi sebahagian daripada tim Ibu Zara, saya sangat menitikberatkan nilai agama. Zara yang kita perjuangkan ini, seorang anak yang sangat menjaga agamanya. Maka kita yang dewasa, lebih-lebih lagi yang terlibat dalam perjuangan ini, seharusnya juga menjaga agama.. dengan menjauhi fitnah, berlebih-lebihan, mengadu domba dan elak kata-kata yang merosakkan.
Hari ini, walau jasad beliau sudah pergi, dakwahnya masih hidup. Haruman kebaikan itu kekal. Dan Allah tunjukkan tanda.. jasadnya terpelihara seakan-akan baru pergi semalam.
Saya tulis ini dengan niat, semoga apa saja kebaikan dan manfaat dari perkongsian ini, jadi pahala jariah berpanjangan buat Almarhumah Zara, ibubapa beliau, saya yang miskin pahala ini dan semua yang mengambil iktibar dari kisah ini.
"Assalamualaikum Zara.. Kita jumpa lagi.."
Inilah kata-kata pertama ibu Zara sewaktu pertama kali melihat wajah anak solehah ini dikeluarkan dari liang lahad. Allahu Akbar
Doakan post mortem pagi ini 🤲🤲🤲
Allah Maha Hebat,
Marhamah Rosli
10/08/2025