29/10/2025
Seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis kerana mencederakan seorang warga emas dalam kejadian amuk di Pangsapuri Miharja Fasa 1, Cheras di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, berkata pihaknya menerima makluman berhubung kejadian pada jam 11.40 pagi sebelum Unit Peronda Polis (MPV) dikerahkan ke lokasi.
"Suspek lelaki berusia 25 tahun tanpa dokumen pengenalan diri itu didapati pergi ke rumah mangsa yang juga seorang lelaki tempatan berusia 78 tahun.
"Hasil siasatan mendapati suspek mengetuk pintu rumah mangsa dengan kuat menggunakan pisau sehingga bilahnya patah dan tercampak ke dalam longkang.
"Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian rusuk kanan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, saksi di tempat kejadian mendakwa bahawa suspek mengganggu orang ramai dan membuat bising sejak tiga hari lalu.
"Polis berjaya menahan suspek pada jam 1.38 tengah hari dan merampas sebilah pisau patah berukuran 34 sentimeter.
"Suspek kemudian dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mencederakan); Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Kredit : Berita Harian