01/07/2025
Geng Tarik Kereta Mahu Jawab Isu Viral, MHO Sambut Positif.
Kita Mahu Dengar Kedua-dua Belah Pihak
KUALA LUMPUR, 30 Jun 2025 – Isu penarikan kenderaan di Villa Puteri yang tular baru-baru ini terus mencetus perhatian apabila kumpulan yang dikenali sebagai ‘geng tarik kereta’ dikatakan merancang untuk mengadakan satu sidang media bagi memberikan penjelasan berhubung kejadian tersebut.
Mengulas perkara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Masyarakat Malaysia (MHO), Dato’ Hishamuddin Hashim menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia berhak menyuarakan pandangan mereka selaras dengan prinsip demokrasi negara ini.
“Sebagai rakyat Malaysia, dia ada hak untuk bersuara. Kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak kerana ini sebuah negara demokrasi. Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada semua orang untuk kebebasan bersuara,” katanya.
Menurut beliau, sebarang kenyataan yang dibuat mestilah berasaskan kepada undang-undang dan fakta yang jelas.
“Dia boleh bercakap. Cuma apa yang dia cakap tersebut, kita kena teliti. Sekiranya ada perkara-perkara yang dia nak sampaikan, itu hak dia. Tetapi dia juga kena nyatakan asas-asas undang-undang terhadap sebarang kenyataan yang dibuat,” jelasnya lagi.
Dato’ Hishamuddin turut menekankan bahawa perbezaan pandangan dalam sesuatu isu adalah lumrah dalam sistem demokrasi. Apa yang penting ialah penyampaian pandangan itu dilakukan secara matang dan tidak menimbulkan ketegangan.
“Kita nak dengar juga versi dia, dan kita teliti dengan lebih terperinci. Itu merupakan satu perkembangan yang sihat. Yang tidak sihatnya ialah jika berlakunya pergaduhan.”
Beliau menyifatkan perbezaan kenyataan daripada pelbagai pihak sebagai satu ciri positif dalam ruang demokrasi.
“Kalau pihak A bagi kenyataan, pihak B juga memberi kenyataan, itu merupakan satu proses demokrasi yang baik,” katanya.
Isu ini dijangka terus menjadi perhatian orang ramai memandangkan aspek hak pengguna, penguatkuasaan, serta prosedur penarikan kenderaan kini semakin dipersoalkan oleh masyarakat.