07/07/2026
Cikgu yang sepatutnya membentuk masa depan anak murid akhirnya merengkok dalam penjara kerana memperdagangkan wanita. Seorang guru berusia 50 tahun bersama rakannya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM5,000 setiap seorang selepas didapati bersalah memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi tujuan eksploitasi seks.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu pada 11 Mac 2024. Mohd Hasfyanizam Mansor, 50, dan Mohamad Fazley Jaafar, 31, yang bekerja sebagai buruh, didapati menyalahgunakan keadaan mangsa yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.
Pihak pendakwaan menegaskan seorang guru sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat, namun tertuduh bertindak sebaliknya dengan terbabit dalam jenayah pemerdagangan orang.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda RM5,000.
Hakim berharap hukuman itu menjadi pengajaran dan menginsafkan kedua-dua tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan sama.
Sumber: Bernama