03/01/2026
Pergerakan Pemuda UMNO menuntut supaya UMNO menarik diri daripada kerjasama politik dengan Kerajaan Perpaduan susulan dakwaan kegagalan pimpinan komponennya menghormati garis merah orang Melayu dan Islam.
Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh menegaskan parti itu tidak wajar terus berada dalam kerajaan yang didakwa mencabuli maruah dan prinsip perjuangan UMNO.
Menurut beliau, UMNO tidak seharusnya dipaksa menelan penghinaan serta berdiam diri apabila garis merah yang pernah diingatkan sebelum ini dilanggar. Pemuda UMNO, katanya, bersedia menentang habis-habisan sekiranya prinsip asas itu tidak lagi dihormati dalam kerjasama politik sedia ada.
Akmal turut menegaskan UMNO sanggup menjadi pembangkang yang bermaruah, berwibawa dan berprinsip berbanding kekal berada dalam kerajaan tanpa harga diri. Beliau juga menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha ‘tebuk atap’, sambil menegaskan UMNO perlu kembali menang melalui mandat rakyat, bukan muslihat politik.
Kredit: Malaysia Gazette
Foto: Rakyat Insight