Di Celah Celah Kehidupan DCCK

Di Celah Celah Kehidupan DCCK Ruangan Di Celah-celah Kehidupan oleh Puan Maimunah Yusof di akhbar Mingguan Malaysia dahulu

PERJUANGAN DCCK DEMI NAFKAH ANAK-ANAK MANGSA CERAI  2 NOV 2025          ♥️ MENOLEH kembali melihat perjalanan Di celah C...
03/11/2025

PERJUANGAN DCCK DEMI NAFKAH ANAK-ANAK MANGSA CERAI
2 NOV 2025 ♥️

MENOLEH kembali melihat perjalanan Di celah Celah Kehidupan (DCCK) yang berusia lebih 45 tahun membuat hati ini bergetar antara suka dan duka. Suka kerana banyak perjuangan DCCK dari Zero yang tidak pernah dikenali, tetapi kini ia menjadi bualan ramai. Walaupun masih ada segelintir yang membencinya.
Namun semua ini tidak mungkin terjadi, kerana dulu ramai wanita yang dicerca takut panggilan janda (kerana janda dibenci ramai wanita didakwa akan rampas suami orang) tetapi setelah perkataan janda bertukar jadi ibu tunggal, wanita tidak pernah lagi takut jika diceraikan. Mereka faham makna ibu tunggal dan berani hadapi kenyataan untuk hidup tanpa suami.
Bagaimana pun hati ini masih teringat sekitar tahun 70-an dulu, setiap kali bertemu Kadi di Taman Keramat, Tuan Haji Arshad Masjuri, beliau sering menceritakan keresahan tentang nasib ramai janda datang meminta tolong menasihatkan suami mereka supaya jangan ceraikan mereka, kerana hidup mereka akan bertambah susah setelah diceraikan, apa lagi yang ada ramai anak.
Sebab setelah dicerai, janda janda ini sukar mencari kerja untuk sara anak anak mereka, kerana suami tidak mahu bagi nafkah. Nak kerja jadi pembantu rumah orang atau mencuci pakaian bukan mudah, sebab majikan sentiasa curiga jika si janda ini akan merebut suami mereka.
Hendak berniaga gerai makan, mahupun berjualaan sayur kampung, ikan masin di pasar pasar pun amat susah, sebab takut mereka disalah erti dan di keroyok oleh isteri isteri yang bimbang suami mereka telah digoda janda.
Itu antara aduan yang sering didengar oleh arwah Haji Arshad tentang nasib janda janda yang datang meminta nasihatnya. Biasanya kerana terlalu sibuk dengan tugas, beliau tidak ada banyak masa untuk menasihati mereka. Kerana itu beliau mengharapan saya membantunya mencari jalan bagaimana hendak menasihati janda janda ini supaya berhati waja dan cekal hidup, kerana katanya saya berkhidmat di akhbar. Jadi mudah menyalorkan penerangan serta nasihat untuk janda ini.
Kehidupan janda di bandar khususnya dalam tahun 70an memang banyak cabaran, kerana biasanya janda janda ini tidak bekerja, jadi bagaimana untuk menyara anak anak, apa lagi hendak menghantar mereka bersekolah.
Biasanya lepas diceraikan ikut pandai janda itulah untuk terus hidup. Khususya jika keluarga jauh di kampung. Berbanding nasib janda yang ada kelurga dan bersedia membawa mereka dan anak-anak balik kampung. Tapi nasib janda di bandar memang penuh penderitaan. Tambahan untuk balik kampung kehidupan emak ayah bukan senang.
Simpati Kadi Haji Arshad terhadap nasib janda dan anak-anak mangsa cerai ini amat mendalam, lantas beliau menyarankan saya menulis nasib janda janda ini, katanya mana tahu nanti kerajaan bersimpati dan boleh bantu mereka. Tugas buat rencana tentang masalah janda-janda ini menjadi lebih mudah apabila beliau sendiri memberikan nama dan kawasan setinggan mana janda-jjanda tersebut tinggal.
Ketika itu kawasan setinggan dan pasar sekitar Datuk Keramat menjadi lokasi saya mencari janda-janda malang ini. Ada antara mereka tinggal di pondok pondok tempat mereka berniaga di Pasar Keramat. Walaupun sempit, tetapi mereka terus dapat berteduh sambil mencari rezeki.
Walaupun dulu, keadaan sekarang tidak ada bezanya, lepas bercerai ikut pandai `koranglah untuk hidup’’. Si ayah lepas tangan lepas cerai hubungan dengan anak-anak pun terputus. Mereka bukan lagi tanggungjawab si ayah. Ketika itulah saya lihat betapa seksanya janda-janda yang dulu tidak bekerja, akhirnya terpaksa membanting tulang mencari kerja untuk menyara anak-anak.
Dari dulu saya tidak pernah dengar ada bekas suami mahu beri nafkah, apa lagi dari bekas mertua. Ikut pandai janda-janda inilah sahaja besarkan anak-anak mereka. Lebih sedih masyarakat zaman itu menerima nasib diceraikan dengan mendiamkan diri. Ikut pandai merekalah membanting tulang besarkan anak. Tak kurang menyalahkan janda ini konon diceraikan sebab tak pandai jaga suami, sebab itu suami cari wanita lain. Seolah-olah lelaki tidak bersalah ceraikan isteri mereka.
Kalau tak percaya tanya nenek kita atau emak emak saudara yang usianya lebih 60 tahun yang pernah jadi janda, pernah tak mereka dengar bekas suami dinasihati supaya beri nafkah kepada anak-anak mereka. Tapi berbeza zaman sekarang ada bekas suami disaman di mahkamah Syariah kalau tak bagi nafkah anak, (namun bukan semua tuntutan nafkah ibu tunggal itu berjaya ada juga tuntutan terpanggang di mahkamah lebih 6 atua 7 tahun).
Kembali kepada hasrat Kadi Haji Arshad Mahsuri, beliau tahu dan sedar bahawa setiap ayah mesti beri nafkah kepada anak-anaknya, tetapi untuk beliau memperjuangkan seorang diri, dan cuba nasihati bekas suami bukan satu kerja mudah, kerana bercerai dan tak bagi nafkah sudah sebati dalam kehidupan masyarakat kita ketika itu. Sudah bercerai ``lantak koranglah nak hidup.’’
Namun beliau tetap menyarakan hasratnya itu supaya si ayah beri nafkah kepada anak-anak setelah bercerai. Akhirnya kerajaan negeri Selangor mengambil inisiatif menyediakan seorang pegawai pembantu wanita berkhidmat dengan pejabat Kadi Taman Keramat khusus membantu beliau menghadapi masalah ramai janda-janda yang meminta nasihat. Alhamdulillah kejayaan itu membawa rahmat kepada pejabat agama seluruh Selangor juga dapat perkhidmatan pegawai pembantu Wanita.
Saya masih ingat lagi ketika mencari jand- janda untuk ditemuramah ada yang bersedia ceritakan masalah kehidupan mereka, ada yang takut dan malu apa lagi untuk disiarkan di akhbar Utusan Malaysia ketika itu. Sebab mereka takut dimarahi oleh bekas suami kerana memalukan mereka. Namun dari kebenaran yang dipaparkan setiap minggu atas kesusahan janda-janda ini, keadaan berubah, ramai yang bersimpati dengan nasib janda-janda ini.
Masalah janda-janda ini membuat kerajaan menubuhkan sebuah Bahagian khas di Jabatan Perdana Menteri menggubal undang-undang keluarga Islam. Masa berlalu begitu pantas terkini lahirlah Undang-undang Keluarga Islam Malaysia, yang didalamnya terdapat Mahkamah Syariah.
Selaras penubuhan mahkamah, pasti ada Hakim dan seterusnya wajib ada peguam peguam syarie yang menjadi peguam bela. Kini terdapat ramai peguam syarie yang dulu kita tidak pernah dengar ada mahkamah, ada hakim dan ada peguam yang boleh membela nasib janda-janda ini.
Kini walaupun banyak langkah dan tindakan dilakukan untuk menyedarkan wanita tentang hak mereka dalam Islam. Namun tidak ramai ibu-ibu tunggal yang berjaya mendapatkan khidmat peguam peguam pembela ini atas faktor kewangan. Terdapat ramai janda yang tidak bekerja tetap sudah pasti mereka tidak ada duit untuk membuat tuntutan ke mahkamah.
Untuk menyakinkan wanita tentang hak mereka bukan kerja mudah. Ketakutan dan kurang yakin diri membuat ramai wanita takut bergelar janda. Bermula dari inilah usaha saya lakukan untuk menukar nama panggilan janda ini kepada Ibu Tunggal. Nama ini tidak akan popular dan terkenal jika tidak ada usaha untuk mempopularkannya.
Berkat usaha dan yakin diri beberapa orang ibu tunggal, akhirnya tertubuhkan Kelab Ibu Tunggal (KIT) sekitar akhir tahun 80an. Malangnya usaha ini tidak semudah dijangkakan, pelbagai cara untuk mengenalkan dengan mengadakan siri siri foram dan ceramah.
Akhirnya usaha dan kerja keras ini turut mendapat sambutan, apabila sebuah lagi kelab ibu tunggal ditubuhkan dengan nama Kelab Sokongan Ibu Tunggal Islam Wilayah Persekutuan. Terkini sejak tahun 2020 lahir Kelab Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) dengan tujuan yang sama. Namum, sebelum itu lebih 5 tahun usaha turut dibuat mengadakan cermah dan nasihat kepada ibu-ibu tunggal supaya mereka memahami hak mereka
Lebih menarik, atas kesedaran dan niat untuk memberi penerangan kepada ibu-ibu tunggal tentang hak mereka selepas bercerai, ramai Ibu-ibu tunggal di beberapa buah negeri seluruh Malaysia turut berusaha menubuhkan persatuan ibu tunggal mereka masing masing atas niat yang sama.
Walaupun kini sudah ada mahkamah Syariah, tetapi kerana ramai ibu-ibu tunggal tidak mempunyai pekerjaan tetap, mereka tidak berani menuntut bekas suami ke mahkamah sebab mereka tidak ada duit, walaupun ada antara mereka cuba membuat tuntutan sendiri tanpa peguam, dugaannya amat besar. Akhirnya ada yang terpaksa tinggalkan tuntutan setengah jalan sebab pelbagai masalah lain.
Akhir kata dari dulu hingga kini bukan mudah ibu-bu tunggal hendak membuat tuntutan nafkah ke mahkamah, walaupun mahkamah Syariah tersedia. Masalahnya untuk turun naik mahkamah bukan kerja mudah jika tanpa ilmu.
Jadi oleh kerana itu saya mengharapkan dari dulu hingga kini, tuan hakim hendaklah menetapkan jumlah nafkah untuk anak-anak sebaik sahaja lafaz cerai disahkan. Tak perlu lagi ibu ibu tunggal buat tuntutan nafkah ke mahkamah, kerana nasib mereka sentiasa dipermainkan oleh bekas suami. Selain mahkamah menentukan supaya bekas isteri buat tuntutan berasingan ke mahkamah.
Masalahnya, dalam tempoh tersebut jika si ibu tidak ada kerja dan tidak ada duit bagaimana si ibu hendak sara makan minum anak anak? Sedangkan tuntutan nafkah ke mahkamah memakan masa lebih 5 atau 6 tahun belum tentu selesai.
Bukankah lebih memudahkan sebaik sahaja pasangan suami isteri sah bercerai, hakim mahkamah terus menetapkan jumlah nafkah yang wajib di beri mengikut budi bicara hakim. Jadi si ibu tidak perlu buat tuntutan nafkah. Malangnya hingga kini masalah nafkah kepada anak anak tidak pernah selesai, bekas suami sentiasa melepaskan diri liat memberi nafkah, dan dia tidak pernah di hukum kerana enggan membayar nafkah. Sedangkan si ayah wajib beri nafkah anak anaknya menurut Islam.

SUAMI BUAT BISNES TAPI ISTERI YANG TERJERAT  26 OKT 2025       ♥️``RATA RATA setiap wanita yang ingin berkahwin tidak pe...
27/10/2025

SUAMI BUAT BISNES TAPI ISTERI YANG TERJERAT
26 OKT 2025 ♥️

``RATA RATA setiap wanita yang ingin berkahwin tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka bahawa perkahwinan yang akan dilaluinya itu adalah sementara, sebaliknya mereka sentiasa berdoa semoga perkahwinannya itu akan berakhir hingga ke akhir hayat.
``Itulah harapan saya dan nasihat emak saya supaya menjaga suami dengan baik dan biarlah jodoh kami berakhir hingga ke anak cucu. Tidak seperti nasib emak dan kami empat beradik, ditinggalkan ayah ketika kami masih kecil dan ada yang sedang bersekolah. Nasib nenek dan datok masih ada, dapatlah emak tumpangkan kami adik beradik, sementara emak bekerja dari pagi hingga petang cari duit untuk menyara hidup kami.’’ Itu cerita Suziyanti.
``Sebagai anak kedua saya lihat sendiri betapa susahnya emak bekerja di beberapa buah rumah untuk dapatkan upah. Emak juga pernah jadi tukang masak di gerai gerai. Biasanya dekat maghrib baru emak balik. Kerana sibuk mencari duit, emak tak pernah tengok buku sekolah kami, emak cuma nasihatkan kami belajar pandai pandai, supaya jangan jadi macam emak tidak berpelajaran susah dapat kerja. Sebab itu kami adik beradik tekun belajar, nenek jadi “guru besar’.
``Dipendekkan cerita kakak, saya dan adik dapat masuk sekolah berasrama bukan yang berjenama, biasa biasa sahaja kecuali adik dia tak suka buku lebih suka motor. Nak kata emak manjakan dia tidak, tetapi entah peel sapa dia ikut kami tak mahu komen banyak. Tapi kakak suruh belajar baiki motor kalua suka sangat dengan motor.
``Masa terlalu cepat berlalu, akhirnya kami bertiga berkahwin dan mempunyai anak sendiri. Sebelum itu kami bertiga berpakat dan berusaha buatkan rumah untuk emak, takkan selamanya duduk rumah arwah nenek dan datok, itu rumah pusaka milik ramai. Emak duduk kampung dengan adik lelaki yang belum kahwin.
``Tamat kisah latar belakang kami, sekarang saya nak buka cerita kisah hidup saya sendiri. Mungkin saya kurang bernasib baik berbanding kakak dan adik ketiga. Saya dapat suami yang lebih sayang dan pentingkan dirinya sendiri daripada keluarga.
``Memanglah awalnya semua berjalan baik, kami masing masing, ada kerja sesuai dengan kelulusan kami, tetapi selepas saya mendapat 2 orang anak, suami gila gila nak buat bisnes. Saya tak setuju, sebab dia memang tak tahu nak buat bisnes, namun dia berkeras, katanya dia ada kawan yang boleh jadi rakan kongsi. Buat permulaan dia keluarkan modal sebagai tambahan kepada modal yang kawan kongsinya sudah usahakan.
``Saya tak setuju sebab kalua dia bekerja masa bila nak bantu buat bisnes. Takut akhirnya nanti modal lesap, untung hilang. Tapi suami degil, alasannya dia bukan baru kenal kawannya. Dia yakin dan amat percaya. Bila saya tanya mana dia dapat modal, dia buat pinjaman bank. Jumlahnya dia tak mahu bagitau, alasannya sebab saya tidak yakin dengan usahanya.
``Sepanjang sibuk berbisnes, urusan makan minum, anak anak, upah pengasuh, ansuran rumah, bil utility dia lepaskan pada saya alasannya sibuk. Katanya kalua bisnesnya berhasil saya yang untung. Jadi dia suruh saya berkorban. Malangnya saya memang kurang yakin, sebab inilah juga dulu punca emak ayah bercerai sebab ayah sibuk berniaga. Mereka akhirnya bercerai bila emak tak mahu pinjamkan geran tanah datok untuk ayah cagarkan.
``Zaman ayah, perniagaannya memang tak besar, buka kedai runcit selain jual gas memasak. Dari cerita yang saya dengar ayah nak beli van untuk hantar gas ke rumah rumah. Kata emak ayah ada motor hantarlah bila perlu, takkan berkeliling taman perumahan nak jual gas. Oleh kerana tak dapat modal jugalah mereka sering bertengkar.
``Dengar cerita kedai runcit ayah maju. Sayangnya kerana maju itulah juga akhirnya mereka bercerai sebab ayah dapat orang yang boleh jaga kedai runcintnya yang akhirnya menjadi isterinya. Sedihnya berniaga tak sampai 10 tahun, ayah bercerai pulak sebab `duit kedai hilang’. Isterinya juga hilang bersama `bang Long penghantar gas masak .”
``Ketika berniaga maju ayah tak pernah bagi nafkah, itulah sebab emak terpaksa bekerja cari duit untuk hidupkan kami 4 beradik. Jadi pengalaman pahit inilah saya tak galakkan suami berniaga. Tetapi dia tetap teruskan.
``Kembali kepada kisah saya, lepas tiga tahun berbisnes rakan kongsi suami kata perniagaan `tak jalan, lembab” kalua nak maju mesti tambah modal. Suami asak saya suruh pinjam bank, sebab dia dah pinjam, tapi dia lupa saya pun ada hutang rumah dengan bank. Rumah yang saya beli sebelum kahwin. Tapi suami terus desak suruh saya buat refinance rumah demi membantunya berniaga. Katanya berniaga tengah jalan takkan nak berhenti. Rugi.
``Siang malam dia pujuk saya buat pinjaman. Akhirnya saya kalah. Saya buat pinjaman kerana fikirkan anak anak saya tak mahu anak anak terima nasib yang sama seperti saya masa kecil dulu. Saya fikir emak tak bantu ayah sebab itu mereka bercerai. Jadi mungkin kerana saya bantu suami, mungkin nasib saya tak jadi macam nasib emak.
``Masalah bertambah berat rakan kongsi suami akhirnya menarik diri katanya bisnes tak jalan. Tapi suami bertegas dengan modal tambahan mungkin bisnes boleh diteruskan. Malangnya dengan ilmu yang kurang, suami teruskan bisnes dan buat keputusan bodoh berhenti kerja. Keputusan suami membuat saya fikir mungkin `kapal’ yang dipandu suami ini juga akan tenggelam.
``Dipendekkan cerita beban yang saya pikul semakin parah. Akibatnya saya sering terlepas bayar ansuran pinjaman bank. Suami lepas tangan katanya dia juga kena bayar pinjaman bank. Sebaliknya dia cadangkan saya pinjam duit kakak saya. Ini memang kes terok. Akhirnya pertengkaran dan seliseh faham menjadi irama dan lagu paling sedih dalam hidup saya.
``Beberapa bulan terakhir ini bank sudah berkali kali beri amaran terakhir. Saya tidak tahu apa nak buat. Jawapan dari suami memang tidak ada. Dia pun pening. Akhirnya sebelum bank halau, saya cadang nak keluar dari rumah ini. Tapi apakah ini idea yang baik.
``Ada teman cadangkan saya jumpa dengan bank mungkin boleh buat perjanjian baru, tapi saya tahu jumlah bayarannya tentu tinggi. Ada pulak cadang saya pergi jumpa AKPK untuk dapatkan bantuan nasihat apa patut saya lakukan. Inilah yang memeningkan. Masalahnya bolehkah saya duduk lagi di rumah ini. Kawan lain pulak cadangkan cari rumah lain dan pindah sebelum bank lelong rumah. Saya betul betul bengang suami yang diharapkan boleh membantu, sebaliknya menyusahkan hidup saya.
``Baginilah nasib wanita, kalua kita tak bantu suami, dia tuduh isteri tak berperasaan, sayang suami ketika dia ada duit sahaja. Sekarang bila kita bantu kita pula diheret sama tenggelam `masuk lubuk’. Ini benar benar menyusahkan hidup saya. Saya tak tahu berapa lama saya boleh bertahan.
``Nampaknya kalua saya bertahan dengan perkahwinan ini hidup kami susah, tetapi bercerai pun susah. Saya betul betul bengong. Mungkin tindakan emak saya memang tegas, emak sanggup susah sebab tak mahu berhutang.’’ Itu cerita Suziyanti tentang masalah yang sedang dihadapannya sekarang, suami buat bisnes isteri terjerat.

BUKAN SEMUA ISTERI GEMBIRA, JADI ANDARTU LAGI BAHAGIA  12 OKT 2025       ``APA yang ingin saya bicarakan kali ini bukan ...
13/10/2025

BUKAN SEMUA ISTERI GEMBIRA, JADI ANDARTU LAGI BAHAGIA
12 OKT 2025

``APA yang ingin saya bicarakan kali ini bukan menceritakan masalah orang lain, tetapi diri sendiri. Pengalaman saya lebih 20 tahun dulu berbanding sekarang. Namun saya rasa bukan saya seorang sahaja yang hadapi masalah seperti ini, sebaliknya ramai lagi, cuma ramai Wanita tidak bercerita takut pandangan mereka disalah ertikan.
``Terus terang saya bagi tahu, menjadi anak gadis yang lambat kahwin bukan suatu perkara yang semua orang senang membicarakan, terlalu peribadi. Namun kerana lambat kahwin ini jugalah saya sering kali kecik hati dengan keluarga yang sering bertanya kenapa tak kahwin, ``jangan memilih” nanti besok dah tua tidak ada anak, siapa nak jaga?’’ Itu cerita nona Azureen.
``Saya bangkang mereka balik, dah pasti ke bila berkahwin terus dapat anak? Ada terpaksa ambil anak angkat, dan pastikah setiap anak yang dibesarkan boleh jaga emak ayahnya bila tua nanti? Takut takut mereka hantar emak ayahnya ke rumah orang tua! Soalan saya memang sakitkan hati mereka, tapi itu kebenaran.
``Namun saya tak nafikan pada peringkat usia 20an hingga 30an memang saya sering risau dan tertanya tanya kenapa saya lambat kahwin, saya bukan hodoh sangat, ada pekerjaan, tidak cengel apa lagi garang, tidak memilih dan keluarga saya pun bukan orang kampungan jika itu orang lelaki tak suka pilih saya jadi isteri mereka. Akhirnya saya akur saya tidak ada jodoh.
``Bagaimana pun tak dinafikan ada suami orang pujuk jadi isteri kedua mereka, tak kurang juga ajak kahwin lari ke Siam jika keluarga menentang. Tapi saya tak minat, sorry lah..! Kalau nak kahwin biarlah cara beradat, emak ayah setuju, bukan main kahwin lari. Ini memang kes cari mati.
``Tetapi setelah usia meningkat 40an minat nak berkahwin terus terpadam dalam hati ini, sebabnya, kerana ramai wanita keliling saya tempat saya bekerja, sedara mara dan rakan sekolah dan ibu ibu tunggal sering mengadu kesusahan mereka setelah berkahwin, hingga ada yang bercerai berai. Puncanya rata rata mereka mendakwa suami tak mahu bekerjasama.
``Bekerjasama? Terlalu umum! Bila saya korek lebih dalam barulah saya tahu apa maksud suami tidak mahu kerjasama, bukan takat tak mahu tolong memasak, menjaga anak dan sebagainya, lebih teruk suami terlalu berkira pasal duit. Rata rata suami zaman ini tidak faham apa sebenarnya tugas seorang suami kepada isteri dan anak anaknya.
``Awal perkahwinan lagi menurut rakan wanita keliling saya apa lagi ibu ibu tunggal, suami mereka suka membagi bagi tugas, bab yang susah dan banyak keluar duit belanja mereka serahkan kepada isteri, alasan suami dia tak cukup duit kerana terpaksa bayar ansuran kereta, motor dan sewa rumah selain terpaksa hantar sumbangan untuk ibu di kampung.
``Ok! pada awal si isteri yang tenggelam kerana pujukan, kasih, sayang dan teramat cintakan suami akan ikut aja cakap suami, sebab mereka tak nampak masalah lebih besar selepas dapat anak. Bila dapat anak barulah si isteri mula terasa, dia kena beli susu bayi, lampin, bayaran pengasuh, selain disuruh bayar bil utility, urusan makan minum keluarga yang jumlahnya bertambah besar bila suami sering meminjam duit kerana sesak setiap bulan.
``Semua bayaran ini tak termasuk perbelanjaan bila bulan puasa dan hari raya, yang wajib mesti balik kampung, selain cuti panjang pun kena balik kampung atau bercuti berhibur sama keluarga. Jika suami isteri bekerja walaupun gaji tak ribu reban jika pandai budjet banyak masalah jadi ringan, tetapi ada suami lepaskan tugasnya kepada isteri atas alasan tak cukup duit dan suka pinjam.
``Bila saya dengar dan perhatikan masalah wanita ini, saya jadi sedar, semuanya kerana ramai suami zaman ini kurang bertanggungjawab. Contah mudah kenapa isteri sahaja mesti urus anak anak lepas balik kerja, kenapa suami tak bantu? Jika suami tak pandai masak, tolong mandikan atau jaga anak anak. Tak letihkah bila isteri balik kerja, pergi ambil anak rumah pengasuh, bagi makan anak, mandikan, memasak, cuci baju dan kemas rumah? Jika anak dah masuk tadika dan bersekolah tugas isteri bertambah berat, adakah suami membantu? Alasan suami, anak dah besar tak pergi jaga.
``Suami sering bagi alasan penat, letih, banyak kerja. Tahukah suami, isteri juga bekerja, sama sama cari duit. Malangnya bila isteri bersuara biasanya suami pergi tidur atau lebih teruk keluar jumpa kawan konon cari ketenangan sebab di rumah ada radio karat.
``Itu bab kerjasama di rumah, yang suami selalu mengelak. Tetapi lebih teruk lagi masalah kewangan banyak kes berlaku bila beli rumah suami sering pinggairkan isteri tidak meletakkan nama rumah bersama, tetapi minta isteri bantu bayar atas alasan rumah milik bersama. Biasanya kes terbongkar bila berlaku pergaduhan, barulah si isteri tahu rumah bukan milik bersama dan dia anak beranak dihalau keluar oleh pihak bank atau pembeli baru yang ingin beli rumahnya.
``Terlalu banyak penderitaan isteri yang saya dengar membuat saya setuju memang kaum wanita ini terlalu bodoh, dan suka membodohkan diri sendiri. Kalau nak beli rumah nak pinjam bank pergilah tanda tangan bersama suami, jadi jelas ada nama bersama. Kenapa percaya suami seratus peratus?
``Jangan terlalu mudah bagi suami pinjam duit, sebab akhirnya anda akan jadi `bank suami’. Beranikan diri cakap anda juga tidak ada duit bila suami cuba meminjam. Isteri mesti ada simpanan sendiri, jangan buat simpanan bank bersama suami.
``Keadaan seperti Inilah antara yang dapat saya simpulkan mengapa saya rasa tak rugi kerana tak bersuami, sebab saya tak boleh terima keadaan diperbodohkan oleh suami semata mata kerana sayang dan cinta. Lebih malang lagi ada yang akhirnya bercerai semata mata kerana suami bercinta dengan gadis lain.
``Maaf cakap, akhirnya saya rasa saya bertuah tidak berkahwin, sebab saya tak boleh terima keadaan suami yang tak mahu bekerjasama dan suka ambil kesempatan dari kelemahan, kebodohan dan kasih sayang isteri yang terlalu mendalam kepada dirinya.
``Namun saya tak nafikan memang wanita suka bodohkan diri sendiri, dan hanya berfikir jodohnya dengan lelaki yang dinikahinya itu akan berakhir hingga akhir hayat. Wanita sering lupa bahawa suaminya itu hanyalah pinjaman sementara oleh Allah SAW bukan kekal hingga mati.
``Kalau masih fikir kasih suami hingga ke syurga, memanglah wanita ni bodoh, dan salahkan diri sendiri jika suami ikat anda dengan hutang suami, kemudian dihalau keluar rumah, diceraikan tanpa nafkah bila suami kahwin baru. Lebih malang bekas suami menghilangkan diri. Nak tuntut nafkah anak ke mahkamah syariah, 5 tau 6 tahun belum tentu dapat. Mahkamah Syariah kurang power, lemah tak macam mahkamah sivil. Sebulan tak bayar nafkah boleh masuk penjara!
``Kini bila usia semakin meningkat 40an saya rasa hidup tenang walaupun tanpa suami. Dan saya gembira tak kahwin duda seperti teman saya yang akhirnya dia terpaksa pikul hutang nafkah anak anak berjumlah puluhan ribu yang suaminya (si duda) ini tak bayar bertahun tahun. Memang kerja bodoh! Tak pasal pasal pikul biawak hidup. Semuanya kerana takut bergelar andartu, akhirnya terpaksa pikul hutang nafkah anak anak suaminya . Itu kesimpulan cerita Azureen yang merasa tak rugi kerana tak kahwin. Katanya bukan semua wanita bernasib baik dapat suami bertanggungjawab kepada keluarganya. Akhir kalam, bukan semua wanita bersuami bahagia, dan bukan semua andartu tidak bernasib baik.

BOLEHKAH TUMPANG RUMAH ANAK BILA KITA TUA NANTI?   5 OKTOBER 2025        ``MEMANG kita tak pernah nafikan bahawa dalam k...
06/10/2025

BOLEHKAH TUMPANG RUMAH ANAK BILA KITA TUA NANTI?
5 OKTOBER 2025

``MEMANG kita tak pernah nafikan bahawa dalam kehidupan setiap pasangan mesti ada rasa tak puas hati dan tak bersetuju dengan pasangan kita, berbeza sebelum berkahwin kita terima setiap kata kata pasangan kita demi cinta, walaupun sebenarnya kita terbuta hati dan mata kerana cinta.
``Saya rasa bukan saya seorang berfikiran sedemikian, tetapi ramai yang membutakan matanya kerana cinta dan sayang. Malangnaya kerana buta inilah akhirnya kehidupan dan kebahagiaan yang dimimpikan tidak menjadi kenyataan. Lebih malang biasanya berakhir dengan perceraian.’’ Itu cerita Puan Zanita ketika kami berbual selepas dia ingin tahu tentang Kelab Sokongan Ibu Tunggal (KSIT)
``Awalnya beliau ingin bertanya tentang tuntutan nafkah, tetapi setelah bercerita panjang, hatinya terus tertutup untuk teruskan hajatnya, kerana dia tahu mahkamah syariah tidak ada kuasa menasihat apalagi memaksa bekas suami supaya bayar nafkah anak anak.
``Dulu memang saya berapi rapi nak penjarakan bekas suami kalua dia tak bagi nafkah, tetapi setelah dengar keputusan hakim yang akhirnya meminta saya berikan alamat rumah suami, syarikat tempat dia bekerja dan macam macam benda lagi membuatkan saya patah hati.
`` Apa salahnya ketika sahkan perceraian dulu, hakim terus tetapkan atau buat keputusan bekas suami mesti bagi nafkah anak anak, kenapa perlu saya tuntut, kemudian naik mahkamah lagi, tak tahu cara nak buat tuntutan dan lebih teruk lagi kena cari peguam, apa hakim ingat saya bekerja, ada gaji tetap, mak bapak saya orang kaya, sedangkan saya terpaksa bekerja gaji hari untuk bagi makan anak anak, tak kerja makna tak ada duit, hakim paham tak?
``Ada pulak peguam kata tetapkan nafkah anak anak ketika suami ceraikan isteri termaktub dalam undang undang, tetapi hakim nafikan, suruh kita buat tuntutan sendiri atau guna peguam kalua tidak tahu. Bukankah itu menyusahkan ibu ibu tunggal miskin macam saya. Yang gembira, senang dan paling selesa bekas suami, bukan sahaja kahwin lagi tapi boleh tanggung nafkah anak anak tiri.
``Ini kisah saya 20 tahun lalu, ketika bercerai anak anak 3 orang berumur 8, 6 dan 2 tahun memang susah, kerja kilang gaji kecik. Lepas cerai, suami hilang terus. Minta bantuan bekas mertua mereka pun susah, kami kahwin orang sebelah kampung. Sama sama kerja kilang kecil di pekan. Tak sampai 2 tahun kenal terus emak suruh kahwin.
``Lepas kahwin kami duduk rumah emak, 3 kakak dan abang dah berkeluarga duduk di KL dan di utara. Tinggal saya dengan adik yang masih sekolah menengah. Awal kahwin memang Nampak senang sebab tak bayar sewa rumah, cuma bayar bil air dan letrik aja. Lepas dapat 2 anak kakak abang mula mengomel bila nak pindah, belajarlah hidup sendiri, jangan menyusahkan emak.
``Pada hal saya banyak bantu emak di rumah, cuci pakaian, memasak dan sebagainya, tetapi ada pulak yang tak senang hati, mereka mula tuduh saya tumpang makan guna duit emak. Mentang mentang suami kerja kilang, miskin cuma ada motor buruk, mereka tuduh saya susahkan emak. Sedangkan kalua saya pindah hidup emak lagi susah, tinggal seorang diri, adik pun dapat kerja di KL. Tetapi adik beradik tetap suruh saya belajar hidup berdikari.
``Bila pindah baru saya belanja erti hidup, tambah susah suami cuma beri RM200 aja untuk makan, yang lain saya tanggung, duduk rumah emak bolehlah saya urus, tapi bila menyewa rumah, mana nak cukup duit. Suami pulak buat tak paham.
``Bila dah duduk sendiri baru saya nampak perangai suami, memanjang tak berduit. Rupanya dia suka berjudi tikam nombor. Rahsia dia terbongkar bila duit saya sering hilang, hinggakan satu hari saya jumpa surat pajak gelang tangan. Terkejut berok saya, bila tanya suami dia nafikan. Lepas tu ada pulak kawan dia telefon suruh saya inasihatkan suami jangan jual barang kilang, takut kena tangkap dan kena buang kerja . Ini kes teruk. Saya tanya suami dia nafikan, dia kata fitnah. Dan bila saya fikir ini bukan`kerja’ baru, tentu dah lama Cuma saya tidak tahu. Sebenarnya lepas pindah baru saya nampak perangai buruk suami sebenarnya.
``Lama lama saya terfikir mungkin suami pernah curi duit emak saya, sebab itu adik beradik suruh saya pindah, tapi mereka tak cerita yang sebenar, dan bila dah pindah duit saya pulak sering hilang. Nak jadikan cerita ketika mengandung anak ketiga suami kena buang kerja kerana mencuri. Hancur.
``Macam mana saya nak hidup, gaji kecik, anak masuk tiga. Pertengkaran antara kami sering berlaku, akhirnya kami bercerai. Kerana keadaan terdesak hutang bertambah banyak, saya terpaksa merayu minta balik duduk rumah emak. Ketika itu baru saya tahu kenapa adik beradik suruh pindah sebab emak sering hilang duit, malah gelang dan rantai emak pun hilang. Tapi emak tak cakap pada saya.
``Lepas bersalin, suami rayu nak rujuq. Saya tolak. Cukuplah sekali terkena. Saya kerja keras besarkan anak anak sendirian. Dipendekkan cerita anak anak semua dapat kerja. Saya tetap duduk rumah emak walaupun emak sudah tiada.
``Masalah sekarang, bila anak perempuan pertama hendak kahwin. Saya nasihatkan dia belajar simpan duit dulu, supaya tak hidup susah macam saya. Tapi anak anak muda sekang tak makan nasihat. Saya mahu mereka simpan duit supaya beli rumah biarpun flat. Tapi mereka berpendapat dah kahwin baru beli rumah, sama sama kongsi bayar. Mereka kata mahu rumah yang selesa.
``Betul! Tapi ditakdirkan berlaku perceraian, sanggupkah dia berperang turun naik mahkamah tuntut rumah. Lagi parah kalua rumah nama suami. Tujuan saya kalua ada rumah sendiri, kalua bercerai pun mereka ada rumah sendiri. Tapi anak marah, `kami nak kahwin, bukan nak bercerai.’ Mereka tak tahu bahawa rezeki, jodoh, hidup dan mati itu ketentuan Allah.
``Namun saya sedar ini kesalahan saya, tak pernah bercerita pada anak anak kesusahan dan masalah hidup serta perangai buruk ayah mereka. Lepas bercerai saya pindah duduk rumah emak, dan emak bantu bila saya susah. Jadi anak anak tak pernah tahu hidup emaknya susah lepas bercerai, kerana saya tak mahu mereka susah hati. Akibatanya anak anak tak tahu apa erti kesusahan.
`Tujuan saya supaya anak anak tak rasa rendah diri dengan sepupu mereka yang ada ayah. Mereka walaupun tidak ada ayah, tapi boleh hidup selesa dan bahagia. Kini saya faham buruk baiknya saya sorokkan keadaan sebenar saya kepada anak anak. Dan saya amat bimbang kalua mereka gagal dalam perkahwinan, bolehkah mereka bertahan hidup macam saya?
``Dulu lepas bercerai saya ada emak tempat bergantung, ada bumbung untuk berteduh, sedangkan saya sekarang masih tidak ada rumah, masih duduk rumah emak. Nasib adik beradik tak halau, kalua halau mana saya nak pergi? Akhir akhir ini saya terfikir nak buat rumah kecil untuk saya sendiri, atas tanah pusaka emak. Sedih, usia semakin tua masih tidak ada rumah sendiri.’’ Itu cerita Zanita tentang kehidupannya. Persoalannya bolehkah kita menumpang rumah anak bila kita tua nanti. Kalau anak setuju apa kata menantu? Sama samalah kita fikirkan.

Address

Kuala Lumpur

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Di Celah Celah Kehidupan DCCK posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Business

Send a message to Di Celah Celah Kehidupan DCCK:

Share

Category