30/01/2026
RAWANG
Suasana aman sebuah kawasan perumahan di Taman Bakawali, Bukit Sentosa 3, Rawang bertukar cemas apabila seorang kanak-kanak perempuan hampir kehilangan nyawa selepas diserang seorang individu tidak dikenali, petang semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 6.50 petang, Khamis (29 Januari 2026), ketika mangsa bersama dua orang abangnya berjalan kaki menuju ke pasar malam yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka. Difahamkan, ini merupakan kali pertama kanak-kanak tersebut dibenarkan keluar tanpa pengawasan ibu bapa berikutan keadaan kesihatan ibu bapanya yang kurang sihat.
Menurut perkongsian ahli keluarga, mangsa dikatakan dikejar sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah rumah berhampiran oleh suspek. Abang mangsa yang menyedari kejadian tersebut segera cuba menyelamatkan adiknya, namun suspek bertindak agresif dengan memijak, menendang serta mencekik mangsa sehingga menyebabkan kecederaan serius. Jeritan meminta tolong telah menarik perhatian jiran dan orang awam yang kemudian bertindak pantas menyelamatkan mangsa.
Mangsa berjaya diselamatkan hasil bantuan penduduk setempat, dan keluarga mangsa menzahirkan rasa syukur serta berterima kasih kepada jiran-jiran yang prihatin. Ketiga-tiga kanak-kanak terlibat dilaporkan mengalami trauma akibat kejadian itu.
Perkongsian : Nett Adnan