11/08/2026
| ANYI JANA BERSEDIA DIPERTAHANKAN SEBAGAI CALON GPS/PRS N.49 NGEMAH
KANOWIT, 11 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.49 Ngemah, YB Anyi Jana, menegaskan kesediaannya untuk terus diberi kepercayaan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Beliau berkata, soal pertukaran calon merupakan hak dan keputusan parti, namun setakat ini belum ada keputusan rasmi yang mengesahkan bahawa beliau akan digantikan sebagai calon bagi DUN N.49 Ngemah.
Menurutnya, beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan hanya berdasarkan video atau kenyataan yang tular di media sosial berhubung dakwaan terdapat calon baharu yang telah dipersetujui untuk menggantikannya.
“Saya baru diberikan amanah untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi DUN N.49 Ngemah untuk satu penggal.
“Dalam tempoh tersebut, saya telah berusaha sedaya upaya membawa pembangunan, menyelesaikan isu rakyat serta memperjuangkan kepentingan kawasan Ngemah,” katanya.
Anyi Jana berkata, berdasarkan rekod kerja serta pencapaian ‘Key Performance Indicator’ (KPI) sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau percaya telah memberikan komitmen terbaik kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, masih banyak agenda pembangunan yang perlu diteruskan dan beliau masih mempunyai perancangan serta perkara yang ingin diperjuangkan untuk manfaat rakyat Ngemah pada penggal akan datang.
“Rakyat Ngemah masih memerlukan seorang wakil rakyat yang sentiasa berada bersama mereka, mendengar suara rakyat, memahami keperluan setiap kawasan dan terus membawa pembangunan ke seluruh DUN N.49 Ngemah,” katanya.
Dalam pada itu, Anyi Jana mendedahkan bahawa AJK PRS N.49 Ngemah dalam mesyuarat yang lalu telah menyatakan pendirian dan persetujuan untuk mempertahankannya sebagai calon GPS/PRS bagi DUN N.49 Ngemah pada PRN Sarawak akan datang.
Beliau berkata, perkara berkaitan dakwaan calon baharu berkenaan juga mungkin akan dibawa ke mesyuarat PRS N.49 Ngemah untuk dibincangkan secara rasmi dan, sekiranya perlu, diajukan kepada kepimpinan tertinggi parti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keputusan mengenai calon bukan dibuat oleh seseorang individu semata-mata, sebaliknya melalui proses dan pertimbangan kepimpinan parti serta GPS dan Premier Sarawak.
“Saya menghormati proses serta keputusan parti dan saya bersedia menerima apa jua keputusan yang dibuat melalui saluran rasmi parti,” katanya.
Pada masa sama, Anyi Jana menegaskan beliau sudah bersedia menghadapi PRN Sarawak akan datang, dengan fokus utama ketika ini adalah meneruskan khidmat kepada rakyat serta agenda pembangunan di DUN N.49 Ngemah.
Beliau turut menyeru semua ahli dan penyokong PRS supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin, spekulasi atau kenyataan yang belum disahkan secara rasmi.
“Kita utamakan perpaduan. Jangan kita berpecah kerana soal calon.
“Kita mesti terus memperkukuhkan parti, menjaga perpaduan dalam GPS/PRS dan memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih penting, iaitu pembangunan serta kesejahteraan rakyat DUN N.49 Ngemah,” katanya.
Anyi Jana menegaskan bahawa beliau akan terus bekerja untuk rakyat dan menyerahkan soal pencalonan kepada proses serta keputusan rasmi parti.
“Utamakan perpaduan. Kekalkan kesatuan. Teruskan pembangunan Ngemah.” ujar nya.