12/01/2026
Pemandu maut, penumpang parah selepas Aruz rempuh tembok plaza tol
Oleh Malinda Abdul Malik - 12 January 2026
KEPALA BATAS – Seorang lelaki warga Pakistan maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tembok di Plaza Tol Sungai Dua di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.40 malam itu, pemandu MPV jenis Perodua Aruz itu maut di lokasi kejadian manakala rakan senegaranya dikenali sebagai Zafar Iqbal, 42, mengalami kecederaan parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 10.43 malam dan tiba di lokasi 16 minit kemudian.
Hasil siasatan awal di lokasi kedua-dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang akibat kemalangan tersebut.
“Mangsa pertama iaitu penumpang telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Manakala mangsa kedua dikeluarkan 11.15 malam oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas kebombaan dengan bantuan Polis Bantuan Lebuh Raya.
“Petugas KKM mengesahkan pemandu berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.07 tengah malam selepas tiada bahaya lain dikenal pasti di lokasi.
Terdahulu tular rakaman video menunjukkan kenderaan tersebut dari arah kiri jalan sebelum hilang kawalan hingga merempuh plaza tol serta memasuki lorang bertentang.
Aartikel : MalaysiaGazette