25/06/2024
BlackRock melabur dalam hampir 100 syarikat besar di Malaysia
MASIH ramai yang tidak mengetahui mengenai BlackRock, sebuah firma asing yang dikaitkan dengan Israel dalam penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan BlackRock beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, seluruh negara serta pasaran saham.
Data menunjukkan BlackRock mempunyai kepentingan dalam saham Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion serta RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat di Malaysia.
Menurut data yang boleh diperoleh secara terbuka setakat Mei 2024, BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi sektor industri, dengan tiga entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini.
Firma berpangkalan di Amerika Syarikat itu aktif melabur di Malaysia dengan jumlah nilai pasaran (MV) terkini ialah AS$4.3 bilion atau kira-kira RM24.7 bilion iaitu pelaburan ekuiti syarikat tersenarai sebanyak RM18.7 bilion dan bon sebanyak RM7.9 bilion.
Berdasarkan senarai pelaburan BlackRock di Malaysia, sektor perbankan merupakan tiga entiti tertinggi dilaburnya iaitu Public Bank sebanyak RM2.34 bilion (2.75 peratus), diikuti Maybank RM2.16 bilion (1.88 peratus) dan CIMB RM1.42 bilion (2.07 peratus).
Tenaga Nasional Berhad di tangga keempat dengan pelaburan sebanyak RM8.6 juta (1.32 peratus), disusuli Metal Aluminium RM625 juta (1.62 peratus) dan CelcomDigi RM526 juta (1.03 peratus).
Dari segi bon p**a, BlackRock memiliki pelaburan tertinggi di dalam bon kerajaan Malaysia sebanyak RM2.53 bilion, Petronas Capital RM2.52 bilion dan terbitan-terbitan bon RM1.57 bilion.