02/06/2026
Bismillahirrahmanirrahim..Che Na reveal cover e-book pertama terbitan Che Na sendiri. Jemput baca sinopsis dulu ye..
INARA MAISARAH: SAAT HATI KEMBALI
[SINOPSIS]
“Kalau dia betul pernah sayang… kenapa dia tinggalkan aku macam semua janji tu cuma mimpi yang aku seorang percaya?” - Inara Maisarah
Empat tahun Inara Maisarah hidup dengan soalan itu. Soalan yang tak pernah benar-benar pergi, walaupun masa terus berjalan dan dunia memaksa dia untuk bangkit seperti biasa. Di sebalik tenangnya sebagai seorang ibu, ada hati yang masih menyimpan retak yang tak pernah sembuh sepenuhnya. Dia belajar tersenyum, belajar kuat, belajar menyusun hidup yang pernah runtuh. Namun, ada luka yang tetap tinggal dalam diam, tapi hidup dalam setiap ruang yang belum sempat pulih.
Dan luka itu terasa lebih perit apabila apabila tempias kehilangan itu mula singgah pada hati kecil yang sedang membesar.
“Mommy… are you sad again?” - Irham Afiq
“Kalau dua-dua sayang Irham… kenapa tak nak main sama-sama?” - Irham Afiq
Lewat pertanyaan-pertanyaan kecil itulah Inara sedar, kehilangan ini bukan lagi miliknya seorang. Ada hati kecil yang turut membesar dalam ruang kosong yang tidak pernah terisi sempurna. Ada seorang anak yang tidak pernah mengerti sepenuhnya tentang dunia orang dewasa, tetapi cukup merasai bahawa ada sesuatu yang hilang dalam hidup mereka. Sesuatu yang sepatutnya ada, tetapi tak pernah benar-benar tinggal.
Dalam hidup yang dibina semula perlahan-lahan, hadir p**a Dr. Faiq Ilham. Lelaki yang tidak pernah meminta tempat, tetapi sentiasa ada setiap kali dunianya terasa paling berat. Faiq tidak datang dengan janji yang indah, apatah lagi desakan untuk dicintai. Dia hanya hadir dengan kesetiaan, dengan bahu yang tak pernah jemu menjadi tempatnya bersandar dan dengan hati yang memilih untuk tetap ada walaupun tahu dirinya mungkin takkan pernah menjadi nama pertama dalam doa seorang perempuan yang terluka.
“Ara tak sendiri. Abang ada.” – Dr. Faiq Ilham
“Ara penat, Abang. Penat sangat.” - Inara Maisarah
“Then, bagi abang ruang jaga Ara. At least untuk pastikan Ara tak jatuh.” - Dr. Faiq Ilham
Namun masa lalu tidak pernah benar-benar mati. A’ryff Luqman kembali. Lelaki yang pernah menjadi cinta paling dalam dalam hidup Inara. Lelaki yang pernah membuat dia percaya bahawa cinta itu wujud, bahawa janji itu boleh dipegang, bahawa hati yang memilih tak akan dibiarkan rebah sendirian.
“Kalau satu hari nanti awak rindu sangat… pegang sini. Sebab jantung saya… tetap sebut nama awak.” – A’ryff Luqman
Tetapi A’ryff bukan sekadar lelaki yang meninggalkan. Dia juga lelaki yang pernah terperangkap dalam takdir dan keadaan yang tidak pernah memihak kepada mereka. Dan apabila kebenaran mula tersingkap, Inara terpaksa menerima bahawa ada kehilangan yang selama ini dia anggap pengkhianatan rupa-rupanya luka yang turut ditanggung diam-diam oleh lelaki itu sendiri.
Di antara cinta yang masih bernafas dalam kenangan, dan kasih yang setia menyambut setiap serpih lukanya, Inara akhirnya terpaksa berdepan dengan satu persoalan yang tak lagi boleh dielakkan:
Saat hati itu kembali, adakah ia akan berpaut semula pada rasa yang tak pernah benar-benar mati… atau memilih kasih yang setia tinggal, hingga jiwanya perlahan-lahan mengenal semula makna sebuah tenang?