02/08/2026
TERIMA KASIH WARGA SEREMBAN JAYA
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi Seremban Jaya yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi dalam pilihan raya kali ini.
Ucapan terima kasih yang istimewa kepada masyarakat Melayu yang telah bersatu hati dan berani membawa suara perubahan. Sokongan yang diberikan membuktikan bahawa masih ramai rakyat yang menginginkan keseimbangan, semak dan imbang serta pentadbiran yang lebih prihatin terhadap denyut nadi rakyat.
Penghargaan yang sama turut ditujukan kepada sejumlah kecil pengundi India dan Cina yang telah meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional. Walaupun Barisan Nasional tidak berjaya merampas kerusi Seremban Jaya, peningkatan sokongan dan pertambahan undi yang begitu ketara menjadi isyarat jelas bahawa semakin ramai rakyat mula membuka ruang untuk mendengar dan menilai alternatif yang kami tawarkan.
Kepada setiap pengundi yang memberi kepercayaan kepada BN, ketahuilah bahawa undi anda bukan sekadar angka di atas kertas. Ia adalah amanah, harapan dan tanggungjawab yang akan BN pikul dengan penuh komitmen. Sokongan yang diberikan akan menjadi pembakar semangat untuk kami terus berkhidmat, mendengar keluhan rakyat dan memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati masyarakat Seremban Jaya.
Masa akan menjadi saksi kepada siapa yang benar-benar hadir ketika rakyat memerlukan bantuan, siapa yang benar-benar mendengar apabila suara rakyat semakin tenggelam, dan siapa yang benar-benar berjuang tanpa mengira musim pilihan raya.
Perjuangan ini tidak berakhir di peti undi. Perjuangan ini baru sahaja bermula.