03/05/2026
POLIS DAERAH SIBU PERHEBAT OP BERSEPADU CEGAH JENAYAH DAN SAMSENG JALANAN
SIBU, 3 MEI - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu terus mempergiat usaha membanteras jenayah menerusi pelaksanaan Op Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan bermula jam 10.00 malam hingga 3.00 pagi pada 2 hingga 3 Mei 2026.
Operasi tersebut melibatkan seramai 12 pegawai dan 61 anggota daripada pelbagai bahagian termasuk Trafik, Siasatan Jenayah, Narkotik serta Pencegahan Jenayah. Ketua Polis Daerah Sibu, YDH ACP Azari Bin Miskon, turut hadir memantau pelaksanaan operasi khususnya di Sekatan Jalan Raya (SJR) yang diadakan di Jalan Channel dan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 332 kenderaan dan 394 individu telah diperiksa di beberapa lokasi tumpuan antaranya Jalan Awang Ramli Amit dan Jalan Bujang Suntong. Hasil pemeriksaan, pihak polis telah mengeluarkan 87 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Dalam tindakan penguatkuasaan, dua lelaki telah ditahan atas kesalahan berasingan. Seorang daripadanya ditahan kerana melakukan aksi berbahaya “wheelie” di jalan raya dan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Manakala seorang lagi remaja berusia 16 tahun ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu dan disiasat di bawah Seksyen 108 akta yang sama.
Dalam perkembangan lain, polis turut menahan dua individu melibatkan kes jenayah dan narkotik, termasuk seorang lelaki tempatan yang didapati memiliki dadah disyaki jenis methamphetamine serta positif dadah.
Turut dijalankan serbuan ke atas sebuah premis hiburan di Jalan Lau King Howe yang beroperasi tanpa lesen sah. Seorang pekerja lelaki tempatan telah ditahan dan pelbagai peralatan premis dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Hiburan 2000.
Pihak polis memaklumkan bahawa operasi telah berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.