
03/08/2025
๐๐๐ฅ๐๐ฆ๐๐ญ ๐๐๐ง๐ฒ๐๐ฆ๐๐ฎ๐ญ ๐๐ฅ๐๐ง๐ ๐ญ๐๐ก๐ฎ๐ง ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐-๐๐
Assalamualaikum dan salam kasih perjuangan buat seluruh ahli Puteri UMNO Malaysia.
Tanggal 3 Ogos ini membawa kita kepada detik yang sangat bermakna. Puteri UMNO telah genap 24 tahun, di saat parti induk kita, UMNO, kini menjangkau usia 79 tahun.
Kita tidak lagi boleh dilihat sebagai โgadis manja politikโ. Puteri UMNO hari ini adalah penyambung harapan perjuangan dan kita bersyukur, kerana sepanjang dua dekad ini, Puteri telah melalui fasa-fasa kepimpinan yang membina kekuatan dan jatidiri institusi ini.
Dari era YB Dato' Sri Azalina Othman yang memugar keberanian, ke zaman YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang memperkukuh struktur dan keupayaan organisasi, diteruskan oleh YBhg Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang membawa Puteri merakyat ke tengah denyut masyarakat, kita mewarisi kekuatan daripada tangan-tangan yang telah terbukti dan berjasa.
Hari ini, cabaran kita berbeza. Kita berdiri dalam ruang menuntut kematangan akal, ketahanan jiwa, dan keberanian membuat keputusan. Kita hidup dalam zaman di mana politik bukan lagi tentang siapa yang paling kuat bersuara, tetapi siapa yang mampu bertahan dan terus memberi makna.
Ucapan YAB Presiden UMNO, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena ulang tahun ini memberi makna besar kepada kami di Puteri. Apabila beliau menyebut bahawa kita adalah nadi dinamik parti, itu bukan pujian kosong, tetapi peringatan yang jujur dan tepat. Bahawa kita tidak boleh leka, tidak boleh selesa, dan tidak boleh berpaut pada nama semata-mata.
Lebih-lebih lagi dalam baki tahun 2025 ini, sebelum kita menjejak usia suku abad perjuangan. Tempoh ini bukan waktu menunggu. Ini waktu membina.
Membina semula keyakinan rakyat terhadap parti. Membina rangka kepimpinan wanita muda yang benar-benar faham denyut rakyat. Serta membina ruang agar Puteri kekal sebagai platform penggerak dasar, bukan sekadar pelaksana program.
Saya ingin menyeru kepada seluruh ahli Puteri UMNO Malaysia: Teruskan kekal setia. Teruskan kuatkan langkah, kerana dalam apa jua keadaan, Puteri akan terus menjadi pemegang obor harapan yang tidak tunduk kepada waktu, tetapi bangkit kerana semangat dan cinta kepada perjuangan.
Selamat Ulang Tahun ke-24 Puteri UMNO Malaysia. Ini Zaman Kita! Bukan untuk dikenang, tetapi untuk menyumbang.
Perkasa Puteri, Pemangkin Perubahan!
Ikhlas:
Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi @ Along