19/05/2026
112 PATI FILIPINA DIHANTAR PULANG KE NEGARA ASAL
LAHAD DATU; 19 MEI 2026 (Selasa) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 112 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina ke negara asal dari Depot Imigresen Kota Kinabalu melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.
Semua tahanan terdiri daripada 63 lelaki dewasa, 34 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun.
Kanak-kanak yang terlibat turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
JIM Sabah memaklumkan, sehingga kini seramai 1,947 tahanan PATI warganegara Filipina telah dipindahkan ke negara asal daripada keseluruhan 3,085 tahanan asing yang terlibat dalam program penghantaran pulang.
Menurut kenyataan itu, semua tahanan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan pulang ke negara asal.
Dalam pada itu, pihak majikan disaran menyertai program pendataan digital warga asing menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bagi mengurus dan merekod keberadaan pekerja asing di negeri ini.
Jabatan itu berkata, inisiatif berkenaan dijangka membantu mengekang isu lambakan PATI serta penyalahgunaan pelbagai dokumen di Sabah.
Pada masa sama, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.
Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan melindungi atau bersubahat dengan PATI.
Sumber daripada group media viral