19/05/2026
Ustaz Budak Muncul di Bangkok
Ustaz Budak' (Syamsul Zaman Sukri) dilaporkan muncul di Soi 53 Ramkhamhaeng—sebuah kawasan di Bangkok yang boleh digelar sebagai 'mini Patani' kerana padat dengan warga Melayu Patani.
Sebelum dikesan di Bangkok, beliau terlebih dahulu muncul di tiga wilayah sempadan selatan Thailand beberapa bulan lalu selepas dibebaskan daripada hukuman penjara selama 13 bulan (setahun satu bulan) atas kesalahan melakukan kelucahan melampau.
Terdahulu, beliau pernah dihadapkan ke mahkamah di Kelantan atas 13 pertuduhan berkaitan jenayah seksual terhadap beberapa mangsa lelaki, termasuk dalam kalangan bekas pelajarnya.
Sebelum dipenjarakan pada tahun 2024, Ustaz Budak merupakan salah seorang penceramah yang paling popular dan berpengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu Patani.
Malah, kutipan derma daripada majlis ceramahnya dikatakan jauh lebih tinggi berbanding penceramah tempatan mahupun luar negara yang lain.
Menurut rekod, hasil kutipan derma bagi satu malam ceramahnya pernah mencecah sehingga lebih THB 700,000, seperti yang pernah dipungut di daerah Jeringau.
Gambar hiasan dari sebuah laman Facebook