25/08/2025
Kerajaan Negeri Pulau Pinang Hulurkan Bantuan Perumahan dan Kewangan kepada Mangsa
Kemalangan
Pulau Pinang, 24 Ogos 2025 – YB Dato’ Seri Sundarajoo A/L Somu, EXCO Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, telah menyampaikan surat tawaran Rumah MutiaraKu (RMKU) Jenis A kepada Puan Amartham A/P Munusamy, pemegang amanah bagi cucunya, Darshan A/L Murugan dan Kavarjitha A/P Murugan, yang menjadi mangsa dalam satu kemalangan tragis. Majlis penyerahan diadakan di Rumah Pangsa Mutiara Indah, Fasa 4 (Blok D), Seberang Perai Selatan.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan komitmen berterusan dalam menyediakan perumahan mampu milik yang berkualiti, lestari, dan dengan harga yang berpatutan. Inisiatif ini bukan sahaja tertumpu pada pembinaan rumah, tetapi juga melibatkan perancangan pembangunan holistik bagi memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki kediaman yang selesa tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Kerajaan negeri turut memberi perhatian khusus kepada golongan rentan yang ditimpa musibah melalui bantuan yang diselaraskan.
Tragedi yang Menimpa Dua Beradik
Pada 18 Februari 2025, negeri Pulau Pinang dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa dua beradik di Jalan Besar, Sungai Bakap. Darshan A/L Murugan, 7 tahun, mengalami kecederaan serius pada tangan kiri yang kini tidak dapat digunakan, manakala adiknya, Kavarjitha A/P Murugan, 5 tahun, kehilangan kaki kanan. Nenek mereka, Puan Amartham A/P Munusamy, turut cedera dalam kejadian tersebut.
Sebagai tanda keprihatinan, pada 22 Februari 2025, YB Dato’ Seri Sundarajoo bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak sekolah telah menziarahi kedua-dua beradik di Hospital Pulau Pinang. Bantuan kewangan telah disalurkan, dan sebuah tabung khas dicadangkan di bawah PIBG sekolah. Sambutan daripada masyarakat amat memberangsangkan, hingga kempen kutipan dana dilanjutkan.
Pada 20 April 2025, satu lawatan susulan telah diadakan, dan beberapa cadangan telah dikemukakan:
1. Pembelian Rumah MutiaraKu: RM42,500 daripada dana yang terkumpul digunakan untuk membeli sebuah unit Rumah MutiaraKu Jenis A di Projek Rumah Pangsa Mutiara Indah, Fasa 4 (Blok D). Rumah ini didaftarkan atas nama nenek mereka sebagai pemegang amanah, dan pemilikan akan dipindahkan kepada cucu-cucu apabila mereka mencapai usia 18 tahun.
2. Amanah Kebajikan: Baki dana diletakkan di bawah kawalan seorang “Trustee”, dengan RM1,500 sebulan disalurkan kepada nenek mereka untuk menjaga kebajikan kedua-dua beradik sehingga mereka berumur 18 tahun.
Sehingga 19 Ogos 2025, dana yang berjaya dikumpul telah mencecah RM222,024.41. Sebagai EXCO Perumahan dan Alam Sekitar, YB Dato’ Seri Sundarajoo telah memperuntukkan sebuah unit rumah kos rendah RMKu Jenis A bernilai RM42,000 melalui Mesyuarat Housing Outcome Performance Committee (HOPE) Bil. 4/2025. Unit ini direka mesra OKU, terletak di tingkat pertama, serta dilengkapi dengan lif dan laluan khas kerusi roda.
YB Dato’seri Somu
berharap agar bantuan ini dapat memberi sinar baharu kepada kedua-dua anak ini untuk membesar dalam suasana yang lebih selesa, selamat, dan terjamin. Beliau turut yakin bahawa dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, kebajikan keluarga ini akan terus terpelihara.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal komited dalam memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat melalui perumahan mampu milik yang inklusif, lestari, dan berdaya huni, selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Marilah kita bersama-sama membina sebuah negeri yang lebih makmur, sejahtera, dan penuh belas ihsan.