
07/06/2025
SAYA, RAPUHNYA HIDUP & MUDAHNYA MATI.
Minggu yang sudah saya ke Terengganu bersama rakan-rakan. Menaiki besi buruk saya, merangkaklah kami perlahan-lahan di lebuhraya yang hening dan sunyi.
Sampai berhampiran hentian Kuantan, ada kemalangan yang baru jadi. Sebuah Xtrail terbalik empat tayar menunjuk langit & sebuah mercedes yang sekejap tadi memotong kami laju, kemek di bahagia pintu kiri.
“Ada sapa berani tolong? Ada sapa berani tolong” saya bertanya kawan-kawan, tetapi bila nampak ada makcik terduduk berlunjur di atas jalan, saya terus berhenti. Saya kereta ke dua berhenti selepas kereta Jakoa yang hampir seiring dengan kami dari tol Gombak tadi.
Pemandu kereta mercedes meraung-raung, meminta keluarkan rakannya di dalam kereta. Saya meluru ke makcik yang terduduk di tengah jalan, mengendahkan mercedes tadi yang saya lihat minor rosaknya, mestilah kurang impaknya. Makcik ini penumpang xtrail, ada 3 lagi dalam kereta. Makcik ini terkoyak di dahi, paha kanan ada luka besar dan patah. Tangan kiri terkulai lembik. Di tepi peha tadi, ada secebis kulit dan isi. Saya tarik kain makcik yang terselak biar menutup skit pehanya.
Saya cuma meminta makcik itu istigfar, terangkan kepadanya yang kami tidak boleh berbuat apa waima mengalihnya ketepi bimbang kalau cederanya makin teruk. Saya ke Xtrail yang terbalik, seorang sudah keluar, 2 orang masih terbaring, masih sedar dan tak tersepit.
Saya pergi ke kereta mercedes, sorang perempuan dah dikeluarkan, tak ada luka tapi tak sedarkan diri. Baju terselak sampai nmpk buah dada, saya merapat untuk menarik bajunya tetapi berundur tersengat bau darah yang kuat. Rupanya darah banyak keluar di hidung dan telinga. Perut yang tadinya kembang kempis mula berhenti, saya meminta seorang untuk memeriksa nadi; ada tapi lemah. Pada masa yang sama, kelihatan jelas kulit yang putih kemerahan mula memucat; mula di kaki, kemudian di perut. Tak lama, nadinya sudah tidak ada. Saya ambil tuala dari dalam kereta, tutup badannya.
Kawan saya menelefon talian kecemasan.
Penumpang mercedes lelaki tak tersepit, tetapi pintu yang kemek susah dibuka. Bila pintu dah dapat dibuka, mangsa yang tak sedar tapi duduk elok ditempat penumpang, tali pinggang keledar masih terikat dan beg udara depan dan tepi sudah terbuka. Diangkat mangsa ketepi, tangan patah, tiada apa-apa luka, tak ada setitik darah. Sama seperti mangsa perempuan tadi, nadi makin lemah, kulit makin memucat dari bawah ke atas, kemudian habislah nyawa; badan sejuk dan membiru.
Saya termenung jauhnya juga. Macamana kereta yang minimal impaknya, dengan sistem keselamatan berfungsi bagus, dan mangsa yang kelihatan seperti tidak apa-apa, tanpa luka tapi habisnya nyawanya disitu tanpa sempat dibantu mereka yang lebih arif dalam bidangnya.
Selesai lebih kurang sejam setengah, kami teruskan perjalanan - masing2 diam termenung. “Macam tak logik 2 orang tadi boleh mati” kata saya kepada rakan.
Pertama kali melihat kematian di hadapan mata; melihat betapa rapuhnya hidup, dan betapa mudahnya mati itu terjadi, tanpa sebab kukuh dan tanpa punca yang boleh kita fahami.
By amri daud