11/11/2025
Saya tertarik dengan Kenyataan Media daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 11 November 2025, yang mengumumkan Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu terhadap intipati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai Pemberian Khas 40% Sabah, merupakan satu langkah strategik yang bernuansa dan perlu dianalisis secara teliti. Tindakan ini menunjukkan percanggahan antara komitmen politik jangka pendek dan pertimbangan risiko perundangan jangka panjang.
Secara luaran, Kenyataan Media ini nampak HEBAT. “Kerajaan Persekutuan TIDAK AKAN merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak 40% Sabah dan akan memulakan rundingan segera”.
Pandangan peribadi saya, melalui daripada Kenyataan Media tersebut, ianya menampakkan Kerajaan Persekutuan secara strategik mengasingkan Keputusan Mahkamah Tinggi daripada Alasan Penghakiman (Grounds of Judgment) untuk mencapai dua objektif yang berbeza iaitu Kemenangan Politik segera dan Perlindungan Undang-Undang Jangka Panjang.
Kenyataan Media tersebut secara eksplisit menyatakan Kerajaan Persekutuan TIDAK AKAN MERAYU terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah terhadap isu 40% dan akan memulakan rundingan segera. Namun, saya melihat kenyataan ini adalah langkah politik pantas (political expediency) yang mengesahkan komitmen kerajaan di hadapan rakyat, memandangkan kita sekarang berada di suasana pilihan-raya.
Namun, pada masa yang sama, terdapat tanda tanya saya terhadap kenyataan ini ialah, Peguam Negara menasihati Jemaah Menteri berhubung "kecacatan dalam alasan penghakiman" dan Kerajaan Persekutuan AKAN MEMBUAT RAYUAN berhubung kecacatan tersebut. Adakah ini adalah Langkah rayuan dimana ianya bukan lagi mengenai membayar 40%, tetapi mengenai menghalang pengisytiharan rasmi (legal precedent) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi? Ini saya lihat seperti langkah perlindungan untuk menolak liabiliti sejarah dan mencegah risiko tuntutan undang-undang. Namun, saya mungkin salah.
Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara ini sepertinya adalah pengakuan bersyarat. Kerajaan Persekutuan bersedia melalui rundingan, tetapi secara serentak melawan dan mungkin mengelak di peringkat undang-undang untuk menolak pengisytiharan isu lalu.
Walaupun ini menggerakkan rundingan, fokus berterusan pada rayuan Alasan Penghakiman secara konkrit mengesahkan bahawa proses undang-undang mengenai rekod pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih berterusan. Kita hanya akan bergerak menuju proses perundingan, namun, apakah kesudahannya, kita masih belum tahu.
Sumber foto
Jabatan Peguam Negara