BISA PCM Publication

BISA PCM Publication Books and ebooks

BAB 7 - DIA MILIK AKU (2)          Dua hari berlalu. Sakinah semakin sihat dan itu menggembirakan Shakila. Dia berharap ...
10/07/2026

BAB 7 - DIA MILIK AKU (2)

Dua hari berlalu. Sakinah semakin sihat dan itu menggembirakan Shakila. Dia berharap Sakinah akan terus sihat dan sembuh sepenuhnya.

"Kak Kinah dah sihat?" tanya Shakila ketika dia dan Sakinah duduk di beranda selepas zohor.

Sudah lama mereka berdua tidak duduk dan berbual dalam keadaan tenang seperti dulu-dulu.

"Alhamdulillah makin sihat dan moga terus sihat!" jawab Sakinah.

Shakila tersenyum lebar. Harapannya untuk hidup bersama irfan kembali cerah jika Sakinah terus sihat. Keputusan ujian darah nanti umpama sijil pengesahan untuk Irfan kotakan janji. Shakila cukup yakin kali ini takdir akan menyebelahinya.

"Abang nak pergi hantar barang ke mana?" tanya Sakinah ketika nampak Irfan sudah berada di atas motor roda tiganya.

"Rumah Makcik Nab!" jawab Irfan lalu menghidupkan enjin motor.

Irfan terus bergerak bila kali ini tidak ada sesiapa yang berminat untuk mengikutnya.

"Pelik p**ak tak ada yang nak ikut!" kata Irfan dalam hati sambil tersenyum sendirian.

Irfan bergerak perlahan sahaja bila memasuki jalan kampung kerana untuk sampai ke rumah Makcik Nab di hujung kampung, Irfan perlu melalui lorong yang kecil serta banyak selekoh.

Sejak kebelakangan ini, Makcik Nab hanya buat pesanan melalui telefon. Sudah tidak larat untuk bergerak jauh katanya. Maka menjadi tugas Irfan untuk menghantar barang yang dipesan. Inilah kelebihan kedai Pak Latiff berbanding pasaraya di bandar.

"Panjang umur kamu Irfan! Aku baru je bertanya dalam hati mana kamu tak sampai lagi!" kata Makcik Nab yang sedang berehat di pangkin berdekatan dapur ketika Irfan menghampirinya.

Irfan menghentikan motornya betul-betul dekat dengan pintu dapur.

"Jalan ke rumah Makcik Nab ni macam ular kena palu. Berapa kali terangkat sebelah motor ni tadi! Tu yang lambat sikit!" jawab Irfan.

"Kamu pergi marah kerajaan, jangan marah aku!" balas Makcik Nab sambil menggobek sireh.

"Saya letak barang-barang ni kat tepi pintu je!" kata Irfan.

"Kamu ni macam tak biasa p**ak! Dah memang kat situ tempat yang biasa kamu letak!" jawab Makcik Nab.

Dalam masa 10 minit, Irfan siap menurunkan barang-barang milik Makcik Nab.

"Dah siap!" kata Irfan.

"Ni duitnya. Sampaikan terima kasih aku kat Pak Latiff!" kata Makcik Nab sambil menunjukkan duit yang di letakkan di atas pangkin dan ditindih dengan buah pinang.

"Baik Makcik Nab!" jawab Irfan lalu mengambil duit tersebut dan bergerak p**ang.

Kali ini Irfan menunggang motor agak laju berbanding tadi kerana tiba-tiba perutnya meragam.

"Masa nilah perut ni buat hal! Dahlah jalan macam ni!" bebel Irfan yang semakin tidak tentu arah.

Tiba di satu selekoh yang agak tajam, Irfan tidak dapat mengawal motor dengan baik. Lebih malang lagi, ada sebuah kereta yang sedang menuju ke arahnya. Irfan terpaksa membelok ke arah semak untuk mengelak bertembung dengan kereta tersebut.

Irfan terperosok di dalam semak. Walaupun motor hanya terbabas tetapi lutut Irfan terlanggar batang pokok menyebabkan Irfan terbaring di atas tanah. Irfan berjaya bangun dan berjalan keluar dari semak tetapi kemudiannya terbaring semula di tepi jalan.

"Maaf-maaf...saya tak nampak encik tadi!" Irfan terdengar suara wanita.

"Laaa..awak Irfan!" kata wanita itu lagi.

Irfan membuka mata dan nampak Linda sedang berdiri di tepinya.

"Salah saya tadi!" jawab Irfan.

"Awak ni baik sungguhlah. Terus je mengaku salah padahal saya pun salah jugak sebab memandu laju!" kata Linda.

"Saya sakit perut tadi, tu yang nak cepat!" sekali lagi Irfan buat pengakuan.

"Dah tu sekarang macam mana? Sempat lagi tak?" tanya Linda sambil tersenyum.

"Dah terencat, dah masuk balik!' jawab Irfan sambil tersenyum juga.

"Nasib baik tak terberak dalam seluar!" kata Linda lagi tetapi kali ini dengan pakej ketawa.

Irfan cuba bangun tetapi hampir terjatuh. Linda sempat memegang bahu Irfan, namun kepala mereka terhantuk satu sama lain. Mereka bertentang mata agak lama.

"Maafkan saya...!" kata Linda lalu membantu Irfan berdiri.

"Salah saya tadi! jawab Irfan sambil malu-malu.

"Nak saya tolong hantar ke klinik?" tanya Linda sambil membantu Irfan duduk di atas kerusi keretanya di sebelah pemandu.

Kedua-dua kaki Irfan berada di luar kereta. Seluarnya p**a koyak pada bahagian lutut sebelah kiri.

"Tak payahlah..sikit sahaja ni!" kata Irfan sambil menggosok-gosok lutut kirinya.

"Eh sekej*p! Saya memang ada simpan dalam kereta ni minyak angin dan minyak urut!" kata Linda lalu membuka 'dashboard' kereta.

Tubuh mereka bersentuhan ketika Linda cuba membuka dashboard kereta. Irfan cuba mengelak tetapi tempat bersandar pada kerusi kereta menghalang niatnya. Irfan terus beristighfar tanpa henti kerana terhidu wangian minyak wangi yang Linda guna.

"Ni pun minyaknya!" kata Linda sambil duduk bercangkung di hadapan Irfan.

Irfan menundukkan kepala untuk mengelak pandangan mata Linda yang tepat ke mukanya. Linda terus menyapu dengan lembut minyak tersebut pada lutut kiri Irfan.

"Biar saya buat sendiri!" rayu Irfan.

"Tak apa, salah saya tadi. Jadi biar saya yang sapukan minyak!" balas Linda.

Irfan serba salah. Di antaranya dengan Linda, pasti ada iblis yang menjadi makhluk ketiga.

"Dah okay ni! Saya nak balik!" kata Irfan lalu cuba berdiri dengan tergesa-gesa.

Linda juga cuba berdiri pada masa yang sama dan kini mereka berdua berdiri rapat antara satu sama lain tanpa sengaja. Muka mereka juga hampir tersentuh. Beberapa minit berlalu tanpa pergerakan kecuali pertentangan mata.

"Allahhu Akbar..." kata Irfan lalu berjalan dengan laju ke arah motornya.

Linda hanya berdiri melihat Irfan terhencot-hencot. Jantung Linda berdebar seperti dia sudah terjumpa kekasih hati idaman. Hatinya berbunga-bunga tetapi malangnya Irfan suami orang.

Irfan berjaya menarik keluar motornya yang tersangkut di dalam semak hingga sampai ke jalan yang berturap.

"Boleh ke bawak motor tu?" tanya Linda.

"InsyaAllah boleh!" jawab Irfan lalu menghidupkan enjin motor.

"Alhamdulillah dah hidup! Saya balik dulu. Terima kasih dan mintak maaf banyak-banyak!" Kata Irfan lalu mula bergerak.

Linda juga masuk ke dalam kereta dan mencari tempat untuk memusingkan kereta. Dia berniat untuk mengikut Irfan dari belakang sehingga sampai ke rumah Irfan. Dia risau jika motor itu rosak di tengah jalan. Entah kenapa timbul satu perasan pelik di dalam hatinya. Dia rasa tenang bila melihat dan berbual dengan irfan. Dia yakin dia sudah jatuh cinta pandang ketiga terhadap Irfan.

Irfan terus bergerak tanpa perasan Linda mengikut dia dari belakang. Lututnya masih terasa sakit. Dia berharap ia tidak cedera teruk kerana dia hanya punya tenaga 4 kerat ini untuk bekerja mencari rezeki.

Irfan tiba di simpang masuk ke rumahnya dan tidak lama kemudian, Linda juga masuk ke simpang yang sama. Irfan memarkir motor di tempat biasa. Dia mendengar bunyi kereta masuk ke kawasan rumah. Bila dia berpaling, dia nampak kereta Linda berhenti dekat pondok.

"Dia buat apa datang kat sini? Elok-elok orang tak tau, nanti jadi kecoh!" bebel Irfan dalam hati.

Irfan cepat-cepat menghampiri Linda tetapi pada masa yang sama, Shakila keluar dari kedai.

"Kenapa ni abang?" tanya Shakila sebelum sempat Irfan menghampiri Linda.

"Maaf adik! Tadi saya hampir nak terlanggar Irfan ni. Motor dia termasuk ke dalam semak. Jadi saya ikut dia balik ke sini sebab risau ada masalah pada motor dia!" Linda yang memberi jawapan terlebih dahulu.

"Kenapa abang tak kol bagi tahu?" marah Shakila.

"Sikit je! Motor pun tak ada apa-apa!" jawab Irfan.

"Kalau tak ada apa-apa, buat apa dia ikut abang sampai ke sini?" tanya Shakila antara pelik dengan cemburu.

Irfan tidak tahu untuk menjawab sebab dia memang tidak perasan Linda mengikutnya dari belakang.

"Cik ni siapa?" tanya Linda kepada Shakila.

"Saya Shakila, adik ipar dia! Kalau dah tak ada apa-apa, awak boleh balik!" balas Shakila.

Irfan dan Linda terkejut bila mendengar ayat Shakila.

"Kalau macam tu, saya balik dululah ya! Maaf sekali lagi Irfan! Maaf mengganggu Shakila," balas Linda lalu masuk ke keretanya dan beredar.

"Kenapa Kila cakap macam tu?" tanya Irfan.

"Dah memang abang tak ada apa-apa, buat apa dia tunggu kat sini lagi!" jawab Shakila.

"Dah yang abang sibuk backup perempuan tu, kenapa?" giliran Shakila p**a yang bertanya.

"Bukan backup tapi menegur. Tak elok cakap macam tu pada tetamu!" bebel Irfan.

"Tetamu tak tetamu! Lain macam cara dia tengok abang. Abang jangan tambah sorang lagi saingan Kila!" balas Shakila.

"Ke situ p**ak Kila ni! Ingat abang ni mudah macam tu je nak pikat perempuan lain? Hebat sangat ke abang ni?" jawab Irfan yang menambah ketegangan antara mereka berdua.

"Kila tahu bukan abang pikat dia tapi masalahnya, dia yang terpikat kat abang!" Shakila masih tetap dengan sangkaannya.

"Kila tu je yang cemburu tak menentu! Padahal orang tu tak ada apa-apa pun!" balas Irfan lagi.

"Malaslah cakap dengan abang! Kila ni perempuan. Jadi Kila tahu cara perempuan tu tengok abang!" jawab Shakila yang hendak melangkah masuk ke dalam kedai.

"Tunggu j*p! Ni duit Makcik Nab bagi!" kata Irfan lalu menyerahkan duit kepada Shakila.

Shakila terus masuk ke dalam kedai. Irfan menggelengkan kepala melihat telatah Shakila. Sepatutnya yang cemburu adalah Sakinah dan bukannya dia.

Irfan naik ke rumah untuk menukar seluarnya yang koyak.

"Kenapa seluar abang tu!" giliran Sakinah p**a untuk bersoal jawab.

"Abang jatuh motor tadi tapi tak teruk pun!" jawab Irfan sambil menukar seluarnya.

"Kalau tak teruk, macam mana boleh koyak seluar tu!" tanya Sakinah lagi.

"Terkena batang pokok, tu yang koyak sikit!" terang Irfan.

"Macam manalah abang bawak motor sampai boleh jatuh? Hati-hatilah abang! Bawak motor ni, kita langgar orang pun kita sakit, orang langgar kita pun kita sakit. Jatuh sendiri pun tetap sakit!" Sakinah membebel bercampur nasihat.

"Saya sakit perut sangat tadi, tu yang nak cepat sampai kat rumah!" Irfan bagi alasan.

"Habis tu sempat sampai kat rumah?" tanya Sakinah lagi.

"Dah terencat!" jawab Irfan lalu turun semula ke kedai.

Irfan tidak terus ke dalam kedai tetapi terlebih dahulu memeriksa motor roda tiganya. Hanya ada sedikit calar dan tidak ada sebarang kerosakan.

"Tengok motor ke ingat orang yang langgar motor tadi?' tanya Shakila yang tiba-tiba muncul dari dalam kedai.

Irfan memandang sekali ke arah Shakila dan kemudiannya masuk ke dalam tanpa menjawab pertanyaan Shakila.

"Dia boleh buat tak tahu je cakap aku!" bebel Shakila yang mengikut Irfan dari belakang.

Di dalam kedai, Shakila nampak Irfan sedang menyusun beras yang berselerak.

"Kenapa perempuan tu baik sangat dengan abang?" tanya Shakila yang masih belum berpuas hati tentang Linda.

"Manalah abang tahu! Tak kan abang nak tanya dia p**ak!" jawap Irfan.

"Kila ni perempuan dan Kila tahu perempuan tu s**akan abang!" kata Shakila.

"Kila ni mengarut tak habis-habis! Sapalah s**a kat budak kampung macam abang ni? Harta benda tak ada. Rupa lagilah tak ada. Yang ada cuma rumah pusaka tu je!" balas Irfan.

"Kalau abang tak percaya, abang tunggu sehari dua lagi. Kalau perempuan tu datang ke sini, itu tandanya dia memang s**a kat abang. Cuma nasibnya tak baik jika dia datang cari abang. Kila tak akan biarkan sesiapa pun rampas abang dari Kila lagi!" kata Shakila dengan tegas.

"Jangan buat macam tu kalau dia datang ke sini! Mana tahu dia ada nak beli apa-apa atau ada urusan insuran. Kila jangan buat sebarangan!" balas Irfan.

"Jangan harap!" kata Shakila lalu masuk ke dalam kedai.

Tekan link :

*Satu ebook - RM10
*3 buah ebook - RM25

Tekan link :

https://www.wasap.my/601135424878/EbukDMA2

https://www.wasap.my/601135424878/EbukDMA1

https://www.wasap.my/601135424878/EbookAYB

BAB 6 - Dia Milik Aku 2          Sakinah memegang kepalanya dan kemudiannya rebah ke lantai bersama Farhan.  Shakila ber...
02/07/2026

BAB 6 - Dia Milik Aku 2

Sakinah memegang kepalanya dan kemudiannya rebah ke lantai bersama Farhan. Shakila berpaling dan terus berpatah balik ke arah bilik Sakinah.

"Janganlah nak berlakon! Sakit Farhan ni!" bebel Shakila tetapi Sakinah tidak beri tindak balas.

Shakila mula risau. Dia tidak sangka tindakannya menolak kepala Sakinah ke pintu bilik membuatkan Sakinah pengsan. Dia mendukung Farhan yang sedang menangis lalu mendapatkan ibunya yang berada di dapur.

"Ibu!!! Kak Kinah pengsan!" jerit Shakila.

Makcik Ani segera berlari ke bilik Sakinah sementara Shakila bergegas menuju ke kedai.

"Abang!! Kak Kinah pengsan kat bilik!" jerit Shakila dalam keadaan kelam kabut.

Irfan terus berlari naik ke rumah. Dia nampak Makcik Ani sedang membasahkan muka Sakinah. Irfan mengangkat Sakinah ke atas katil dan membasahkan mukanya perlahan-lahan. Shakila yang sedang berdiri sambil mendukung Farhan, hanya memerhati apa yang sedang Irfan lakukan pada kakaknya. Timbul rasa bersalah atas tindakannya tadi.

"Bangun Kinah..." kata Irfan sambil menyapu air ke muka Sakinah.

"Bangunlah Nak..jangan buat Ibu risau!" kata Makcik Ani p**a.

Selepas 10 minit, barulah Sakinah sedar dari pengsan. Dia kelihatan lemah tetapi cuba tersenyum bila melihat Irfan.

"Kita pergi hospital sekarang! Tak boleh biar macam ni!" kata Irfan.

"Tak payahlah abang, Kinah pening je ni!" jawab Sakinah dengan lemah.

"Tak boleh macam ni, kita tak tahu awak sakit apa!" Irfan cuba bertegas.

"Dah Kak Kinah tak nak pergi, biarkan aje lah! Dia tahulah kalau dia ada sakit!" sampuk Shakila.

"Kamu ni Kila, tak habis-habis sakitkan hati kakak kamu ni! Patut kamu risau Kak Kinah kamu sakit!" bebel Makcik Ani.

"Ibu ni ke situ p**ak! Dah Kak Kinah yang tak nak pergi, buat apa nak paksa!" balas Shakila.

Makcik Ani menggelengkan kepala. Semakin hari perangai Shakila semakin menjengkelkan. Jauh berbeza dengan perangai Shakila sebelum Irfan berkahwin dengan Sakinah. Makcik Ani tahu semuanya ini salah dirinya dan suaminya tetapi dia tidak ada pilihan lain ketika itu. Dia sendiri tidak menyangka Shakila akan menjadi seperti ini akibat perkahwinan Irfan dengan Sakinah.

Shakila menghulurkan Farhan kepada Irfan lalu berjalan menuju ke biliknya.

"Sikit-sikit pengsan, sikit-sikit pengsan! Kuat betul berlakon. Yang Abang Irfan ni bulat-bulat percaya! Geram betul aku!" Shakila membebel dalam hati.

Sakit hatinya semakin memuncak kerana tidak ada sesiapa yang menyebelahinya.

"Apa kena aku ni! Kenapa aku tak boleh lupakan Abang Irfan padahal dia bukan lelaki berharta pun? Dia bekerja pun dengan abah aku!" Shakila mencari jawapan tetapi dia tidak punya jawapan pada soalan dirinya sendiri.

Bukan Shakila tidak mencuba melupakan cintanya terhadap Irfan tetapi dia tidak mampu. Tidak mungkin dia dapat melupakan Irfan melainkan dia keluar dan tidak balik ke rumah ini lagi. Dengan cara itu sahaja, dia tidak akan melihat Irfan dan perlahan-lahan dapat melupakannya.

Shakila telentang di atas tilamnya sambil melihat siling. Dia bukan tidak kasihan terhadap kakaknya tetapi dia merasakan kakaknya tidak adil kepadanya. Dia sudah mengalah pada awalnya tetapi sekarang giliran kakaknya p**a untuk mengalah.

Di dalam bilik Sakinah, Irfan terus cuba memujuk Sakinah untuk membawanya ke hospital.

"Awak tak boleh biar macam ni! Farhan ni kecik lagi. Kalau awak sakit, siapa nak jaga dia? Kita tak tahu awak sakit apa. Benda ni bukan boleh biar macam tu je!" kata Irfan.

"Pergilah Kinah! Farhan ni ibu boleh tolong jagakan. Abah kamu dengan Kila boleh jaga kedai!" Makcik Ani p**a yang cuba memujuk.

Sakinah diam memikirkan apa yang perlu dibuat. Dia sedang berperang dengan dirinya sendiri. Membiarkan tanpa tahu sakit apa yang dihadapinya akan semakin menyusahkan jika pengsan lagi pada masa akan datang. Lebih malang lagi jika tidak ada orang yang perasan. Kebelakangan ini kepalanya semakin kerap sakit dan ia bukan pening yang biasa.

"Baiklah..Kinah ikut cakap abang!" kata Sakinah.

Irfan menyerahkan Farhan kepada Makcik Ani. Makcik Ani terus membawa Farhan turun ke kedai. Sakinah dan Irfan p**a mula bersiap. Tidak lama kemudian mereka berdua bergerak ke hospital.

Setibanya di hospital, mereka bernasib baik mendapat parkir dengan mudah. Di tempat menunggu pun tidak ramai orang. Sekej*p sahaja nama Sakinah telah dipanggil untuk pemeriksaan.

"Kenapa ni Puan?" tanya doktor wanita yang bertugas ketika Sakinah duduk di kerusi sementara Irfan berdiri di belakangnya.

"Saya sekarang ni selalu sakit kepala dan kadang-kadang sakit sangat macam nak pecah kepala ni!" terang Sakinah.

Irfan terkejut kerana Sakinah tidak pernah bercerita kepadanya tentang sakitnya itu.

“Puan baring atas katil tu!” kata doktor.

Sakinah terus baring di atas katil seperti yang diarahkan. Dia masih kelihatan tidak bermaya. Doktor wanita itu mula buat pemeriksaan ke atas Sakinah.

“Ok dah selesai. Puan boleh duduk semula kat kerusi tu!” kata doktor itu lagi selepas selesai memeriksa Sakinah.

"Saya perlu ambil darah untuk diuji dan lepas ni Puan kena buat CT scan untuk dapat keputusan yang tepat. Saya rasa ada sesuatu yang tak kena pada bahagian kepala puan!" kata doktor itu lalu mengambil darah dari lengan kiri Sakinah.

Kata-kata doktor itu mengejutkan Irfan dan Sakinah. Mereka saling berpandangan. Ada satu ujian lagi untuk mengesahkan sebarang penyakit.

"Nanti bagi sampul surat ni kat bahagian scan. Kena buat hari ni jugak, jadi Puan tak perlu datang ke hospital lagi sekali untuk buat scan tu! Seminggu dari tarikh hari ni, Puan kena datang untuk keputusan darah dan scan!" terang doktor itu lagi lalu memberikan sekeping sampul surat kepada Sakinah.

Irfan memimpin tangan Sakinah lalu keluar dari bilik pemeriksaan. Mereka berjalan perlahan ke arah bahagian scan. Irfan berharap Sakinah tidak mengidap penyakit yang merbahaya. Walaupun dia tidak menyayangi Sakinah tetapi dia juga mengharapkan tidak ada apa-apa yang buruk terjadi kepadanya.

Dalam masa sejam, selesai urusan mereka di hospital. Mereka mula bergerak untuk p**ang.

"Abang! Kita singgah makan dulu ya! Kinah laparlah!" pujuk Sakinah.

Irfan tidak menjawab tetapi mencari tempat untuk makan. Akhirnya mereka berhenti di sebuah restoran dan duduk di sudut yang agak terlindung. Selesai buat pesanan, mereka berbual sementara menunggu makanan disediakan.

"Abang! Kinah mintak maaf banyak-banyak sebab tak habis-habis menyusahkan abang. Dari sebelum kita kahwin, sampai sekarang Kinah buat abang sedih, susah hati, lebih-lebih lagi tekanan dari Kila. Kalau takdir Kinah ada sakit yang teruk, abang biarkan Kinah mati ya! Demi abang, Kinah rela. Sebelum kahwin dengan abang, Kinah ingat duit dan hidup bebas tu satu nikmat, satu kebahagiaan tapi Kinah silap. Rupanya hidup dengan orang yang kita sayang adalah anugerah yang terindah Allah bagi. Kita hidup sederhana tapi Kinah bahagia!" kata Sakinah sambil memegang tangan kanan Irfan yang duduk berhadapan dengannya.

Airmata Sakinah berlinangan tetapi dia puas hati dapat meluahkan apa yang terpendam. Matanya tepat memandang Irfan.

"Semua ini aturan Allah. Allah bukan sengaja jodohkan kita. Ada sebab yang kita tak tahu. Saya pun bukan orang baik. Saya manusia biasa. Cuma saya belajar redha. Allah buka jalan untuk saya balas segala jasa baik abah dan ibu ke atas saya dengan Arwah Mak!" balas Irfan.

"Kinah faham! Kinah hanya mampu berdoa moga satu hari nanti abang dapat terima Kinah sebagai seorang isteri dan bukan sebagai manusia pembalas jasa!" kata Sakinah yang tepat menusuk jiwa Irfan.

Irfan terdiam dan tersentak. Kata-kata Sakinah itu merobek egonya. Dia selalu menganggap dia yang menjadi mangsa tetapi dia tidak berusaha untuk menjadi manusia yang betul-betul redha, seperti yang selalu bermain di mulutnya.

Perbualan mereka terhenti bila pelayan kedai menghantar makanan dan minuman mereka.

"Tak payahlah fikir yang bukan-bukan! Mari makan!" Irfan cuba mengalih tajuk dan tindakannya berjaya.

Selesai makan, mereka terus p**ang. Tiba di rumah, Shakila sedang duduk di atas pondok. Kepalanya bergerak mengikut pergerakan kereta yang dipandu Irfan. Sakinah turun lalu terus naik ke rumah tanpa pedulikan Shakila.

"Lama gi hospital!" narah Shakila bila Irfan menghampirinya.

"Dah namanya hospital, bukan klinik swasta!" jawab Irfan sedikit tegas dan menyindir.

"Sakit apa p**ak Kak Kinah tu?" tanya Shakila lagi tetapi kali ini sudah agak lembut.

"Dah ambik darah dan buat CT scan. Minggu depan baru tahu result!" jawab Irfan sekali lagi.

Shakila tidak bertanya lebih lanjut. Irfan terus masuk ke dalam kedai kerana kedai akan ditutup tidak lama lagi. Dia mula membawa masuk barang-barang yang ada di luar kedai tanpa mempedulikan Shakila. Shakila datang membantu bila nampak Irfan sedang mengangkat barang.

"Abang marah Kila ke?" tanya Shakila sambil membawa masuk bekas mengisi penyapu.

Irfan tidak menjawab tetapi kaki dan tangannya tidak berhenti membuat kerja. Selepas kedai ditutup, Irfan duduk berehat sebentar di atas pondok. Shakila keluar dari kedai dan duduk di sebelah Irfan.

"Macam mana dengan Kinah?" tanya Pak Latiff bila selesai mengunci kedai.

"Minggu depan result darah dengan scan!" jawab Irfan.

"Sakit apa p**ak Kinah ni?" keluh Pak Latiff.

"Entahlah abah. Moga tak ada apa-apa!" jawab Irfan.

"Kamu tu Kila, janganlah cari gaduh lagi dengan kakak kamu tu! Kasihan dia! Anggap je bukan jodoh kamu dengan Irfan. Buat je Irfan tu macam abang kamu sendiri!" nasihat Pak Latiff.

"Yelah abah!" jawab Shakila, acuh tak acuh sahaja.

Pak Latiff naik ke rumah dan meninggalkan Irfan dan Shakila berdua.

"Kila pergilah naik! Tak manis kita duduk berdua macam ni!" rayu Irfan.

"Apa p**ak yang tak manisnya? Hari cerah lagi. Kita pun duduk berbual sahaja. Lainlah kalau kita berbual dalam bilik Kila!" jawab Shakila.

Jawapan Shakila mematikan niat Irfan untuk berehat sekej*p di situ. Dia serba salah. Meninggalkan Shakila sendirian ketika sedang bercakap rasa macam kurang ajar. Lagi pun Irfan perlu belajar menerima Shakila sebagai adiknya.

"Abang memang dah tak sayang Kila lagi?" tanya Shakila.

Baru sahaja Irfan hendak belajar menerima Shakila sebagai adik, Shakila terus bertanyakan soalan yang cukup mencabar. Tersalah jawab walaupun jujur akan memberi akibat yang buruk.

"Apa pun yang ada dalam hati abang, tak akan ada maknanya lagi. Selagi abang jadi suami Kak Kinah, mustahil kita akan dapat bersama!" jawab Irfan.

Irfan pun tidak tahu samada jawapan itu akan buat Shakila faham atau buat Shakila semakin berharap.

"Jadi, apa kata abang ceraikan sahaja Kak Kinah? Dia akan faham!" kata Shakila tanpa peduli apa-apa.

"Kila ni asyik ulang benda yang sama je! Kila kena faham situasi abang! Tak semudah tu abang boleh ceraikan dia. Apa kata abah dan ibu? Agama pun tak benarkan abang ceraikan dia tanpa sebab!" balas Irfan.

"Yang susah tu sebab abang dah sayang Kak Kinah kan? Cakap je terus terang, senang Kila tak berharap dan Kila boleh keluar dari rumah abah ni!" bentak Shakila.

Ayat keluar dari rumah itulah yang merisaukan Irfan. Dia boleh berlepas tangan tetapi itu bukan perangainya. Apa pun yang terjadi antara dia dengan Shakila, Shakila tetap sebahagian dari tanggungjawabnya.

"Kita tunggu apa keputusan ujian darah dan scan kat Kinah dulu! Bila abang dah tahu nanti, baru abang bagi keputusan abang!" balas Irfan.

Jawapan Irfan sekurang-kurangnya meredakan sedikit gundah di hati Shakila. Namun pada masa yang sama bagai satu aku janji yang mesti Irfan penuhi. Memungkiri akan beri kesan yang besar kepada Shakila.

"Baik...Kila pegang pada janji abang. Dapat sahaja result tu, Kila akan terima apa sahaja keputusan abang. Jika Kila pergi dari sini, Kila tak akan balik lagi!" sekali lagi Kila guna ayat ugutan sebab dia tahu kelemahan Irfan.

“Tak boleh macam tu! Abang nak Kila janji tak akan keluar dari rumah abah ni walau apa pun keputusan abang. Kita kena jadi matang dan redha. Kita jangan susahkan orang sekeliling kita lagi. Ada jodoh kita, kita akan kahwin!” pujuk Irfan.

"Baik! Kalau itu syarat abang, Kila setuju dan janji!" jawab Shakila dengan senyuman.

Selepas mendengar persetujuan Shakila, Irfan terus naik ke rumah. Dia sendiri tidak tahu apa yang bermain di fikirannya bila dia berjanji seperti itu. Ini bermakna jika Sakinah hanya sakit biasa, dia harus melepaskan Sakinah.

"Dah gila ke aku ni? Buat janji tapi tak fikir dulu!" bebel Irfan pada dirinya sendiri ketika menuju ke bilik Sakinah.

Shakila p**a masih duduk di pondok. Harapannya menyala semula.

"Kalau Kak Kinah hanya sakit yang biasa, Abang Irfan akan lepaskan Kak Kinah tapi kalau Kak Kinah sakit, aku dengan dia tak akan ada apa-apa lagi. Aduhhh! Kenapa aku boleh setuju ni!" giliran Shakila p**a rasa bagai orang gila.

Shakila terus naik ke rumah sambil membebel. Dia fikir Irfan termasuk dalam perangkap janjinya tetapi rupanya dirinya juga terperangkap dalam janji. Semuanya akan terjawab bila keputusan ujian darah Sakinah keluar nanti.

*Satu ebook - RM10
*3 buah ebook - RM25

Tekan link :

https://www.wasap.my/601135424878/EbukDMA2

https://www.wasap.my/601135424878/EbukDMA1

https://www.wasap.my/601135424878/EbookAYB

BAB 5 - DIA MILIK AKU 2"Abang jangan ngada-ngada tengok perempuan lain yer! Dah cukup Kinah gaduh dengan Kila pasal Aban...
18/06/2026

BAB 5 - DIA MILIK AKU 2

"Abang jangan ngada-ngada tengok perempuan lain yer! Dah cukup Kinah gaduh dengan Kila pasal Abang!" kata Sakinah sambil menyandarkan kepalanya di belakang Irfan.

Motor bergerak dengan perlahan. Shakila berdiri bercekak pinggang berhampiran kedai. Mukanya merah menyala melihat adegan manja Sakinah terhadap Irfan. Hatinya menggelegak seperti minyak masak yang sedang dipanaskan di dalam kuali.

"Bijak sungguh kau ya Kak Kinah! Kau senyap-senyap je ikut Irfan naik motor. Kau tunggu p**ak giliran aku nanti!" bebel Shakila lalu masuk semula ke dalam kedai.

"Seronoknya dapat ikut abang! Sepatutnya setiap hari Kinah ikut abang biar sampai hati abang terbuka untuk Kinah!" ayat pujuk rayu dari Sakinah sudah bermula.

"Seronok apanya naik roda tiga ni?" kata Irfan.

"Jangankan roda tiga, kalau naik basikal dengan abang pun Kinah rasa seronok. Dulu Kinah kerja kat KL konon nak gembira, bahagia dan bebas tapi rupanya dekat rumah abah je tersimpan bahagia Kinah. 2 tahun Kinah buang masa sia-sia di KL!" tambah Sakinah yang semakin erat memeluk pinggang Irfan.

Sakinah baru memahami bahawa bahagia bukan semata-mata harus ada harta benda dan kebebasan tetapi harus juga ada jiwa yang penuh rasa cinta. Cinta memang tidak dapat memberi makan tetapi cinta dapat beri kekuatan untuk melakukan pengorbanan.

"Abang..kita pusing-pusinglah sekej*p, macam abang selalu bawak Kila. Sekarang ni abang bawak isteri abang yang sah!" kata Sakinah selepas Irfan selesai menurunkan barang di rumah Makcik Fuzi.

Tanpa menjawab, Irfan menuruti kemahuan Sakinah. Mereka meronda sekeliling kampung. Beberapa kali Sakinah mencium belakang Irfan dengan penuh kasih sayang.

Selepas sejam, baru Irfan dan Sakinah balik ke kedai. Pak Latiff sudah kembali dari pasar setengah jam lebih awal dari mereka berdua. Shakila p**a sedang duduk di atas tangga di beranda dan nampak dengan jelas Sakinah sedang memeluk pinggang Irfan. Matanya seolah-olah sedang mencarik-carik tubuh Sakinah bila nampak adegan itu.

"Amboi seronok bulan madu sampai lupa pada anak sendiri! Kak Kinah ingat kat sini taska dan ibu tu cikgu taska?" marah Shakila sebelum sempat Sakinah tiba di tangga.

Sakinah buat tidak peduli lalu masuk ke dalam rumah. Shakila bertambah sakit hati bila herdikkannya tidak berbalas. Dia terus turun menuju ke arah Irfan yang sedang menyorong motor ke tempat parkir yang biasa.

"Kenapa abang bawak Kak Kinah?" marah Shakila.

"Sebab dia nak ikut!" jawab Irfan, selamba.

Pendek sahaja jawapan Irfan tetapi cukup untuk membuat Shakila seperti orang kena rasuk.

"Mudahnya abang jawab! Kalau Kila nak ikut, banyak p**ak alasan abang bagi!" balas Shakila sambil dengan sepenuh tenaga cuba mengoyang-goyangkan motor roda tiga yang tidak bersalah.

"Ya Allah! Kenapa dengan Kila ni? Kak Kinah tu isteri abang, Kila adik ipar abang. Takkan lah abang menolak p**ak kehendak dia!" kata Irfan lagi yang menambah 'ras**an' sedia ada.

"Baiklah kalau macam tu! Kila nak keluar dari rumah abah ni. Baru senang hati abang kan? Kila dah memang tak ada makna apa-apa pada abang!" balas Shakila lagi lalu berpusing dan melangkah untuk naik ke rumah.

Tanpa sempat berfikir, Irfan segera menyambar lengan kiri Shakila menggunakan tangan kanannya.

"Jangan buat abang macam ni boleh tak? Tak kasihankan abang tak apa, tapi kasihanlah abah dan ibu!" pujuk Irfan.

"Tapi abang tak kasihankan Kila!!! Abang jugak dah tak sayangkan Kila lagi! Kila tinggal kat sini pun hanya kerana abang. Jadi buat apa Kila tunggu kat sini lagi kalau abang dah tak sayangkan Kila?" kata Kila sambil mula menangis tersedu-sedu.

Irfan masih memegang lengan Shakila dan tangisan Shakila semakin berlarutan. Mereka berdua tidak sedar Sakinah sedang berdiri di muka pintu depan sambil mendukung Farhan.

Mata Sakinah mula bergenang melihat Irfan memegang lengan Shakila. Dia cuba bersangka baik tetapi jiwanya sakit. Tadi dia rasa sangat bahagia dan seronok membonceng motor bersama Irfan. Namun sekarang perasaan itu seperti diselubungi awan gelap yang berselang seli dengan guruh dan kilat. Dadanya bagai dibadai ombak ganas.

"Abang...naik sekej*p! Kinah ada buatkan air panas untuk abang!" jerit Sakinah dari atas beranda.

Itu sahaja alasan yang mampu Sakinah lakukan untuk menjauhkan Irfan dari Shakila.

"Ada je dia ni! Abang Irfan baru je nak pujuk aku! Sibuk betullah!" bebel Shakila dalam hati.

Irfan melepaskan lengan Shakila lalu berjalan ke arah Sakinah. Lega hatinya bila Sakinah memanggilnya.

"Abang tolong pegang Farhan ni sekej*p! Kinah nak ke dapur buat air!" kata Sakinah lalu menyerahkan Farhan kepada Irfan.

Walaupun Sakinah berbohong tentang air panas tadi tetapi Irfan tidak kisah kerana dia faham tujuan Sakinah buat begitu. Tidak lama kemudian, Sakinah kembali bersama satu teko kecil air kopi susu dan sepiring biskut tawar.

"Ada biskut je abang! Nasi goreng dah habis!" kata Sakinah lalu meletakkan air dan biskut di atas meja di hadapan sofa.

Sakinah mengambil Farhan semula dari Irfan. Irfan p**a terus duduk di atas sofa.

"Kenapa abang pegang tangan Kila tadi?" tiba-tiba terpacul soalan dari mulut Sakinah.

Irfan tidak tahu untuk menjawab sebab dia tahu itu kesilapannya. Dia juga tidak salahkan Sakinah sebab dia tahu Sakinah berhak untuk bertanya dan rasa cemburu.

"Abang janganlah buat macam tu, sekurangnya-kurangnya bukan waktu Kinah ada. Abah dan ibu pandang tinggi pada abang. Jadi kalau dorang nampak apa yang abang buat tadi, mesti dorang terkejut. Kinah tak nak nama abang jadi tak elok. Cukuplah Kinah sorang je yang orang pandang buruk!" kata Sakinah.

Irfan masih mendiamkan diri dan kali ini dia akui kata-kata Sakinah. Dia tidak ada alasan untuk menjawab.

"Saya nak ke kedai semula!" kata Irfan lalu meninggalkan Sakinah.

Hanya dengan kembali ke kedai sahaja cara untuk mengelak menjawab soalan Sakinah.

Sakinah hanya memerhati dan tidak bercakap apa-apa lagi. Dia tidak mahu memanjangkan cerita. Dia juga perlu kasihankan Irfan kerana dia tahu beban yang Irfan sedang tanggung.

Shakila masih berada di kedai tetapi agak susah untuk dia bermanja dengan Irfan kerana abahnya ada bersama. Irfan p**a melakukan kerjanya seperti biasa dan tidak pedulikan Shakila.

Selepas rehat dan solat zohor, Irfan membersihkan bawang di atas pondok. Shakila berada di dalam kedai yang agak sibuk sementara Pak Latiff berehat di rumahnya.

Irfan sedang asyik dengan kerjanya bila sebuah kereta berwarna merah berhenti dekat dengan pondok. Seorang wanita turun dari kereta sambil tersenyum manis.

"Assalamualaikum...!" kata wanita tersebut sambil berjalan ke arah Irfan.

"Waalaikummusalam wbt...Puan Linda rupanya!" jawab Irfan.

"Bukan puanlah...cik!" jawab Linda.

"Maaf!"

"Tak apa! Tapi muka saya nampak tua ke bila encik panggil saya puan?" tanya Linda.

"Saya Irfan, jangan panggil encik. Bukan nampak tua tapi biasa orang cantik kahwin cepat!"

"Belum kahwin lagi, masih mencari yang baik hati!" balas Linda.

"Melalut p**ak saya ni. Saya ni penjual insuran sebenarnya. Saya datang ni sekadar bertanya jika Encik Irfan berminat. Pakej murah-murah pun ada!" terang Linda.

"Panggil Irfan sahaja. Saya kerja kat kedai ni je. Gaji cukup makan untuk anak bini. Nanti kalau beli insuran, tak makan p**ak anak bini saya!" Irfan menolak dengan jujur dan lembut.

"Tak perlu gaji besar pun kalau nak beli insuran. Pakej paling murah, RM50 sahaja sebulan. Kalau terjadi apa-apa kat Irfan, ada jugak duit seratus ribu untuk waris. Lepas bayar bulan ketiga, insuran ni dah valid!" Terang Linda.

Irfan diam sambil berfikir. Apa yang Linda terangkan itu membuatnya berminat. Walaupun dia tidak ada perasaan sayang terhadap Sakinah dan Farhan, mereka berdua adalah tanggungjawabnya.

"Berapa lama pakej ni akan terbatal jika saya tak mampu bayar?" tanya Irfan.

"Jika tak ada sebarang bayaran selama 6 bulan, barulah insuran ni terbatal," terang Linda lagi.

"Bagi saya fikir sekej*p dan buat kira-kira. RM50 kecik bagi orang lain tapi besar bagi saya!" balas Irfan.

"Silakan..." Jawab Linda.

Linda teruja dengan kejujuran dan rendah diri Irfan. Jarang ada orang yang mengakui tidak mampu untuk membeli insuran. Selalunya orang akan menolak kononnya sudah beli insuran lain.

"Ermm..bolehlah..tapi kalau saya tak mampu dikemudian hari, saya akan bagi tahu Cik Linda!" jawab Irfan selepas berfikir.

"Alhamdulillah….bagus sangat Irfan! Tapi boleh tak, jangan panggil Cik Linda? Panggil Linda sahaja! Jadi nampak macam kawan-kawan!" balas Linda.

Irfan mengangguk sambil tersenyum.

"Boleh bagi ic?" kata Linda.

Irfan mengeluarkan kad pengenalan dan duit RM50 sekeping dari dompet lalu memberikannya kepada Linda.

"Duit ni Irfan simpan dulu yer. Bulan pertama ni biar saya yang bayarkan!" kata Linda lalu mengeluarkan telefonnya bimbitnya dan mula mengisi data peribadi Irfan.

"Eh tak boleh macam tu Linda! Ini insuran saya, jadi saya yang patut bayar," Jawab Irfan.

"Tak apa...saya s**a orang jujur dan rendah diri macam Irfan!" balas Linda sambil terus fokus mengisi borang yang ada di dalam telefon bimbitnya.

Irfan serba salah. Terasa malu kerana Linda yang membayar ansuran pertama insurannya.

"Sama umur Irfan dengan saya. Bezanya Irfan dah kahwin tapi saya belum lagi. Ermm..Irfan nak letak nama siapa sebagai waris? Emak? Ayah? Isteri?"

"Emak dan Ayah saya dah tak ada. Letak nama isteri sayalah. Sekej*p saya ambil ic isteri saya!" kata Irfan lalu naik ke rumah.

"Maafkan saya menyusahkan irfan!" balas Linda.

"Tak apa!" jawab Irfan sambil berjalan menuju ke rumah.

Tidak lama kemudian, dia turun semula. Sakinah p**a sekadar berdiri di pintu depan.

"Beriya p**ak Abang ni nak masuk insuran. Ni perempuan tadi rasanya!" Sakinah membebel dalam hati bila nampak Irfan bercakap dengan Linda.

Irfan menghulurkan kad pengenalan Sakinah kepada Linda.

"Ooo isteri Irfan tua dari Irfan rupanya!" kata Linda.

"Ya saya!" jawab Irfan.

"Nombor handphone?" tanya Linda.

"Ni nombor saya. Baru je ada handphone ni. Dulu tak ada sebab tak penting. Sekarang dah penting sebab dah kahwin!" jawab Irfan dengan jujur sambil menunjukkan nombor pada telefon bimbitnya kepada Linda.

"Baguslah Irfan ni. Jarang orang zaman sekarang tak minat handphone!" puji Linda lagi tetapi Irfan hanya menundukkan pandangannya.

Akhirnya selepas 15 minit, Linda selesai mengisi data peribadi Irfan.

"Irfan tolong sign kat sini!" kata Linda lalu menghulurkan telefon bimbitnya kepada Irfan.

"Mudah sungguh sekarang ni kan! Isi borang dalam handphone, sign pun dalam handphone je! Canggih!" kata Irfan.

"Memang pun, zaman makin maju! Ni kad saya. Boleh kol saya kalau ada apa-apa masalah. Nombor handphone Irfan saya dah simpan dalam handphone saya!" kata Linda.

"Okay!"

"Kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu yer!" kata Linda lalu masuk ke keretanya.

“Dapat homestay kat surau tu?” tanya Irfan.

“Tak ada homestay kat kampung ni. Jadi saya sewa kat bandar sahaja. Ingat dapat sewa kat kawasan kampung, best sikit tak bising!” terang Linda.

“Saya balik dulu!” tambah Linda lagi lalu beredar.

Tidak lama selepas Linda pergi, Shakila muncul dari kedai. Sakinah p**a masuk ke dalam biliknya bila dia nampak Shakila menghampiri Irfan.

"Tadi Kila nampak abang cakap dengan perempuan! Mana perempuan tu hilang?" tanya Shakila.

"Baru je dia balik. Orang jual insuran!" terang Irfan tanpa berselindung.

"Laju je beli kalau perempuan yang jual!" kata Shakila dengan sindiran.

"Sebelum ni mana ada orang datang nak jual insuran kat abang! Semua orang anggap abang ni sengkek. Orang tadi elok je bagi abang pakej yang RM50. Okay lah tu ikut kemampuan abang!" terang Irfan.

"Abang letak nama siapa jadi waris?" tanya Shakila.

Bagi Irfan, jawapan kepada soalan itu nanti akan memanjangkan lagi krisis yang sedia ada. Maka jalan yang paling selamat adalah tidak menjawab dan masuk ke dalam kedai.

"Abang...!!! Kila tanya, nama siapa abang letak sebagai waris?" jerit Shakila ketika Irfan berjalan masuk ke dalam kedai.

Irfan memekakkan telinga. Tidak ada keperluan untuk dia menjawab. Itu bukan urusan Shakila.

Shakila mercak bila Irfan tidak mengendahkan pertanyaannya. Dia naik ke rumah lalu menuju ke bilik Sakinah.

"Kak Kinah!!!" panggil Shakila dari luar bilik Sakinah.

Sakinah membuka pintu biliknya sambil mendukung Farhan.

"Kenapa kamu jerit-jerit?" tanya Sakinah.

"Kenapa Kak Kinah paksa Abang Irfan ambik insuran pastu letak nama Kak Kinah sebagai waris?" marah Shakila tanpa usul periksa.

"Bila masa aku paksa dia ambik insuran? Kau jangan tuduh sebarangan. Tapi kalau dia nak ambik insuran dan tulis aku jadi warisnya, apa masalah kau?" balas Sakinah.

"Kak Kinah dah tahu gaji Abang Irfan tu hanya cukup makan, yang pergi susahkan lagi dia tu buat apa?" tengking Shakila.

"Kau jangan nak kurang ajar dengan aku! Aku mengalah sebelum ni sebab kasihankan abah dan ibu. Tapi sabar aku ada hadnya!" balas Sakinah sekali lagi bila Shakila semakin meninggikan suaranya.

Shakila menolak dahi Sakinah sehingga terhantuk pada pintu dan kemudiannya berlalu pergi.

Tekan link :

https://www.wasap.my/601135424878/ebukDMA2

Address

Jalan Sg Tombak
Batang Kali

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when BISA PCM Publication posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share