02/08/2026
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta seluruh umat yang istiqamah mengikuti sunnah Baginda hingga ke akhir zaman.
Alhamdulillah. Jutaan tahniah diucapkan kepada YB Tuan Hj.Kamarol Ridzuan Mohd Zain ADUN Paroi atas kemenangan yang telah diamanahkan oleh rakyat.
Sesungguhnya kemenangan ini bukan sekadar sebuah kejayaan politik, bahkan merupakan amanah yang besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Berkhidmatlah dengan penuh keikhlasan, amanah, tawaduk dan istiqamah demi memenuhi harapan rakyat yang begitu tinggi. Jadilah pemimpin yang sentiasa mendahulukan kebajikan, menegakkan keadilan serta memperjuangkan kesejahteraan seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Allah SWT berfirman bermaksud;
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menghukum antara manusia, maka hendaklah kamu menghukum dengan adil."
(Surah An-Nisa': 58)
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya rakamkan kepada seluruh jentera PAS Kawasan Parit Sulong serta Lajnah Hubungan NGO dan Mobilisasi Seranta PAS Johor (LHNGO PAS Johor) yang telah bertungkus-lumus di medan kempen, sama ada secara fizikal mahupun di alam maya. Pengorbanan masa, tenaga, harta dan doa yang dicurahkan dengan penuh keikhlasan akhirnya menjadi asbab Allah SWT mengurniakan kemenangan ini.
Sesungguhnya setiap pengorbanan yang dilakukan kerana Allah tidak akan pernah sia-sia, bahkan akan dibalas dengan ganjaran yang terbaik di sisi-Nya.
Buat seluruh warga Paroi, terima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan kepada calon PAS. Insya-Allah, amanah ini akan dipikul dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat. Andai terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan, kami dengan rendah hati memohon kemaafan serta mengalu-alukan setiap teguran yang membina agar khidmat kepada masyarakat dapat terus dipertingkatkan
Kini bukan lagi masa untuk berpecah, tetapi masa untuk bersatu hati membangunkan Paroi. Kemenangan ini bukan milik satu pihak, tetapi kemenangan seluruh rakyat. Marilah kita melangkah ke hadapan dengan semangat baharu, memperkukuhkan ukhuwah, mempertahankan nilai-nilai kebenaran serta membina masa depan yang lebih sejahtera dan diberkati.
Doa kami:
Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kurniakanlah kepada pemimpin kami hati yang ikhlas, kebijaksanaan dalam membuat keputusan, kekuatan untuk berlaku adil serta keteguhan untuk sentiasa berada di jalan-Mu. Jadikanlah kemenangan ini sebagai wasilah untuk menegakkan agama-Mu, membela kebajikan rakyat serta membawa keberkatan kepada bumi Paroi. Satukanlah hati-hati kami, jauhkanlah kami daripada perpecahan, limpahkanlah rahmat, keampunan dan reda-Mu kepada seluruh pejuang yang telah berkorban. Kurniakanlah kepada kami istiqamah dalam perjuangan hingga ke akhir hayat. Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Marilah kita terus melangkah dengan penuh tawakal kepada Allah SWT. Kemenangan ini bukan noktah perjuangan, tetapi permulaan kepada amanah dan tanggungjawab yang lebih besar.
سِيرُوا عَلَى بَرَكَةِ الله
Seeru 'ala barakatillah.
Jazakumullahu khairan kathira.
Halim Othman bin Hj. Kepol
Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Sulong
Pengerusi Lajnah Hubungan NGO dan Mobilisasi Seranta PAS Johor (LHNGO BPPNJ)