09/07/2025
"Trump Hantar Surat Selepas PMX Hadir BRICS: Adakah Malaysia Terperangkap Antara Dua Blok Kuasa?"
Oleh: Mazlan Syafie
Kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro baru-baru ini membuka lembaran baharu dalam dasar luar negara. Ia bukan sekadar lawatan rasmi tetapi langkah strategik yang menandakan Malaysia semakin berani menjejakkan kaki dalam gelanggang geopolitik global yang sedang berubah pantas dan panas.
Malaysia hadir dalam kapasiti sebagai negara rakan strategik atau "Partner Country" dan kehadiran ini lebih signifikan kerana Malaysia telah dilantik sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025. Kehadiran ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak mahu terus menjadi penonton sebaliknya mahu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara besar dalam membincangkan isu serantau dan global.
Dato' Seri Anwar tidak hadir sekadar memerhati. Beliau turut menyertai rundingan meja bulat, mengadakan sidang dua hala dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, dan Dilma Rousseff, Presiden New Development Bank. Perbincangan ini berlaku di luar protokol rasmi, memberi isyarat jelas bahawa Malaysia sedang menilai alternatif kepada pakatan sedia ada.
Malaysia masih belum menjadi ahli penuh BRICS tetapi status sebagai negara rakan membolehkan kita menyertai sesi tertutup yang selama ini hanya eksklusif untuk anggota tetap. Ini peluang besar bagi Malaysia meninjau peluang kerjasama baharu dengan China, India, Brazil, Afrika Selatan dan Ethiopia.
Pertemuan dengan Dilma Rousseff memberi isyarat jelas bahawa Malaysia sedang meneroka sumber pembiayaan luar daripada institusi kewangan tradisional Barat seperti IMF dan Bank Dunia. Ini selari dengan agenda negara-negara Global Selatan yang mahu memperkasa diri melalui model pembangunan yang lebih adil.
Delegasi Malaysia turut disertai oleh menteri kanan seperti Anthony Loke dan Tengku Zafrul. Mereka membawa bersama agenda pengangkutan, pelaburan dan diplomasi ekonomi. Lawatan ke syarikat aerospace Embraer menunjukkan kesinambungan rundingan yang bermula semasa LIMA Langkawi pada Mei lalu.
Tidak lama selepas Sidang Kemuncak BRICS melabuhkan tirainya, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan tekanan baharu. Beliau memberi amaran bahawa mana-mana negara yang menyertai atau menunjukkan sokongan terhadap BRICS bakal dikenakan tarif tambahan antara 10 hingga 25 peratus. Ini satu isyarat jelas bahawa Washington sedang memantau setiap langkah negara-negara yang memilih jalan di luar paksi Barat.
Sehari selepas sidang BRICS selesai, White House menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia. Dalam surat itu, Amerika Syarikat menyatakan semua produk dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus bermula 1 Ogos 2025. Tindakan ini adalah sebahagian daripada strategi lebih besar untuk mengimbangi defisit perdagangan dengan beberapa negara Asia seperti Korea dan Jepun. Kebetulan surat ini dikeluarkan serentak dengan sidang BRICS menjadikan mesej politiknya lebih ketara.
Surat itu menjelaskan bahawa tindakan ini diambil kerana defisit perdagangan yang besar antara Malaysia dan Amerika. Ia menyatakan bahawa dasar tarif Malaysia dianggap tidak adil dan tidak setara dengan semangat perdagangan timbal balik. Tambah membimbangkan, surat tersebut menyatakan bahawa jika Malaysia mengenakan sebarang tarif balas maka tarif sedia ada akan ditambah setimpal.
Trump mendakwa defisit ini mengancam keselamatan negara Amerika. Naratif ini sejajar dengan gaya beliau semenjak memang jawatan Presiden Amerika Syarikat yang menekankan nasionalisme ekonomi dan usaha membawa p**ang pelaburan ke tanah air.
Namun apa yang menarik ialah masa tindakan ini dibuat. Surat itu dihantar hanya dua hari selepas PMX p**ang dari sidang BRICS. Ini memberi isyarat bahawa langkah Malaysia mendekati BRICS sedang diperhatikan rapi oleh Washington.
Tarif ini bukan hanya dikenakan ke atas Malaysia sahaja. Data daripada Spectator Index menunjukkan bahawa beberapa negara lain turut menerima nasib yang sama. Myanmar dan Laos dikenakan tarif setinggi 40 peratus. Bangladesh, Serbia dan Indonesia masing-masing dikenakan tarif lebih daripada 30 peratus. Malaysia p**a diletakkan dalam kelompok 25 peratus bersama Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan.
Dalam konteks ini, Malaysia tidak berada dalam kedudukan yang paling teruk. Malah, tarif ke atas Malaysia sejajar dengan tarif terhadap sekutu Amerika yang lain. Ini menunjukkan bahawa dasar tarif Trump adalah sebahagian daripada pendekatan lebih besar untuk menyusun semula hubungan perdagangan global tanpa mengira siapa hadir atau tidak ke BRICS.
Oleh itu, kehadiran PMX ke sidang BRICS tidak boleh dijadikan kambing hitam dalam isu tarif. Langkah Malaysia menyertai sidang tersebut seharusnya dilihat sebagai strategi memperluaskan jaringan diplomatik dan ekonomi dan bukan punca hukuman perdagangan.
Tindakan Amerika ini memberi bayangan bahawa dunia kini berada dalam fasa pertembungan dua blok besar. Di satu pihak, kuasa tradisional Barat yang mahu mengekalkan status quo. Di pihak lain, BRICS yang mahu membina dunia multipolar yang lebih seimbang dan adil.
Malaysia kini berada di tengah gelanggang, dikelilingi pelbagai tekanan. Sebagai negara bersaiz sederhana, Malaysia perlu mempamerkan kebijaksanaan diplomasi untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak tanpa mengorbankan kepentingan strategik nasional.
Langkah Malaysia ke BRICS membuka ruang kepada saluran kewangan baharu, peluang pelaburan alternatif dan kerjasama teknologi dengan negara-negara membangun. Dalam masa yang sama, Malaysia perlu terus menjaga hubungan dengan Amerika sebagai rakan dagang utama.
Jika tekanan tarif ini berpanjangan, Malaysia perlu segera mengkaji semula strategi perdagangan luar. Ini termasuk memperkukuh pasaran serantau, merintis perjanjian dua hala dengan negara-negara Global Selatan dan mempercepat pelaksanaan dasar perdagangan bebas dalam kalangan anggota ASEAN.
Amerika Syarikat sejak sekian lama membina pengaruh global melalui sistem ekonomi dan institusi kewangan antarabangsa. Dalam sistem ini, tarif bukan sekadar alat perdagangan tetapi senjata untuk mengawal arah dasar luar negara lain.
Setiap kali ada negara membangun yang mahu membina pakatan sendiri di luar orbit Washington, tekanan ekonomi akan menyusul. Tindakan ini telah dikenakan kepada Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah apabila mereka mula mengambil pendirian lebih bebas.
Dunia hari ini sudah berubah. Senjata utama bukan lagi peluru dan bom tetapi tarif, pelaburan dan naratif. Malaysia perlu menjadi pemain bijak dalam percaturan ini, bukan sekadar bidak yang ditolak sesuka hati.
Surat dari White House itu adalah isyarat bahawa kuasa besar sedang menghantar mesej amaran. Dan Malaysia, sama ada bersedia atau tidak, sedang melangkah ke papan catur global yang tidak lagi mengenal belas kasihan.
Pilihan ada pada kita. Sama ada memilih untuk terus bergantung kepada satu kuasa atau membina jalan sendiri dalam dunia yang semakin terpecah dua. BRICS mungkin bukan jawapan mutlak tetapi ia adalah salah satu ruang untuk Malaysia merundingkan masa depannya dengan lebih berani.
___
Kalau kamu nak tahu berkenaan percaturan dunia, saya cadangkan baca buku Adikuasa. Buku ini bongkar bagaimana kuasa besar bentuk dunia ikut acuan mereka dan Malaysia hari ini cuma satu bab kecil dalam skrip yang lebih besar.
https://s.shopee.com.my/8KdG9yV2jn