
15/05/2025
SEKECIL FOLIKEL RAMBUT YANG MAMPU BACA FIKIRAN: DUNIA BARU SEDANG BERMULA
Bayangkan anda boleh membuka telefon hanya dengan memikirkannya. Bayangkan anda boleh tulis mesej, main muzik, malah buka lampu rumah tanpa sentuh apa-apa. Anda hanya fikir… dan dunia bertindak balas.
Bunyinya macam sains fiksyen. Tapi inilah yang sedang dibina di makmal Georgia Institute of Technology dan Korea Selatan. Para jurutera di sana telah mencipta salah satu cip antaramuka otak-komputer (brain-computer interface) terkecil dalam sejarah dan ia cukup kecil untuk diselitkan di celah liang roma rambut.
Sekeping cip mikro bersaiz kurang dari hujung jari itu kini membuka pintu kepada satu dimensi baru dalam interaksi manusia-mesin. Ia tidak perlukan pembedahan, tidak perlu wayar besar, dan tak menyakitkan. Hanya letakkan di kulit kepala dan biarkan minda anda yang bekerja.
Cip ini diperbuat daripada resin khas berbentuk silang, dengan duri-duri mikroskopik yang cukup halus untuk menyentuh kulit kepala dan mengesan isyarat otak. Ia kemudian menghantar data melalui wayar fleksibel yang tersembunyi dalam rambut ke pemproses mini, yang seterusnya menghantar arahan secara tanpa wayar ke telefon pintar atau kaca mata AR.
Dalam ujian awal, pengguna boleh menggerakkan kursor, mengaktifkan aplikasi, dan menghantar arahan digital hanya dengan pemikiran. Ketepatannya? Hampir 96.4%. Lebih mengagumkan cip ini boleh bertahan sehingga 12 jam, walau dipakai seharian.
Sebelum ini, teknologi seumpamanya terlalu besar, mahal, atau perlukan pembedahan rumit. Tapi cip ini memecahkan semua halangan itu. Ia halus, ringan, boleh dikeluarkan bila-bila, dan direka untuk pengeluaran besar-besaran.
Para saintis percaya, cip ini bukan sekadar alat bantuan untuk orang kelainan upaya. Ia bakal jadi sebahagian daripada kehidupan moden.
Bayangkan pesakit lumpuh yang akhirnya boleh menaip mesej hanya dengan niat. Atau jurutera yang boleh kawal robot dari jauh hanya dengan pemikiran. Atau pelajar yang belajar dengan bantuan antaramuka minda secara terus.
Malah, cip ini boleh digunakan untuk pemantauan berterusan aktiviti otak di hospital, mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit seperti Parkinson, Alzheimer atau serangan sawan. Dengan teknologi ini, kita bukan sahaja dapat memahami otak tapi juga ‘bercakap’ dengannya.
Potensi di luar hospital juga tidak kurang hebat. Dalam dunia permainan video, realiti maya, dan rumah pintar, cip seperti ini akan menjadikan pengalaman lebih lancar dan imersif. Anda main game bukan dengan joystick, tapi dengan minda. Anda tukar saluran TV tanpa alat kawalan. Anda hidupkan aircond hanya dengan fikir, "Panaslah bilik ni."
Persoalannya adakah kita bersedia?
Sebab di sebalik kekaguman ini, juga muncul persoalan etika. Bila minda boleh dihantar ke sistem digital, adakah ia boleh digodam? Bagaimana dengan privasi? Adakah satu hari nanti, pemikiran kita boleh diakses oleh syarikat atau kerajaan?
Teknologi ini baru bermula. Tapi langkah pertamanya cukup untuk menggoncang asas komunikasi manusia. Ia bukan lagi soal menaip, bercakap, atau menggesek skrin. Ia soal niat. Fikiran. Dan kehendak.
MasyaAllah. Betapa luar biasanya ciptaan manusia yang sebenarnya hanyalah pancaran kecil dari ilmu Allah Yang Maha Mengetahui. Di sebalik sebutir cip kecil ini, tersembunyi kebolehan menghubungkan neuron dan gelombang otak kepada dunia digital. Teknologi ini mungkin akan ubah segalanya. Tapi ia juga satu peringatan, bahawa akal adalah amanah dan kehebatan sebenar tetap milik Tuhan.
Kredit : Mazlan Syafie