06/03/2025
Abg besar sudah bersuara…
KENYATAAN MEDIA
4 MARCH 2025
Parti Gerakan Rakyat Malaysia memandang serius dan mengutuk sekeras-kerasnya insiden beberapa kakitangan Era FM yang dilihat mempersendakan ritual kavadi semasa perayaan Thaipusam. Insiden ini, yang tular melalui sebuah video di TikTok, telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat penganut Hindu dan rakyat Malaysia yang menghargai kepelbagaian budaya dan agama.
Malaysia merupakan sebuah negara yang menghormati kepelbagaian, isu-isu kebelakangan ini dari penjual jagung kepada juruhebah radio, yang dilihat merendah-rendahkan, memperli dan bersikap perkauman ini patut dihukum dengan tegas.
Ketua Biro Perpaduan GERAKAN, Dato Sri Chandra Balabeda juga menggesa Kementerian Komunikasi untuk segera menggantung lesen penyiaran Era FM untuk sekurang-kurangnya seminggu agar dijadikan sebagai precedent, teladan kepada yang lain. Cukup-cukuplah dengan bersengaja memperli kaum ataupun amalan orang lain.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia juga memohon Kementerian Perpaduan Negara untuk segera bertindak terhadap insiden tersebut, tindakan proaktif daripada pihak Kementerian adalah penting dalam situasi sebegini. Kementerian juga harus segera menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) tindakan terhadap insiden yang berpotensi menggugat keharmonian antara kaum dan agama.
Nampaknya, akta-akta sedia-ada tidak memberi tekanan wajib dan sering dianggap lapuk, ia bermaksud perlunya kajian lanjut terhadap undang-undang sedia-ada dalam usaha memastikan ia relevan dengan situasi semasa dan mampu menangani isu-isu anti-perpaduan dengan efektif.
"Kami juga menggesa Menteri Perpaduan Negara untuk mengambil langkah proaktif dalam menangani isu-isu sensitif seperti ini, tanpa menunggu reaksi negatif daripada rakyat"
"Pendekatan segera dan tegas akan menunjukkan komitmen kerajaan dalam memelihara keharmonian dan perpaduan nasional" tegas beliau.
Pada masa yang sama, GERAKAN percaya bahawa perpaduan negara adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, semua pihak, termasuk media dan individu, harus lebih berhati-hati dan sensitif terhadap kepelbagaian budaya dan agama di negara ini.
GERAKAN berharap insiden seperti ini tidak akan berulang dan semua pihak dapat bekerjasama untuk memupuk rasa hormat dan memahami antara satu sama lain demi kesejahteraan negara.
Dato Sri Chandra Balabeda
Ketua Biro Perpaduan GERAKAN