27/10/2025
Nada yang Tak Pernah Padam: Spider dan Malam yang Menghidupkan Semula Waktu
————————-
Tahun 1999 menandakan kemunculan sebuah kumpulan yang membawa warna baharu dalam landskap muzik tempatan. Di saat industri dibanjiri lagu-lagu bernada sentimental dan pengaruh band seberang yang kuat, Spider muncul dengan pendekatan yang segar. Lagu Ngam Ho menjadi titik mula, memperkenalkan gaya muzik yang unik — gabungan rock dan ska dengan sentuhan lirik jenaka, sinis dan puitis. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah pernyataan tentang identiti dan kejujuran dalam berkarya.
Dua dekad berselang, semangat itu masih berdenyut di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Dalam suasana yang sederhana tetapi penuh makna, Spider mempersembahkan Spider Unplugged 2025 — bukan untuk menuntut perhatian, tetapi mengingatkan kita bahawa muzik yang berjiwa dan ikhlas akan tetap menggamit kesetiaan peminat dari pelbagai generasi.
Seawal jam lima petang, dewan sudah dibanjiri peminat — dari generasi yang jatuh cinta pada muzik Spider lewat corong radio dan kaset, hinggalah generasi yang mengenal Spider era penstriman atas talian.
Saat Tam, Aie, Is dan Pown melangkah ke pentas, sorakan penonton bergema seperti gelombang yang pecah selepas lama terkurung di dada waktu.
Persembahan dibuka dengan Rasakan Resapkan, dan sebaik petikan gitar yang pertama, ruang dewan berubah menjadi lorong masa yang penuh kenangan. Setiap jiwa yang hadir seakan mengerti — malam itu, segala penantian dan hutang kerinduan meraka akan dibayar lunas.
Dalam tataris pentas yang sederhana, setiap not kedengaran lebih jujur, setiap bait terasa lebih dalam. Lagu-lagu yang pernah menemani zaman remaja dalam kebanyakkan jiwa yang hadir, kini kedengaran lebih matang, menghidupkan semula kenangan tanpa kita terperangkap dalam nostalgia.
Selepas beberapa lagu yang mengundang nyanyian bersama seperti Kau Saja, Kacap Terlabik dan Waduh Tijah, Spider menghadiahkan kejutan yang amat mengasyikkan. Para penonton dihidangkan dengan persembahan istimewa Impian Seorang Nelayan, nyanyian asal kumpulan Kembara. Tanpa mengecewakan, Tam telah memberikan keadilan yang sewajarnya dengan menyampaikan lagu ini dengan penuh rasa dan jiwa. Sebuah penghormatan khas buat M. Nasir, sifu yang menjadi titik mula perjalanan muzik Spider.
Di penghujung malam, ketika lampu dewan malap, semua yang hadir tahu persembahan belum berakhir. Mungkinkah Terjadi menjadi penutup yang dinanti. Dalam versi akustik, lagu ini kedengaran lebih tulus, seolah-olah merakam perjalanan Spider sendiri — daripada perjuangan awal, kejatuhan, kehilangan, dan kebangkitan semula.
Bagi peminat setia, kehilangan Tony, Napie dan Loloq masih meninggalkan ruang yang sukar diganti. Namun dengan barisan baharu yang kini diterajui Tam, Aie, Is dan Pown, Spider membuktikan bahawa kehilangan bukan pengakhiran. Ia hanyalah bab baharu dalam sebuah perjalanan panjang yang terus ditulis dengan kejujuran.
Spider Unplugged 2025 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi pernyataan tentang ketahanan muzik yang lahir dari hati. Hampir mencecah umur 30 tahun, Spider kekal sebagai suara yang tidak tunduk kepada masa. Dan di penghujung malam, satu hakikat terungkap — sesetengah nada tidak akan pernah padam. Tidak kini, dan mungkin selamanya.
SPIDER