20/06/2026
Pernahkah anda tertanya-tanya apakah maksud sebenar gelaran "Darul Ridzuan" yang digunakan pada nama rasmi Negeri Perak? Sebenarnya, hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai gelaran khas yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri masing-masing seperti Kelantan Darul Naim, Terengganu Darul Iman, Pahang Darul Makmur, Johor Darul Takzim, Selangor Darul Ehsan dan Kedah Darul Aman. Perkataan "Darul" p**a berasal daripada bahasa Arab iaitu "Dar" yang membawa maksud rumah, tempat tinggal atau negeri. Dalam konteks pentadbiran dan pemerintahan Islam, penggunaan perkataan ini melambangkan sebuah negeri yang menjadi tempat rakyat hidup dalam keamanan, kesejahteraan dan berada di bawah naungan pemerintahan yang berdaulat.
Bagi Negeri Perak, gelaran "Darul Ridzuan" dipercayai mula diterima oleh Sultan Perak atas nasihat para ulama sekitar abad ke-18. Walaupun tidak dapat dipastikan pada zaman pemerintahan Sultan yang mana gelaran tersebut mula digunakan secara rasmi, ia dipercayai telah wujud dalam lingkungan tahun 1700 hingga 1799 ketika beberapa Sultan Perak silih berganti memerintah negeri ini. Tempoh tersebut menyaksikan pemerintahan Sultan Mahmud Iskandar Shah, Sultan Alauddin Mughayat Shah, Sultan Muzaffar Shah III, Sultan Muhamad Shah, Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan Mahmud Shah II, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda dan Sultan Ahmaddin Shah. Gelaran ini kemudiannya terus kekal menjadi sebahagian daripada identiti rasmi Negeri Perak sehingga ke hari ini.
Dari sudut bahasa Arab, "Ridzuan" sering dikaitkan dengan keredaan, rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT. Justeru, Darul Ridzuan boleh difahami sebagai "Negeri yang Mendapat Keredaan Allah" atau "Tempat yang Dipenuhi Rahmat dan Keberkatan". Ada juga tafsiran yang mengaitkannya dengan negeri yang dianugerahkan kebahagiaan, kesejahteraan dan kesenangan kepada rakyatnya. Tidak hairanlah gelaran ini begitu dekat dengan jiwa masyarakat Perak kerana ia bukan sekadar nama rasmi, malah membawa doa, harapan dan lambang kemuliaan yang diwarisi sejak ratusan tahun lalu.