
14/07/2025
Kartunis Satira veteran ramal kejatuhan UMNO sejak 2012
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN – “Burung di dahan rapuh akan terbang ke pokok lain.”
Begitulah sindiran tajam seorang pesara guru yang juga kartunis satira veteran, Hussain Jaafar, 87, berhubung kejatuhan UMNO yang disifatkannya sebagai sudah lama dijangka berdasarkan pengamatannya lebih satu dekad lalu.
Figura warga emas dari Chenor itu bukan asing dalam kalangan masyarakat setempat. Sebagai bekas guru era sebelum kemerdekaan dan pejuang pendidikan Melayu, beliau merupakan antara pendukung awal UMNO yang pernah menabur bakti demi kemajuan bangsa.
Namun, Hussien mengakui kecewa apabila menyaksikan parti keramat itu semakin tersasar daripada asas perjuangannya sendiri.
“Saya tidak pernah benci UMNO. Saya sayang UMNO kerana ia dulu jadi wadah perjuangan sebenar bangsa Melayu. Tapi apabila pemimpin tak boleh ditegur, dan perjuangan bertukar jadi rebutan kuasa, itulah tanda-tanda awal kejatuhan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru Chenor, semalam.
Menurut Hussain, pada tahun 2012 sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 ( PRU-13) beliau pernah menghasilkan beberapa lukisan kartun satira politik yang menggambarkan nasib malang UMNO jika pemimpinnya terus leka dan angkuh.
Melalui watak-watak simbolik seperti helang, monyet, ular dan tebuan, beliau menyindir perilaku pemimpin yang rakus, hipokrit serta hanya mengejar kepentingan peribadi.
“Helang angkuh, tebuan menyengat sesama sendiri, monyet kejar pisang hingga lupa dahan reput, ular p**a membelit dari dalam.
Semua ini adalah perlambangan budaya politik UMNO yang saya nampak waktu itu,” katanya.
Antara karya paling tajam menggambarkan seekor burung hinggap di dahan pokok punggur yang rapuh, sebelum terbang mencari ranting baharu yang lebih kukuh — perumpamaan kepada pemimpin oportunis yang meninggalkan UMNO selepas kenyang dengan jawatan dan habuan.
Hussien berkata, ramalan itu kini menjadi realiti apabila ramai tokoh UMNO berpaling tadah, menyertai parti lawan atau bertindak bebas demi kepentingan peribadi.
“Hipokrasi inilah barah sebenar dalam UMNO. Cakap soal agama dan bangsa, tapi hakikatnya menjual maruah demi jawatan. Rakyat akhirnya celik dan mula menghukum,” ujarnya.
Mengimbas kembali pengalaman sebagai guru, beliau turut berkongsi kisah pahit ditukarkan ke kawasan pedalaman selepas lantang membantah keputusan kerajaan memansuhkan tulisan jawi sebagai tulisan utama dalam sistem pendidikan pada tahun 1966.
“Waktu itu UMNO begitu dominan, suara rakyat tak dipedulikan. Padahnya, generasi hari ini ramai yang buta jawi, tak kenal akar budaya sendiri,” katanya kesal.
Jelasnya, tindakan itu telah memutuskan hubungan generasi Melayu moden dengan khazanah ilmu warisan, termasuk kitab-kitab lama yang ditulis dalam tulisan jawi.
Mengulas lanjut, Hussien berpandangan UMNO hanya akan mampu bangkit semula jika pemimpin masa depan berani menolak budaya ‘politik panggung’ dan kembali kepada semangat khidmat rakyat yang ikhlas.
“Kita tidak perlukan pemimpin berslogan dan bersolek imej. Kita perlukan mereka yang sanggup berpanas di bawah, yang jujur dan faham denyut nadi rakyat,” tegas beliau.
Sebagai seorang seniman rakyat yang terus menzahirkan pandangan melalui seni, Hussien tetap yakin sinar masa depan UMNO masih ada — sekiranya keberanian untuk berubah datang dari dalam.
“Seperti pokok yang hampir tumbang, akar yang masih kukuh mampu tumbuh tunas baharu. Tapi mesti ada orang yang sanggup menyiramnya dengan jujur,” katanya.
Ends-