04/05/2025
Kematian isteri punca lelaki buat kecoh, meniarap atas jalan Batu Pahat:
Tekanan perasaan selepas kehilangan isteri disyaki menjadi punca seorang pemandu lori bertindak memberhentikan kenderaan atas jalan raya hingga mencetuskan kekecohan di Jalan Parit Bilal, di sini, Rabu lalu hingga tular di media sosial.
Lelaki berusia 40 tahun itu juga dilaporkan mundar-mandir serta meniarap atas jalan raya sebelum orang ramai bertindak menahannya untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan orang awam berhubung seorang lelaki dilihat seperti kurang siuman sambil mundar-mandir atas jalan raya pada jam 1.20 tengah hari.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan dan dokumentasi mendapati lelaki itu dipercayai sedang mengalami kemurungan."Dia menghadapi situasi itu kerana tekanan perasaan berlarutan akibat kehilangan isteri dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif bahan terlarang."Bagaimanapun, insiden itu tidak menyebabkan kerosakan atau kecederaan kepada mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan.
Kata Shahrulanuar lagi, lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pemeriksaan perubatan.Jelasnya, hasil pemeriksaan awal pihak HSNI mengesahkan keadaannya sebelum ditahan di wad untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, video berdurasi 19 saat tular di media sosial yang mana menunjukkan orang ramai dengan bantuan polis menahan seorang lelaki di atas jalan raya.Lelaki itu sebelum itu memberhentikan lori dipercayai tangki hingga menghalang laluan kenderaan awam.