28/08/2026
Jika Harga Saham Jatuh Dianggap Kerugian, PETRONAS Sudah “Hilang” RM43 Bilion
RM42.85 bilion.
Itulah jumlah yang seolah-olah telah “hilang” daripada kepentingan PETRONAS dalam Petronas Chemicals Group Berhad atau PCG jika setiap kejatuhan harga saham disamakan dengan kerugian sebenar.
Pada 5 Mei 2022, saham PCG mencatat paras tertinggi intrahari RM11.08. Pada 9 April 2025, harganya jatuh sehingga RM2.75. Berdasarkan rekod harga PCG, penurunan dari puncak ke paras rendah itu mencecah kira-kira 75.2 peratus.
PCG mempunyai lapan bilion saham diterbitkan. Pada harga RM11.08, permodalan pasarannya bernilai RM88.64 bilion. Nilai tersebut menyusut kepada RM22 bilion ketika harga saham jatuh kepada RM2.75.
Sebanyak RM66.64 bilion nilai pasaran PCG terhakis sepanjang tempoh tersebut.
PETRONAS memiliki kepentingan efektif 64.3 peratus dalam PCG. Secara pro rata, nilai pasaran kepentingan PETRONAS jatuh daripada hampir RM57 bilion kepada kira-kira RM14.15 bilion.
Perbezaannya ialah RM42.85 bilion.
Angka tersebut bukan rosot nilai perakaunan yang sepatutnya direkodkan PETRONAS. Ia juga bukan kerugian tunai yang telah direalisasikan. Angka RM42.85 bilion ialah pengiraan susut nilai pasaran berdasarkan perbezaan antara satu paras harga tertinggi dengan satu paras harga terendah.
Jika pendekatan yang menyamakan kejatuhan harga saham dengan kerugian sebenar digunakan, PETRONAS sepatutnya dianggap telah kehilangan hampir RM43 bilion daripada PCG sahaja.
Rekod kewangan PETRONAS tidak menunjukkan kerugian sedemikian.
Bagi tahun kewangan 2025, Kump**an PETRONAS melaporkan kerugian rosot nilai dan hapus kira bersih sebanyak RM2.618 bilion dalam penyata untung rugi. Dalam akaun entiti induk p**a, rosot nilai bersih terhadap keseluruhan pelaburan dalam anak syarikat berjumlah RM68 juta.
Penyata Kewangan Beraudit PETRONAS 2025 menjelaskan bahawa penilaian rosot nilai dibuat berdasarkan nilai boleh pulih dengan menggunakan andaian jangka panjang mengenai harga, volum, margin, kos dan aliran tunai masa hadapan.
Rosot nilai tidak ditentukan dengan mengambil harga saham tertinggi, menolaknya dengan harga terendah dan memasukkan keseluruhan perbezaan itu ke dalam penyata untung rugi.
PCG ialah anak syarikat yang dikawal PETRONAS. Dalam akaun konsolidasi, kepentingan tersebut tidak dipersembahkan sebagai satu pelaburan saham yang dinilai semula setiap hari mengikut harga penutup Bursa.
Aset, liabiliti, hasil serta keuntungan atau kerugian PCG digabungkan ke dalam penyata kewangan Kump**an PETRONAS. Kejatuhan harga saham PCG tidak secara automatik menjadi kerugian PETRONAS kerana harga pasaran saham tidak semestinya sama dengan nilai boleh pulih aset dan operasi yang berada di bawah kawalan kump**an.
Kemerosotan prestasi sebenar PCG tetap direkodkan. Pada 2025, PCG mencatat hasil RM27.48 bilion dan kerugian RM2.05 bilion. Prestasi operasi tersebut mengalir ke dalam akaun konsolidasi PETRONAS.
Apa yang tidak direkodkan ialah keseluruhan kejatuhan permodalan pasaran PCG sebagai kerugian dalam penyata untung rugi PETRONAS.
Di sinilah perbandingan dengan Tabung Haji perlu dibuat secara tepat.
Kaedah perakaunan PETRONAS dan TH tidak semestinya sama kerana sifat pegangan kedua-dua entiti berbeza. Perbandingan ini tidak bertujuan memindahkan kaedah perakaunan PETRONAS secara terus kepada TH. Ia menguji dakwaan bahawa setiap kejatuhan harga saham semestinya merupakan kerugian sebenar.
Kebanyakan pegangan saham tersenarai TH ialah pelaburan minoriti. TH tidak mengawal syarikat-syarikat tersebut dan tidak boleh mengkonsolidasikan akaunnya seperti PETRONAS menggabungkan PCG.
Pegangan TH kekal sebagai aset kewangan yang tertakluk kepada peraturan klasifikasi, pengukuran dan ujian rosot nilai tersendiri.
Di bawah MFRS 139 yang berkuat kuasa bagi akaun 2017, kejatuhan nilai yang signifikan atau berpanjangan boleh menjadi bukti rosot nilai. Pengukurannya perlu dibuat daripada kos atau nilai bawaan kepada nilai saksama pada tarikh pelaporan.
Ia bukan pengiraan mudah berdasarkan perbezaan antara harga tertinggi dengan harga terendah yang dipilih daripada dua tarikh berasingan.
Audit Jabatan Audit Negara terhadap TH juga bukan kaedah yang direka sesuka hati. Ia merupakan audit statutori di bawah Akta Audit 1957 dan dilaksanakan berdasarkan piawaian audit yang diiktiraf.
Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, menjelaskan bahawa JAN menggunakan MFRS 139. Penilaian khas PwC p**a dibuat berdasarkan terma rujukan yang berbeza dan turut mengambil kira FRSIC Consensus 14, yang menurut Institut Akauntan Malaysia bukan piawaian mandatori.
Kedua-dua penugasan itu mempunyai tujuan, skop dan asas pertimbangan yang berbeza. Hasilnya tidak boleh dibandingkan tanpa memperincikan setiap kaedah serta pelarasan yang digunakan.
Perbezaan tersebut tidak bermakna dapatan PwC atau Suruhanjaya Siasatan Diraja boleh diketepikan. RCI berpandangan bahawa penggunaan penuh MFRS akan menyebabkan TH mencatat kerugian RM1.4 bilion bagi 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion.
Dapatan itu serius dan perlu diuji secara terbuka. Setiap pelarasan sepatutnya diperincikan termasuk nilai bawaan, harga pada tarikh pelaporan, tempoh penurunan, tafsiran “signifikan atau berpanjangan”, sumber andaian serta asas perakaunan yang digunakan.
Tanpa penjelasan tersebut, masyarakat hanya diberikan dua angka berbeza tanpa dapat menilai bagaimana setiap angka dihasilkan.
Rosot nilai perakaunan bukan perkara yang sama dengan kerugian direalisasikan. Kejatuhan harga pasaran juga tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa wang pendeposit telah dicuri.
Tuduhan jenayah memerlukan bukti mengenai transaksi, aliran wang, penerima manfaat dan niat. Carta harga saham yang menurun tidak boleh menggantikan bukti tersebut.
Angka RM42.85 bilion dalam kes PCG menunjukkan bahawa harga pasaran, rosot nilai perakaunan dan kerugian direalisasikan ialah tiga perkara berbeza.
Jika setiap kejatuhan harga saham dianggap kerugian sebenar, PETRONAS sudah “hilang” hampir RM43 bilion.
Jika angka RM43 bilion itu bukan kerugian sebenar PETRONAS, kejatuhan nilai pasaran saham yang dipegang TH juga tidak boleh secara automatik dianggap sebagai kerugian direalisasikan atau bukti berlakunya penyelewengan.
Ukuran yang digunakan mesti konsisten. Kaedahnya mesti dijelaskan. Angkanya mesti boleh diuji.
Itulah asas perbahasan yang adil terhadap PETRONAS, Tabung Haji dan mana-mana institusi yang mengurus aset milik rakyat.