22/07/2025
PREMIER SARAWAK ZAHIR RASA SYUKUR SEMPENA HARI SARAWAK
MIRI, 21 JULAI 2025 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg melahirkan rasa amat bersyukur terhadap pembangunan Sarawak setakat ini ketika Sarawak merayakan Sambutan Hari Sarawak 2025 Peringkat Negeri pada Selasa di sini.
Miri adalah bandaraya yang dibangunkan berasaskan industri minyak dan gas, sekaligus simbol kemajuan dan keharmonian kaum wilayah ini, kata beliau dalam perutusan dalam buku atur cara sempena perayaan tersebut.
Beliau menekankan peranan Miri sebagai bandaraya peranginan yang pesat membangun sekali gus mencerminkan kemajuan dan keharmonian masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.
Di bawah tema “Sarawak Maju Makmur” sambutan tahun ini menzahirkan komitmen Kerajaan dan rakyat Sarawak untuk memperkukuh hubungan erat antara Kerajaan dengan masyarakat pelbagai kaum, kata beliau lagi.
Premier menegaskan bahawa perpaduan ini merupakan asas kukuh bagi memacu pembangunan mampan menuju status wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 bagi menjamin kemakmuran sosio ekonomi yang inklusif, tegas beliau.
Beliau telah menyatakan komitmen Kerajaan Sarawak pimpinan untuk memperkasa ekonomi digital dan Kecerdasan Buatan (AI), memacu Kelestarian Alam sekitar dan membangunkan sektor teras berasaskan minyak dan gas, perladangan, pelancongan, dan pertanian moden secara agresif.
Datuk Patinggi Abang Haji Johari menekankan keistimewaan Sarawak sebagai wilayah yang “kukuh dengan keharmonian kaum” meskipun berbilang agama dan adat. Beliau menyeru semua rakyat Sarawak memelihara warisan ini.
Beliau juga menegaskan bahawa pendidikan berkualiti dan inklusif merupakan teras pembinaan modal insan.
“Justeru, bermula tahun hadapan, pendidikan percuma akan disediakan untuk semua pelajar Sarawak dalam bidang-bidang tertentu di universiti milik Kerajaan Sarawak. Ini bagi memastikan tumpuan pembelajaran dan meringankan beban kewangan keluarga.
Beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta menyeru rakyat bersatu padu menyokong usaha ini demi masa depan negeri.
Beliau juga turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada semua pihak yang menjayakan sambutan ini.
“Semoga Sarawak terus maju, makmur, dan kekal sebagai wilayah contoh keharmonian di Malaysia. Selamat Menyambut Perayaan Hari Sarawak 2025,” ujar beliau.