12/02/2026
Kesilapan Pemancing Baru
Minta maaf lah, kadang kadang dah habis idea apa nak tulis atau kongsi tentang umpan tiruan. Setakat hari ini, dah enam tahun menulis. Jadi hari ini, keluar topik sikit tapi masih relevant dalam soal dunia pancing.
Saya nak ceritakan tentang kesilapan biasa yang dilakukan oleh pemancing baru. Mulai bulan Mac nanti, ombak dan cuaca mulai berpihak untuk pemancing baru untuk menduga kawasan dan lubuk ikan. Harap nanti tak lah buat kesilapan itu nanti.
1. Drag kekili terlalu ketat
Ramai fikir makin ketat makin kuat. Sebenarnya salah. Drag terlalu ketat boleh menyebabkan tali putus. Jika guna mata kail murah, ada kemungkinan mata kail itu jadi lurus. Ikan terlepas di saat akhir.
Tip: Laras drag ±30% dari kekuatan tali.
2. Mata kail tak ikut saiz umpan
Bila kita pakai umpan kecil, manakala mata kail besar, ikan jadi culas. Ikan ada mata, janganlah kedekut sangat nak taruk umpan. Ada juga guna umpan terlalu besar, dan mata kail p**a kecil. Ikan tak culas tapi bila kita sentap, mata kail mudah rabut sebab duri mata kail tidak mencucuk bibir atau mulut ikan.
Prinsip mudah: Umpan tutup mata kail, bukan sembunyikan keseluruhan mata kail.
3. Terlalu kerap tukar tempat
Baru 5–10 minit, dah nak pindah spot. Kalau mencandat, awalnya sotong bersilih ganti, bila lewat malam, sotong dah berkurang. Dah minta tekong tukar spot.
Padahal ikan dan sotong bergerak ikut arus. Ia makan ikut masa, bukan makan sepanjang masa. Kalau pakai sonar yang ada 'live view', kita boleh nampak kump**an ikan bawah bot dan umpan kita yang kita turunkan. Walaupun umpan lalu depan mata dia, dia buat tak layan je.
Tip: Tunggu sekurang-kurangnya 20–30 minit sebelum tukar spot. Rujuk jadual air pasang surut.
4. Tak ambil kira pasang surut
Ini kesilapan paling besar. Air mati bermakna ikan pasif. Dia ada tapi dia buat hal lain. Dia tak beberapa nak layan umpan kita. Air pasang surut dipengaruhi oleh pergerakan bulan. Kalau hari itu, air mati, elok tunda la tarikh trip tu.... kot nanti salahkan tekong tak bawa ke tempat yang ikan ramah. Jika air berjalan, terutamanya ketika air nak mula pasang, atau air dari pasang penuh nak menyurut, ha... ketika ini ikan aktif.
Tip: Fokus waktu air mula naik atau mula surut. Lagi sekali, faham dan tengok dulu jadual air pasang surut di lokasi yang kita nak pergi memancing. Banyak applikasi yang percuma dan boleh dirujuk di hujung jari sekarang.
5. Umpan tak segar / salah simpan
Jika umpan bau masam atau dah busuk, ikan terus tolak. Kecuali ikan duri dan kelurganya. Ikan ikan pemangsa kebih mengutamakan ikan hidup. Kalau nak memancing ikan tenggiri sebagai contoh, umpan ikan kembung terbaik terbaik, kalau tak ada kembung baru cangkut ikan tamban atau selar. Tak ada juga ketiga tiga umpan tersebut, guna ikan kunyit atau kacang ekor kuning. Tak ada juga, baru guna ikan yang dah mati tapi masih segar.
Tip mudah: Jika guna udang/sotong hidup, simpan dalam bekas yang beroksigen dan letak sedikit ais. Jangan rendam dalam air tawar terlalu lama atau rendam dalam bekas air bertakung (tanpa oksigen).
6. Setup terlalu kasar
Bila kita guna tali besar, perambut keras, batu berat, ikan nampak, dia pun lari, takut.
Tip: Gunakan setup seminimum yang selamat. Tak tahu? Tanya la tekong. Tanya lah awal supaya boleh buat persiapan sebelum pergi memancing. Jangan atas bot baru nak kalut nak pasang tali pancing. Siap sedialah tali pancing fluorocarbon, tali tu "tidak kelihatan" dalam air.
7. Tak periksa ikatan
Kita kadang kadang main mudah je. Kita beli set pancing kat kedai pancing atau secara online. Nampak murah, beli. Perambut sebagai contoh, kita beli nampak ikatan dah siap, terus baling. Sekali sentap, bye-bye ikan.
Tip: Tarik kuat setiap ikatan sebelum guna. Set apollo murah selalunya ikatannya tak kuat...
8. Terlalu bising & banyak bayang
Ikan ni sensitif, janganlah hentak bot, tarik tali kasar, bayang jatuh ke air, pasang musik kuat kuat.
Ikan yang sensitif tu, mereka menjauhkan diri.
Tip: Gerak perlahan, senyap, fokus.
Penutup dan ulasan.
“Memancing bukan soal kuat saja…
tapi soal faham tentang tabiat ikan, arus, dan kesabaran.” Jika kita tak dapat ikan, jangan duk asyik salahkan tekong je.... Cuba tunjukkan jari tangan kita ke tekong, tentu kita guna jari telunjuk kan? Kita tunjuk guna satu jari je... Kadang-kadang orang bersopan, dia guna ibu jari dan bukan jari telunjuk untuk menunjuk. Perhatikan lagi 3 atau empat jari lagi, ke arah mana dia tunjuk? Satu jari menunjuk ke tekong (yang kita nak marah tu), lagi 3 atau 4 jari lain, semuanya menunjuk ke arah kita sendiri. Jadi, muhasabah lah diri kita dulu sebelum kita nak salahkan orang lain. Ikan ada je dalam air tu, cuma belum rezeki kita untuk mendapatkannya....
Macam best je tengok orang dapat ikan besar besar.
copypaste: oza ozazizu