
22/07/2025
PERPADUAN SASARAKAN BERTANDING 50 KERUSI DUN PADA PRN-17
PENAMPANG: Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) buat pertama kalinya sejak penubuhannya lebih sedekad lalu, menetapkan sasaran untuk bertanding 50 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Presidennya, Jack J. Giau, berkata kerusi DUN yang akan ditandingi merangkumi kawasan Kadazandusun, Bumiputera Islam, serta kawasan dengan populasi pengundi Cina. Beliau menegaskan bahawa PERPADUAN tidak akan meletakkan calon di kawasan yang tiada peluang untuk menang dan akan memastikan calon yang dipilih bebas daripada sebarang isu salah guna kuasa.
Jack menjelaskan bahawa keputusan parti untuk menyertai PRN kali ini didorong oleh beberapa faktor, termasuk ketidakpuasan terhadap kerajaan sedia ada yang dianggap bukan pilihan rakyat. Parti ini juga bertekad untuk membanteras amalan rasuah, kronisme, dan nepotisme, serta berjuang mengekalkan sistem rakan setara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Sekiranya diberi mandat, PERPADUAN bercadang menukar gelaran jawatan Ketua Menteri Sabah kepada "Premier" dan Pembantu Menteri kepada "Timbalan Menteri". Jack menegaskan bahawa Sabah harus diurus oleh pemimpin tempatan dan tidak menggunakan naratif ‘tolak parti Malaya’ untuk meraih sokongan.
Sumber : Sabah News Today