28/10/2025
PM dan Media Timor Leste Terharu Tak boleh tahan Air Mata
Tahniah !!!
Apabila tengok video beberapa delegasi media dari negara Timor Leste menangis selepas diumumkan secara rasmi sertai ASEAN, saya juga turut sebak.
Bukannya apa, sejak darjah 4 saya mula membaca tentang negara ini. Masa tu juga Mama jadi peneman setia saya tonton berita dunia di RTM untuk tahu tentang kisah negara ini termasuk negara-negara lain.
Waktu itu Timor Leste baru saja mencapai kemerdekaan.
Penyertaan mereka dalam ASEAN bukan sekadar berita diplomatik, tapi bagi rakyat Timor Leste, ini adalah kemuncak perjuangan mereka selama lebih dua dekad selepas merdeka.
Timor Leste dah mohon untuk sertai ASEAN sejak 2011, tapi 14 tahun kemudian barulah permohonan mereka diluluskan. Prosesnya panjang dan tak mudah.
Waktu itu kerajaan mereka masih belum matang, ekonominya kecil dan infrastrukturnya belum stabil. Bagi ASEAN, penerimaan bukan sekadar soal geografi atau sempadan, tapi kemampuan untuk memikul tanggungjawab serantau.
Selama bertahun-tahun, mereka menjalani tiga misi penilaian rasmi (fact finding missions) bagi menilai tahap kesediaan ekonomi, sosial dan pentadbiran negara.
Perjalanan agak perlahan tapi konsisten. Dan pada 2022, ASEAN akhirnya bersetuju secara prinsip membuka ruang kepada Timor Leste untuk menjadi pemerhati dalam semua mesyuarat. Tiga tahun kemudian, mereka diterima sepenuhnya.
Dan ketika Xanana Gusmao, PM dan pejuang kemerdekaan yang juga wajah sejarah Timor Leste, seorang yang selalunya kelihatan ceria tapi hari ini menitiskan air mata selepas menandatangani Deklarasi Kemasukan ke ASEAN, seluruh dewan berdiri dan bertepuk tangan.
Tangisan itu bukan sekadar emosi seorang pemimpin, tapi lambang penutup kepada perjalanan panjang sebuah bangsa kecil yang akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada komuniti besar Asia Tenggara.
Sebelum 1975, Timor Leste ialah koloni Portugal selama lebih 400 tahun. Selepas Portugal menarik diri, mereka mengisytiharkan kemerdekaan pada 28 November 1975. Tapi belum pun sempat membina negara, mereka diserang oleh Indonesia dan dijadikan provinsi ke-27 pada tahun 1976.
Perjuangan kemerdekaan diteruskan selama lebih 20 tahun hingga akhirnya pada 30 Ogos 1999, referendum di bawah seliaan PBB menunjukkan majoriti rakyat mahu merdeka. Selepas tiga tahun di bawah pentadbiran PBB, akhirnya pada 20 Mei 2002, Timor Leste berdiri sendiri sebagai sebuah negara berdaulat.
Dulu saya ingat Timor Leste ini sama seperti Indonesia, rupanya tak. Walaupun pernah menjadi sebahagian daripada Indonesia, Timor Leste mempunyai identiti yang berbeza.
Bahasa rasminya Tetum dan Portugis, bukan Bahasa Indonesia. Sistem pemerintahannya berasaskan model parlimen Eropah, bukan republik. Mereka juga masih mengekalkan banyak warisan budaya Portugis, dari nama jalan hingga seni bina gereja.
Namun yang paling indah ialah hubungan mereka dengan Indonesia kini bukan lagi dibayangi konflik. Kedua-dua negara memeterai Suruhanjaya Kebenaran dan Persahabatan (CAVR), dan Indonesia juga sebenarnya yang jadi penyokong utama keanggotaan Timor Leste dalam ASEAN.
Dua dekad lalu mereka bermusuh. Hari ini, mereka berjabat tangan di bawah bendera ASEAN.
Mungkin ramai yang dah biasa dengar nama Timor Leste dalam arena bola sepak. Ya, mereka sering jadi pasukan belasahan.
Mereka telah menyertai Asian Football Confederation (AFC) dan ASEAN Football Federation (AFF) sejak 2004.
Maka dengan penyertaan Timor Leste hari ini, lengkaplah sudah peta Asia Tenggara.
Dengan penyertaan Timor Leste, ASEAN kini memiliki 11 anggota penuh untuk pertama kali sejak ASEAN ditubuhkan pada 1967.
Tiada lagi negara di Asia Tenggara yang belum menjadi anggota ASEAN.
Satu-satunya jiran yang pernah menyatakan minat, Papua New Guinea, tak diterima kerana terletak di rantau Oceania, bukan Asia Tenggara, walaupun bersempadan dengan Indonesia.
Mungkin dari kisah ini, dah tiba masa kita belajar semula makna sabar, makna berjuang, dan makna diterima bukan kerana belas kasihan, tapi kerana betul-betul layak.
"saya sabgat terharu dan teruja dengan pengumuman Timor Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 kerana sejarah kami sejarah hitam perjuangan kami sangat panjang kami berjuang dengan Belanda dan kemudian dengan Indonesia..sejak 2002 kami mereka tetapi kami belum lagi diiktiraf hingga hari ini..kami tidak lagi sendirian kerana sekeliling kami adalah rakan yang sedia membantu kami" kata Suzana Cardoso Media One Timor Leste.