30/12/2025
Menjadi kebiasaan dalam kebanyakan rumah, gambar perkahwinan, potret keluarga serta gambar anak-anak digantung di dinding atau dibingkaikan sebagai hiasan dan kenangan manis.
Namun, ada baiknya kita menilai semula amalan ini. Jika terdapat gambar-gambar sebegini, eloklah diturunkan, disimpan di tempat tertutup dan tidak dipamerkan untuk tatapan umum di dalam rumah.
Hal ini berlandaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, di mana Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud bahawa malaikat pembawa rahmat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat gambar.
Apabila rahmat Allah berkurangan dalam sesebuah kediaman, kesannya boleh dirasai tanpa disedari. Hati mudah gelisah, hubungan dalam keluarga sering tegang, kebahagiaan terasa hambar dan urusan hidup seolah-olah sentiasa diuji tanpa henti.
Sedangkan kehadiran malaikat rahmat, dengan izin Allah SWT, membawa ketenangan jiwa, melembutkan hati untuk lebih dekat kepada-Nya serta memudahkan urusan rezeki dan kehidupan. Malaikat rahmat juga sentiasa menjaga dan melindungi hamba-hamba Allah yang menghidupkan rumah mereka dengan al-Quran, zikir dan doa.
Semoga setiap rumah yang kita diami menjadi tempat turunnya rahmat, ketenangan dan keberkatan daripada Allah SWT.