19/02/2026
PEMERGIAN DI BULAN MULIA, JEMAAH HEMBUS NAFAS TERAKHIR SELEPAS SOLAT ISYAK.
KOTA KINABALU:- Pemergian seorang lelaki pada malam pertama Ramadan selepas selesai menunaikan solat Isyak di Masjid Jamek Kampung Likas, di sini, malam tadi, menyentuh hati ramai apabila arwah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada malam Jumaat dalam bulan yang mulia.
Dalam satu perkongsian di laman Facebook rasmi masjid berkenaan, arwah difahamkan merupakan jemaah tetap yang tidak pernah culas menghadiri solat fardu berjemaah di masjid itu.
Pihak pengurusan masjid turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar segala amal ibadahnya diterima Allah SWT.
“Kami daripada pihak Masjid Jamek Kampung Likas mengucapkan salam takziah kepada keluarga atas pemergian ayahanda mereka.
“Arwah merupakan salah seorang jemaah yang rutin hariannya hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardu.
“Pemergian almarhum ini adalah satu keuntungan besar kerana beliau kembali ke rahmatullah selepas menunaikan solat fardu Isyak pada malam Jumaat dan dalam bulan Ramadan yang mulia. Semoga Allah menerima segala amal kebaikannya. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.
Perkongsian berkenaan mengundang reaksi ramai netizen yang menzahirkan rasa sebak dan simpati kepada keluarga arwah.
Rata-rata menyifatkan pemergian itu sebagai husnul khatimah yang dicemburui umat Islam, lebih-lebih lagi apabila berlaku di masjid ketika menunaikan ibadah solat, pada malam Jumaat serta bertepatan hari pertama umat Islam berpuasa sempena Ramadan.
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Kredit 📷 : Fb Masjid Jamek Kampung
Likas