Sabah360 Online

Sabah360 Online Sabah360 Online melaporkan berita-berita semasa yang terkini, tepat dan menyeluruh.

Buku Antologi Cerpen Di Balik Deruan Angin karya pelajar tingkatan enam SMK Badin dilancarkanTUARAN: Pelajar tingkatan e...
12/08/2026

Buku Antologi Cerpen Di Balik Deruan Angin karya pelajar tingkatan enam SMK Badin dilancarkan

TUARAN: Pelajar tingkatan enam SMK Badin digesa terus berusaha dengan lebih tekun dalam mencapai kecemerlangan sama ada dalam akademik,kokurikulum, sahsiah dan bidang pengkaryaan.

Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Awang Seman Ag Tahir juga berpesan agar adab dalam menuntut ilmu sentiasa diutamakan tidak kiralah dalam menulis, mencari idea idea menarik dan dapat diketengahkan sebagai karya yang baik.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku antologi cerpen Di Balik Deruan Angin karya pelajar tingkatan enam SMK Badin di Bilik Nyala Inspirasi, SMK Badin, Tuaran .

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terlibat serta menasihati mereka agar terus berusaha dengan lebih tekun dalam mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum, sahsiah dan bidang pengkaryaan.

Beliau turut menekankan kepentingan adab dalam menuntut ilmu, termasuk dalam menulis dan mencari idea yang baik untuk diketengahkan sebagai karya bermutu.

Pelancaran ini merupakan hasil usaha gigih pelajar Tingkatan 6 SMK Badin di bawah bimbingan Cikgu Fauziah Hj. Moksin, guru akademik Bahasa Melayu Tingkatan 6.

Projek penulisan ini bermula sejak 4 Oktober 2025 melalui kelas dan bengkel penulisan yang dijalankan pada waktu petang serta secara dalam talian.

Buku ini diterbitkan oleh Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan menjadi penerbitan ketiga pelajar Tingkatan 6 SMK Badin selepas antologi puisi Pena Yang Melukis Impian (Semester 2, 2023) serta kump**an puisi Merungkai Kamus Kejayaan karya Jaidin Zaineh (STPM 2024).

Pengetua SMK Badin, Voo Hon Min @ Mohd Amin,menzahirkan penghargaan kepada Ikatan Penulis Sabah di bawah kepimpinan Ketua Satu, Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin, atas usaha menerbitkan buku ini.

“Saya berharap para pengkarya muda tidak mensia-siakan peluang yang ada. Sesuai dengan slogan sekolah kita, ‘Badin Hebat, Badin Fly High’, teruslah gigih belajar agar suatu hari nanti anda mampu melakar kecemerlangan yang membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Cikgu Fauziah Haji Moksin, guru akademik Tingkatan 6 yang juga Ketua Dua IPS, melahirkan rasa syukur kerana PPD Tuaran, pengetua, barisan pentadbir, YDP PIBG serta guru-guru SMK Badin sentiasa memberikan sokongan terhadap projek penulisan ini.

Di bawah pimpinan Ketua Satu, Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Ikatan Penulis Sabah (IPS) terus memainkan peranan penting sebagai wadah pengembangan bakat penulisan di kalangan pelajar sekolah.

IPS menyediakan bengkel, kelas penulisan serta ruang diskusi yang membolehkan pelajar mengasah kemahiran menulis secara sistematik.

Usaha menerbitkan antologi cerpen ini membuktikan komitmen IPS dalam memberi peluang kepada penulis muda untuk melihat karya mereka didokumentasikan secara rasmi.

Dengan kerjasama pihak sekolah, PIBG dan PPD Tuaran, IPS menjadi jambatan yang menghubungkan dunia akademik dengan dunia sastera.

Penulisan bukan sekadar aktiviti kokurikulum, tetapi satu jalan untuk membentuk sahsiah, disiplin dan daya fikir kritis pelajar.

Majlis turut dihadiri oleh Yang Dipertua PIBG SMK Badin,Sany Abdillah Hj. Achmad, Pengerusi Majlis Penasihat IPS, Haji Sukor Usin yang juga Sasterawan Negeri Sabah ke-3, Junaidih bin Saidan, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Badin,Junaidih Saidan, Penolong Kanan Tingkatan 6, Nasruddin Syah Budiman, Penolong Kanan Petang, Puan Noreha Mohd Yassin dan Pemangku Penolong Kanan Petang, Handary Jamali, guru Tingkatan 6 dan guru perdana

Gambar

-PENULIS….Gambar penulis dan Cikgu Fauziah bersama Pengetua SMK Badin, Voo Hon Min Amin.

=TAMU KEHORMAT…PPD Tuaran, Awang Seman Ag Tahirm YDP SMK Badiin, Sany Abdillah, Ketua 1 IPS, Ustaz Awang Abdul Muizz, Sasterawan Negeri, Hasyuda Abadi bersama barisan penolong kanan dan ahli persatuan BM dan Sastera Semester3

-PENGKARYA…Cikgu Fauziah bersama pengkarya muda &AJK Persatuan Bahasa Mekayu dan Sastera

MASTARI PERTARUHKAN TETAMU UNTUK FESTIVAL TEATER ZON SABAHKOTA KINABALU: Nama besar dalam dunia seni persembahan Sabah, ...
09/08/2026

MASTARI PERTARUHKAN TETAMU UNTUK FESTIVAL TEATER ZON SABAH

KOTA KINABALU: Nama besar dalam dunia seni persembahan Sabah, Mastari Kanjabun sekali lagi tampil dengan taruhan berprestij apabila mengangkat teater Tetamu ke pentas Festival Teater Zon Sabah 2026.

Pementasan ini dijadualkan berlangsung pada 14 Ogos 2026, jam 8.00 malam di Auditorium JKKN Sabah, anjuran JKKN Sabah.

Karya Maskuji Maturon ini membawa penonton menyusuri kisah cinta Rin dan Quan yang berdepan konflik nafsu, ketakutan serta pencarian iman.

Ketakutan Rin yang memuncak membawanya ke alam berzakh, di mana dia bertemu empat anggota misteri yang melambangkan perjalanan manusia dari hidup ke mati.

Dalam simbolik ibadat dan doa, Rin dan Quan akhirnya menemukan makna satu umat, satu iman dan satu kiblat – sebuah naratif ironis yang penuh falsafah dan simbolisme.

Produksi Badan Teater Sabah kali ini menampilkan gabungan pelakon berpengalaman dan bakat baharu.

Antaranya Tasia Arlina Ismail – Pelakon wanita terbaik Sabah 2001, kebangsaan 2002, serta pelbagai anugerah lain termasuk Kelantan 2019 dan festival universiti 2008.

Faredah Ibrahim – Pelakon wanita terbaik Sabah 2000 dan Abdul Rashid Abdul Ghani pelakon lelaki terbaik Sabah 2009 turut berlakon dalam teater selain.Ramli Ahmad, Abdul Jali Making dan Nordin Samark turut memperkukuh barisan pelakon.

Di belakang tabir, Mastari, yang pernah dinobatkan pengarah terbaik 1995, 2000 dan 2009 dibantu oleh Erwan Azzaly Bin Awang Taip, pengarah terbaik Sabah 2005 & 2011 serta sinografer terbaik 2005, 2007, 2009 dan 2015, yang bertindak sebagai penolong pengarah/artistik.

Tenaga produksi lain termasuk Jeliah Jamuan (Penerbit), Mohd Shahril Izwan Mastari, Abdul Halim Banda, Isfar Hussin, Jamlizain Jamuan, Mohd Nazzir Jamuan, Siti Farhanah Abdul Halim, Mohd Faizal Ismail, Nur Sakirah Solehah Jimpol, Nazirah Pugut Abdullah, Mohd Shahrin Izman Mastari dan Mohd Jasni Yakub.

Festival kali ini dijangka meriah dengan penyertaan kump**an ternama seperti Kota Kinabalu Teater LAB, Stage Production, Vox Vibe Production serta Rumpun Seni Budaya & Sastera

Malam persembahan turut disemarakkan dengan kehadiran tokoh seni dan budaya antaranya Marzuki Ali & isteri (Terengganu), Ismail Kassan (Selangor), Datuk Haji Ismaily Bungsu,Osman Nasron, Maskuji Maturon, Awang Karim Abdul Kadir, Soibil Madun, Abd. Naddin Shaiddin, Dato’ Sri Gulam Tumai, Haji Manchu Kula, Laliman Kemad, Suhaimi Magi, Ramli Jusoh,Nandra Hitong, Guradita Singh ,Siti Rahmah G Ibrahim. Mohamad Razuli Mat Jusoh,Roslee Mansor dan lain lain.

Orang ramai dijemput hadir menyaksikan pementasan penuh makna ini pada 14 Ogos 2026, jam 8.00 malam di Auditorium JKKN Sabah – sebuah karya yang lahir daripada minda kreatif Maskuji Maturon, diterjemahkan dengan penuh jiwa oleh Mastari Kanjabun dan pasukannya.

Gambar-

- MASTARI KANJABUN…Pengarah.
- ERWAN AZZALY AWANG TAIP…Penolong Pengarah.
-TASIA ARLINA ISMAILY…..Pegang watak Rin.
- RAMLI AHMAD…Pegang watak Quan.
-JELIAH JAMUAN…Penerbit Produksi.

‘Maya Oku di Maman’ harumkan nama Dusun Tatana, pencipta luah rasa terkilan“SAYA tidak marah, cuma terkilan sedikit.”Dem...
07/08/2026

‘Maya Oku di Maman’ harumkan nama Dusun Tatana, pencipta luah rasa terkilan

“SAYA tidak marah, cuma terkilan sedikit.”
Demikian luahan pencipta lagu “Maya Oku di Maman”, Dr Benedict Oliver Lidadun, apabila karya yang dihasilkan sejak 1998 itu kini semakin dikenali dan menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat Dusun Tatana.

Menurutnya, setiap kali lagu berkenaan dinyanyikan, beliau tetap berasa bangga kerana puisi rakyat warisan tradisi etnik Dusun Tatana itu kini sudah diperdengarkan di pelbagai tempat, termasuk di luar Sabah.

Bagaimanapun, katanya, ada kalanya masyarakat terlupa mengenai individu yang mencipta melodi lagu berkenaan.

“Saya merakamkan lagu ini pada 1998. Ketika itu belum ada melodi dan saya yang menciptanya,” katanya.

Beliau kemudian memperdengarkan lagu itu kepada Spanis Gadua yang tertarik dengan melodinya sebelum menerbitkannya dalam album kompilasi Koposion 1 Joget Milang Bilang bersama penyanyi lain pada 1999.

Sejak itu, “Maya Oku di Maman” berkembang menjadi antara lagu penting dalam acara tradisi masyarakat Tatana, termasuk Odou Bakanjar, malah dijadikan lagu pembuka dan penutup rasmi festival sejak 2014.

Lagu berkenaan bukan sekadar hiburan kerana ia menggambarkan kehidupan masyarakat desa, hubungan dengan alam dan semangat juang masyarakat Tatana. Melodinya turut berakar daripada bunyi instrumen tradisional seperti gong dan kulintangan, dengan pengaruh rentak tarian perang Sumayau dan Bakanjar.

Liriknya p**a sarat dengan kosa kata klasik Tatana, menjadikannya satu khazanah budaya yang menghubungkan generasi lama dan baharu.

Dr Benedict bukan nama asing dalam dunia seni dan budaya Sabah. Dilahirkan di Kampung Bukit Nuri, Menumbok, Kuala Penyu dan dibesarkan di Kampung Kiambor, beliau mula mendapat pendedahan seni sejak di bangku sekolah.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada gurunya, Cikgu George Unggim, yang banyak membimbingnya dalam bidang seni.

Selepas menamatkan persekolahan, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), sebelum memperoleh sarjana (MA) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan PhD dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), sebelum bersara.

Sebagai penyair, penulis lirik, komposer, penyanyi dan penyelidik, Dr Benedict terus aktif memartabatkan bahasa, sastera, muzik dan warisan budaya Sabah melalui karya kreatif,
penyelidikan serta pelbagai program kesenian dan kebudayaan.

Beliau turut melihat karya sastera seperti novel, cerpen dan puisi yang mengangkat keindahan alam, adat serta kehidupan masyarakat tempatan sebagai satu medium berpotensi mempromosikan sektor pelancongan.

Menurutnya, karya yang berjaya menggambarkan sesuatu lokasi dan budaya secara menarik mampu mendorong pembaca untuk datang melihat sendiri tempat berkenaan, sekali gus mengangkat identiti sesebuah destinasi.

Gambar-

Dr Benedict Oliver Lidadun

USNO Sipitang bakal dibubar, bekas ketua bahagian nyatakan pendirianSIPITANG: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) USNO dan...
07/08/2026

USNO Sipitang bakal dibubar, bekas ketua bahagian nyatakan pendirian

SIPITANG: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) USNO dan Ketua Bahagian USNO P.178 Sipitang, Datuk Haji Ali Dad Fazal Elahi, menyatakan hasrat untuk membubarkan USNO Bahagian Sipitang berikutan dakwaan kepimpinan parti itu semakin hilang arah dan tidak lagi mampu memperjuangkan kepentingan rakyat secara berkesan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai perkembangan semasa politik Sabah yang, menurutnya, memerlukan wadah politik lebih kukuh dan berdaya saing.

“USNO Sipitang sudah tidak lagi berfungsi sebagai platform politik yang relevan. Perpecahan dalaman, kelemahan organisasi dan ketiadaan hala tuju yang jelas menyebabkan perjuangan asal semakin terpinggir,” katanya.

Ali Dad berkata, langkah membubarkan bahagian berkenaan merupakan tindakan yang perlu bagi mengelakkan rakyat Sipitang terus terikat dengan sebuah parti yang didakwa tidak lagi mampu memberikan manfaat kepada mereka.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk kembali menyertai UMNO sebagai alternatif politik yang disifatkannya lebih stabil serta mempunyai struktur organisasi yang mantap.

“UMNO masih mempunyai jentera yang kuat dan pengalaman panjang dalam menguruskan politik arus perdana. Saya percaya dengan penyertaan semula ke dalam UMNO, perjuangan rakyat Sipitang dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Ali Dad menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkannya sebagai pemimpin berpengalaman dan berwibawa.

“Beliau seorang pemimpin yang saya kenal lama, berwibawa dan berpengalaman luas. Dengan kerjasama BN-PN yang sudah lama diimpikan orang Melayu, saya yakin ia akan merombak landskap politik negara,” katanya.

Ali Dad turut menyatakan pandangan bahawa Ahmad Zahid berpotensi diangkat sebagai Perdana Menteri, manakala Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peranan sebagai Menteri Kanan, yang menurutnya boleh mengambil contoh model kepimpinan di Singapura.

Beliau berkata, keputusan itu bukan semata-mata didorong kepentingan peribadi, sebaliknya berpaksikan kepentingan masyarakat Sipitang yang memerlukan kepimpinan berwibawa, berintegriti serta mampu membawa pembangunan.

“Sebahagian besar keluarga saya di Beaufort dan Sipitang juga akan kembali ke pangkuan UMNO yang mempunyai rekod cemerlang dalam memperjuangkan dan membela nasib rakyat,” katanya.

Gambar-

KENAL LAMA … Haji Ali Dad bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada satu majlis.

Kota Marudu pusat sehenti pengeluaran bahan tanaman buah-buahan utara SabahKOTA MARUDU: Kota Marudu diaktifkan sebagai p...
05/08/2026

Kota Marudu pusat sehenti pengeluaran bahan tanaman buah-buahan utara Sabah

KOTA MARUDU: Kota Marudu diaktifkan sebagai pusat sehenti pengeluaran bahan tanaman buah-buahan bagi kawasan utara Sabah menerusi peruntukan RM450,000 yang diluluskan Kerajaan Negeri.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan sedia ada serta menambah bahan tanaman berkualiti.

"Projek ini bukan baharu kerana Pusat Pengump**an Buah-Buahan sudah diwujudkan sebelum ini. Namun, kemudahannya masih memerlukan penambahbaikan dan penambahan bahan tanaman," katanya pada Majlis Perasmian Program Jelajah Kebun Dapur di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, kementerian bersama agensi berkaitan akan berganding bahu sebagai satu pasukan bagi membantu petani, penoreh getah, penternak ikan serta pengusaha sektor pertanian lain melalui penyediaan kemudahan, khidmat nasihat dan bimbingan.

Menurutnya, kehadiran pegawai di lapangan mampu meningkatkan semangat petani untuk terus berusaha sekali gus memajukan sektor pertanian negeri.

"Diharapkan dalam tempoh lima tahun akan datang, sektor pertanian, penternakan dan industri makanan di Sabah akan berkembang dengan lebih baik," katanya.

Mengulas mengenai Program Jelajah Kebun Dapur, Jamawi berkata, Parlimen Kota Marudu merupakan lokasi kelapan pelaksanaan program itu.

Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan menghidupkan semula semangat bercucuk tanam dalam kalangan masyarakat melalui sokongan, bimbingan dan pemantauan berterusan.
"Pendekatan baharu ini memberi penekanan kepada usaha masyarakat terlebih dahulu sebelum bantuan disalurkan.

"Pegawai pertanian daerah bersama kementerian sentiasa bersedia membantu mengurus serta memantau aktiviti kebun dapur di daerah masing-masing," katanya.

Beliau berkata, program itu disasarkan untuk dilaksanakan di kesemua 25 kawasan Parlimen di Sabah.

STAR gesa belia, pencipta kandungan digital martabatkan sejarah Hari SabahKOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah...
05/08/2026

STAR gesa belia, pencipta kandungan digital martabatkan sejarah Hari Sabah

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, bersama Ketua Bahagian STAR Karambunai, Datuk Kapitan Stephen Teo, menggesa golongan belia dan pencipta kandungan digital memainkan peranan penting dalam memelihara serta mempromosikan sejarah sebenar Hari Sabah.

Dr Jeffrey berkata, generasi muda perlu memanfaatkan platform digital bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sejarah perlembagaan Sabah, khususnya kepentingan 31 Ogos 1963, iaitu tarikh Borneo Utara British mencapai pemerintahan sendiri sekali gus menamatkan secara rasmi era penjajahan British.

"Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi Sabah. Ia menandakan bermulanya pemerintahan sendiri dan kemerdekaan, serta berakhirnya penjajahan," katanya sambil merujuk kepada detik Gabenor British, Sir William Goode, meninggalkan Jesselton yang kini dikenali sebagai Kota Kinabalu.

Jeffrey, yang memperjuangkan pengiktirafan Hari Sabah selama beberapa dekad sehingga diwartakan secara rasmi, berkata pemahaman terhadap detik bersejarah itu penting bagi menghargai kedudukan perlembagaan Sabah sebagai rakan kongsi yang setara bersama Tanah Melayu dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.

"Usaha menghidupkan kembali detik bersejarah ini amat penting kerana ia menjadi asas kepada tuntutan Sabah untuk diiktiraf sebagai rakan kongsi yang setara dalam Persekutuan Malaysia. Selama enam dekad, bab penting ini sebahagian besarnya terpinggir daripada naratif sejarah arus perdana.

"Generasi hari ini perlu memastikan sejarah sebenar Sabah difahami, dihargai dan dipelihara demi generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, Stephen mengajak pencipta kandungan digital tempatan, pertubuhan belia serta pengamal media memanfaatkan pelbagai platform seperti video pendek, podcast, infografik dan media sosial bagi menyampaikan sejarah Sabah dengan pendekatan yang lebih dekat serta relevan kepada generasi muda.

"Selama beberapa dekad, 31 Ogos lebih banyak dilihat melalui lensa sambutan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957," katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan rasmi Hari Sabah membuka ruang kepada komuniti kreatif tempatan untuk mengetengahkan perjalanan sejarah negeri itu menerusi kandungan digital yang menarik, berasaskan fakta dan mudah difahami.

Menurutnya, penyampaian sejarah yang tepat dan kreatif mampu membantu generasi muda memahami dengan lebih mendalam pencapaian pemerintahan sendiri Sabah sebelum pembentukan Malaysia.

Kedua-dua pemimpin itu turut menggalakkan sekolah, institusi pengajian tinggi, pertubuhan masyarakat, pertubuhan belia serta pempengaruh digital di seluruh Sabah menganjurkan pelbagai program pendidikan dan inisiatif kreatif sempena sambutan tahunan Hari Sabah pada 31 Ogos.

PROTUNe Sabah Catat Jualan Lebih RM1.4 JutaKOTA KINABALU: Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Sabah 2025 mere...
05/08/2026

PROTUNe Sabah Catat Jualan Lebih RM1.4 Juta

KOTA KINABALU: Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Sabah 2025 merekodkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM1,408,632.26 sepanjang sembilan bulan pelaksanaannya.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, syarikat-syarikat PROTUNe yang ditubuhkan oleh pelajar sekolah turut mencatat keuntungan bersih sebanyak RM380,098.41.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan kesungguhan, kreativiti dan komitmen pelajar serta guru pembimbing dalam membangunkan syarikat sekolah masing-masing.

“Namun, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui jumlah jualan atau keuntungan, tetapi juga pengalaman, keyakinan serta kemahiran kepimpinan, komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan yang berjaya dibentuk.

“Semoga pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh mampu melahirkan usahawan baharu yang berdaya saing serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First.

“Dalam ekonomi yang sentiasa berubah, kita memerlukan lebih ramai anak muda yang mampu mencipta peluang pekerjaan. Justeru, PROTUNe amat penting dalam melahirkan usahawan muda yang inovatif, berdaya tahan dan kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNe Peringkat Negeri Sabah 2025 di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan dana tambahan sebagai penghargaan kepada sekolah-sekolah finalis.

“Saya bersetuju menambah hadiah kepada 15 sekolah finalis dengan setiap sekolah menerima dana tambahan sebanyak RM2,000 menerusi Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri (MINDET).

“Selain itu, dana tambahan sebanyak RM10,000 turut disalurkan kepada syarikat sekolah yang menerima Anugerah PROTUNe 2025,” katanya.

Menurut Ewon, statistik alumni PROTUNe menunjukkan impak positif program itu apabila 68 peratus melanjutkan pengajian, 21 peratus telah bekerja, sembilan peratus sedang mencari pekerjaan dan dua peratus memilih menceburi bidang keusahawanan.

Pada majlis berkenaan, SMK Sepagaya, Lahad Datu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Syarikat PROTUNe Terbaik 2025, sekali gus membawa p**ang wang tunai RM2,500, piala dan sijil.

Kerjasama Persekutuan-Negeri perlu diperkukuh demi kecemerlangan penyampaian perkhidmatanKOTA KINABALU: Kerjasama antara...
05/08/2026

Kerjasama Persekutuan-Negeri perlu diperkukuh demi kecemerlangan penyampaian perkhidmatan

KOTA KINABALU: Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab berkata, hubungan erat, harmoni dan positif antara agensi Persekutuan dengan rakan sejawat di peringkat Kerajaan Negeri Sabah perlu sentiasa dipelihara dalam usaha memacu kecemerlangan pentadbiran.

Beliau berkata, keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat bergantung kepada tahap kolaborasi antara kedua-dua pihak.

"Kita tidak boleh bekerja secara berasingan atau terperangkap dalam mentaliti silo. Sebaliknya, semangat Sabah Maju Jaya perlu diperkukuhkan menerusi gerak kerja yang lebih bersepadu, sinergi dan saling melengkapi.

"Hubungan baik ini bukan sekadar memenuhi protokol rasmi, malah menjadi jambatan utama dalam mempercepat pembangunan serta penyelesaian pelbagai isu setempat," katanya ketika menyampaikan amanat pada Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah Bilangan 2/2026 di Dewan Mengkabong, INTAN Kampus Sabah, di sini, pada Rabu.

Mohd Razali berkata, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus diperkasakan berasaskan rasa hormat, kepercayaan serta matlamat bersama untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat Sabah dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penjawat awam Persekutuan di Sabah agar mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan menerusi budaya kerja berprestasi tinggi.

"Saya berharap seluruh warga penjawat awam Persekutuan di Sabah mampu menerajui transformasi budaya kerja yang berorientasikan keberhasilan.

"Fokus utama ialah meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam melalui pemanfaatan inovasi digital serta tindakan yang pantas.

"Setiap penjawat awam juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab dan kepekaan tinggi dalam menangani permasalahan rakyat supaya setiap dasar Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan impak maksimum demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini," katanya.

Seramai 161 ketua jabatan dan wakil badan berkanun Persekutuan menghadiri mesyuarat itu bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pentadbiran, pembangunan dan keselamatan di Sabah.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Sabah Development and Investment Authority (SEDIA), Datuk Seri Panglima Hashim Paijan serta Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis.

KKM digesa pantau dan struktur semula jadual kerja jururawat hospitalKOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)...
05/08/2026

KKM digesa pantau dan struktur semula jadual kerja jururawat hospital

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa agar segera memantau dan menstruktur semula jadual kerja kakitangan hospital, khususnya jururawat, demi kesejahteraan mereka serta keharmonian institusi keluarga.

Mantan Presiden KPKAS merangkap Ahli Jawatankuasa Job Description KKM, Halim Satoh menegaskan bahawa isu syif malam berpanjangan sehingga seminggu berturut-turut bukanlah perkara baharu, malah pernah disuarakan oleh para suami yang mendakwa ia menjejaskan hubungan rumah tangga.

“Apabila jururawat terpaksa bekerja syif malam secara berterusan, bukan sahaja kesihatan fizikal dan mental mereka terjejas, malah keseimbangan keluarga turut terganggu,” katanya.

Walaupun KKM memiliki beberapa buah Institut Latihan KKM (ILKKM), kapasiti pelatih adalah terhad.

Proses lantikan selepas tamat kursus sering mengambil masa kerana bergantung kepada bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Statistik dalaman menunjukkan nisbah jururawat kepada pesakit di hospital kerajaan masih rendah berbanding piawaian WHO, iaitu 1 jururawat bagi setiap 300 pesakit luar sehari.

Kajian kesihatan pekerjaan mendapati jururawat yang bekerja syif malam berpanjangan berisiko 40 peratus lebih tinggi mengalami tekanan emosi dan gangguan tidur.

Beliau mencadangkan agar KKM mewujudkan sistem kawalan jadual syif agar tiada jururawat ditugaskan syif malam lebih daripada tiga hari berturut-turut.

Dengan pengumuman terbaru oleh Ketua Pengarah JPA yang menurunkan kuasa kepada KKM untuk melantik 9,000 anggota baharu, langkah ini harus dipercepatkan bagi mengurangkan beban kerja.

Katanya, hospital perlu menyediakan kaunseling dan program sokongan keluarga untuk jururawat yang bertugas syif malam.

Selain itu, KKM digesa menjalankan kajian berkala mengenai kesan jadual kerja terhadap produktiviti dan kesejahteraan keluarga jururawat.

Beliau juga mencadangkan agar pemantauan kesihatan kendiri kakitangan KKM wajib dibuat setiap tahun melalui saringan NCD (Non-Communicable Diseases) dan CDC (Communicable Diseases) bagi memastikan semua staf sihat dan fit untuk bertugas.

“Langkah proaktif ini bukan sahaja akan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, tetapi juga memastikan jururawat kita dapat berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengorbankan kesejahteraan keluarga,” kata Halim Satoh.

Kepsyen-

BERKUNJUNG.. Mantan Presiden KePKAS berserta rombongan dari Sabah & Semenanjung melakukan kunjungan hormat sebelum bersara pilihan terhadap Dr. Ismuni Bohari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam KKM DU Putrajaya. Turut Kelihatan TS. Ridzuan Salleh Ketua Skim Perkhidmatan Inspektorat & Perundangan, KKM.

Produksi 'Tetamu' kembali gegarkan Festival Teater Zon SabahKOTA KINABALU: Produksi teater Tetamu kembali menggegarkan p...
04/08/2026

Produksi 'Tetamu' kembali gegarkan Festival Teater Zon Sabah

KOTA KINABALU: Produksi teater Tetamu kembali menggegarkan pentas Festival Teater Zon Sabah pada 14 Ogos ini di Auditorium JKKN Sabah dengan menampilkan gabungan pelakon baharu dan barisan pelakon asal dalam sebuah naskhah yang sarat dengan mesej kemanusiaan.

Pelakon jemputan, Tasia Arlina yang membawakan watak Rin serta Ramli Ahmad sebagai Quan dijangka memberi nafas baharu kepada persembahan itu, manakala pelakon asal iaitu Faredah Ibrahim, Jali Making, Nordin Samark dan Abdul Rashid terus mengekalkan roh serta identiti produksi berkenaan.

Penerbit produksi, Jeliah Jamuan berkata, latihan intensif yang dijalankan bukan sekadar persiapan teknikal, sebaliknya menjadi proses membina disiplin, keserasian dan penghayatan terhadap karya.

"Setiap pelakon adalah jiwa kepada karya ini. Menjadi tanggungjawab saya memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik, selesa dan dihormati sepanjang proses kreatif," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengarah Mastari Kanjabun yang menerajui hala tuju kreatif produksi serta sinografer Ezwan Azzally @ Alloy yang bertanggungjawab membina visual pementasan.

Menurutnya, Tetamu bukan sekadar karya hiburan, malah menjadi medium menyampaikan mesej kemanusiaan yang mengajak penonton menghayati nilai kehidupan, harapan, keberanian dan pilihan yang dihadapi setiap insan.

Dengan gabungan pengalaman pelakon lama serta suntikan tenaga baharu, produksi itu dijangka tampil lebih segar dan berkesan.

Orang ramai, khususnya pencinta teater di Sabah, dijemput menyaksikan persembahan Tetamu pada 14 Ogos 2026, jam 8 malam di Auditorium JKKN Sabah.

Foto:
-Penerbit produksi, Jeliah Jamuan.
-Tasia Arlina Ismail sebagai Rin.
-Ramli Ahmad sebagai Quan.
-Faredah Ibrahim sebagai Anggota 1.
-Jali Making sebagai Anggota 2.
-Nordin Samark sebagai Anggota 3.
-Abdul Rashid Abdul Ghani sebagai Anggota 4.

Address

Lot 06, 3-3/11
Kota Kinabalu
88000

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Sabah360 Online posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share