
18/08/2025
Anak Sabah Harumkan Sabah di Pentas Asiaβ
Persatuan Karate Sabah (SKA) menamatkan saingan di tempat kesembilan keseluruhan dalam kategori kelab pada Kejohanan Terbuka Remaja Asia Ke-2 yang berlangsung di Linping, Hangzhou, China dari 12 hingga 16 Ogos lalu.
Meskipun hanya menghantar enam atlet, pasukan SKA berjaya mencatat pencapaian membanggakan dengan meraih dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa sepanjang kejohanan lima hari itu.
Dua emas masing-masing disumbangkan oleh Neyo Chai Xiao Le dalam acara kata individu lelaki bawah 14 tahun dan Danish Rayyan Rajis bagi acara kata individu lelaki kadet.
Pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Wuhan, China, SKA menurunkan 19 atlet dan berjaya menamatkan saingan di tempat ketujuh menerusi kutipan satu emas, lima perak dan empat gangsa.