23/01/2026
DR. JEFFREY, ANAK EMAS MOMOGUN YANG SEJATI
Oleh Datuk Raymond Tombung, Penasihat STAR
Dalam peristiwa panjang dan bersejarah perjalanan politik Sabah - yang terukir dengan perjuangan menuntut autonomi, keadilan dan jati diri - tidak banyak nama yang bersinar dengan keunggulan yang begitu berkekalan seperti Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan, Huguan Siou Lundu Mirongod, Pemikir Agung Berani, bagi suku-suku Momogun.
Selama lebih empat dekad, perjalanan hidup beliau menjadi bukti nyata keberanian yang tidak gentar, pegangan prinsip yang tidak goyah, serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan hak dan kedudukan Sabah yang wajar dan setara dalam Persekutuan Malaysia.
HATI SEORANG ANAK TANAH TINGGI
Dilahirkan di tanah tinggi Tambunan yang indah berselubung kabus, Dr Jeffrey melambangkan semangat jiwa Sabahan yang kental - tabah menghadapi kesukaran, teguh berprinsip, dan amat berbangga dengan warisan budaya. Beliau bukan sekadar seorang ahli politik, tetapi lambang suara nurani Sabah, seorang tokoh yang memikul aspirasi negeri ini dengan keilmuan seorang sarjana dan jiwa seorang pejuang.
Dalam tempoh puluhan tahun yang dipenuhi banyak perubahan pakatan dan badai politik, beliau tidak pernah menyimpang daripada satu kebenaran yang kekal: Sabah tidak boleh sama sekali diperlakukan sebagai tanah jajahan, sebaliknya mesti dihormati sebagai rakan setara dalam Malaysia. Bagi beliau, perjuangan ini bukan tentang jawatan atau kuasa, tetapi tentang prinsip - bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk Sabah.
HARGA SEBUAH PRINSIP
Keyakinan yang berakar pada kebenaran sering menuntut harga yang mahal. Bagi Dr Jeffrey, perjuangan menuntut keadilan untuk tanah airnya menuntut pengorbanan, bukan keselesaan. Pada awal 1990-an, beliau dipenjarakan selama dua tahun tujuh bulan - bukan kerana rasuah atau kepentingan peribadi, tetapi kerana berani memperjuangkan hak muktamad Sabah untuk membebaskan diri daripada ketidakadilan dan apa yang beliau sifatkan sebagai neo-penjajahan oleh Malaya.
Pemenjaraan beliau kekal sebagai salah satu bab paling menyentuh dalam sejarah moden Sabah - kisah keberanian menentang paksaan, dan integriti yang tidak hancur oleh ugutan. Ketika orang lain mungkin tunduk, Jeffrey keluar daripada ujian itu seperti emas yang ditempa api - lebih kuat, lebih bijaksana, dan lebih teguh daripada sebelumnya. Pengalaman pahit itu menjadi lencana kehormatan, bukti suci tentang harga berdiri tegak dalam dunia yang sering menjauhi perjuangan yang berani dan sanggup mengorban diri.
MINDA IVY LEAGUE, HATI SABAHAN
Tidak ramai pemimpin yang mampu menggabungkan kecerdasan intelektual dan semangat patriotik sehebat Dr Jeffrey. Sebagai graduan Universiti Harvard, salah satu institusi Ivy League paling berprestij di dunia, beliau tergolong dalam kalangan minda terbaik, crème de la cream, yang pernah dilahirkan Sabah.
Di Harvard, beliau mendalami disiplin tadbir urus, kepimpinan dan pembinaan negara, menyerap ilmu daripada pemikir global terunggul. Namun, berbeza dengan ramai yang mungkin memilih keselesaan di luar negara, hati Jeffrey tetap berdenyut untuk tanah tumpah darah, ibu pertiwinya. Beliau pulang - bukan demi keistimewaan atau prestij - tetapi untuk berkhidmat, mempertahankan dan mengangkat martabat rakyatnya.
Diiktiraf oleh Harvard sebagai “One of the World’s Intellectuals” (seorang daripada para intelek bertaraf dunia), beliau membuktikan bahawa minda Harvard boleh berdenyut dengan hati Sabahan, menyatukan intelek global dengan kesetiaan tempatan demi satu tujuan murni: membina Sabah yang lebih baik untuk generasi akan datang.
PEMBINA VISI DAN WARISAN
Kepimpinan Dr Jeffrey melangkaui politik yang biasa. Kebangkitan Sabah yang dibawanya sentiasa merangkumi pendidikan, pemeliharaan budaya dan pemerkasaan komuniti melalui proses pembangunan insan.
Beliau menubuhkan Kadazandusun Development Institute (KDI) bagi memupuk kebergantungan kendiri dan pembangunan akar umbi, dengan penekanan kepada pendidikan serta pemerkasaan masyarakat luar bandar Sabah. Yayasan ini kemudiannya berkembang menjadi Borneo Heritage Foundation (BHF) - sebuah institusi budaya dan sejarah yang didedikasikan untuk memelihara warisan spiritual perjuangan hak Sabahan melalui platform politik yang menyedarkan rakyat Sabah bagaimana negeri yang kaya dengan sumber semula jadi boleh menjadi negeri termiskin.
Program pendidikan BHF mencetuskan kebangkitan kesedaran yang kuat dalam kalangan masyarakat luar bandar Sabah, yang akhirnya membawa kepada penubuhan parti politik Dr Jeffrey, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada hari ini.
Melangkaui skop tempatan Sabah, pengaruh beliau merentasi seluruh pulau melalui Borneo Dayak Forum International, yang dipimpinnya sebagai presiden. Gerakan ini menyatukan masyarakat pribumi Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, menghidupkan kembali ikatan kekeluargaan purba bangsa Dayak merentas sempadan negara dan politik. Melalui inisiatif-inisiatif ini, Dr Jeffrey bukan sekadar negarawan, tetapi pembina bangsa dari segi roh dan jati diri, memupuk perpaduan anak-anak jati Borneo di bawah panji warisan bersama dan takdir halatuju milik bersama.
SARJANA DAN PENA: SUARA KEBENARAN DAN KEADILAN
Di luar dunia politik, Dr Jeffrey dikenali sebagai seorang sarjana, penulis dan sejarawan berjiwa nurani. Tulisan-tulisannya - teliti, berani dan berasaskan kajian mendalam - mencerminkan bukan sekadar kecerdasan, tetapi keberanian moral. Antara karya terpenting beliau ialah buku Justice for Sabah (Keadilan Untuk Sabah), sebuah karya berani dan bersejarah yang membongkar ketidakadilan sistematik yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap rakyat Sabah.
Dalam buku penting ini, Dr Jeffrey mendedahkan dengan bukti dan ketelitian bagaimana hak-hak Sabah terhakis selepas 1963 - bagaimana semangat Perjanjian Malaysia dicabuli, dan bagaimana “Projek IC” mengubah demografi serta masa depan Sabah melalui manipulasi politik.
Justice for Sabah bukan sekadar sebuah buku; ia adalah dokumen sejarah dan suara nurani - satu suara yang enggan membiarkan kebenaran tertimbus oleh kedudukan selesa. Ia kini menjadi bacaan wajib bagi para sarjana, pembuat dasar dan setiap rakyat Sabah yang ingin memahami akar perjuangan mereka.
Melalui pena beliau, Dr Jeffrey memastikan bahawa kisah Sabah ditulis bukan oleh pemenang, tetapi oleh kebenaran.
HUGUAN SIOU LUNDU MIRONGOD: PEMIKIR AGUNG BERANI
Sebagai pengiktirafan terhadap keberanian, kebijaksanaan dan khidmat seumur hidupnya kepada perjuangan Momogun, Dr Jeffrey telah dianugerahkan gelaran adat terhormat Huguan Siou Lundu Mirongod, yang bermaksud “Pemikir Agung Berani” - gelaran kedua tertinggi dalam kalangan masyarakat Kadazandusun-Murut, selepas gelaran Huguan Siou yang disandang oleh abangnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Gelaran suci ini bukan sekadar simbolik. Ia mengesahkan kedudukan beliau sebagai penjaga intelektual dan falsafah bangsanya - seorang pemimpin yang minda dan hatinya menjadi obor penunjuk arah kepada bangsa Momogun.
Sebagai Huguan Siou Lundu Mirongod, beliau melambangkan kesatuan jarang antara pemikiran mendalam, kebijaksanaan dan keberanian - seorang pemikir yang berani menyuarakan kebenaran, dan seorang pejuang yang mampu berfikir dengan hikmah.
KONSISTEN DALAM PERJUANGAN, TEGUH PADA TUJUAN
Sepanjang tahun-tahun penglibatan politiknya, laluan Dr Jeffrey merentasi pelbagai parti dan platform, mencerminkan landskap politik Sabah yang sentiasa bergelora. Pengkritik melabel beliau sebagai “pelompat parti”, namun mereka yang mengikuti perjalanannya dengan mata yang jernih mengetahui hakikat ini: pakatan mungkin berubah, tetapi idealismenya dan prinsip perjuangannya tidak pernah goyah.
Malah, penyingkiran beliau daripada beberapa parti politik - PBRS, PBS, dan juga UMNO Sabah - menjadi bukti kekuatannya, bukan ketidakkonsistenannya. Prinsip dan pengaruh beliau yang terlalu tegas dan berani telah menggugat kedudukan mereka yang lebih selesa dengan kepatuhan dan kesunyian daripada kebenaran. Namun, dalam setiap ujian, mesej beliau kekal jelas dan tidak berubah: memulihkan maruah Sabah, kesamarataan dan kedudukan sahnya sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.
Panji mungkin bertukar warna, tetapi keyakinannya kekal bersinar keemasan - warna semangat Sabah yang abadi, warna hati yang tidak pernah menyerah.
LEGASI UNTUK GENERASI MENDATANG
Dalam zaman politik yang sering tunduk kepada kepentingan sementara, Dr Jeffrey berdiri sebagai tokoh luar biasa - pembawa obor prinsip, sarjana berwawasan, dan patriot berintegriti tinggi.
Beliau bukan sahaja memberikan Sabah sebuah suara, tetapi juga kosa kata perjuangan dan kebebasan Sabah melalui slogan-slogan berwawasan seperti: “Kalau bikan sekarag bila lagi?”, “Kalau bukan kita siapa lagi?”, “Sabah untuk Sabahan”, “Unity is Duty” (Perpaduan Adalah Kewajipan)”, “Rumah Kita, Kita Jaga”, “Kalu B erani, Jangan Takut-Takut, Kalau Takut Jangan Berani-Berani”, dan “SOLO – Sabah Our Land Our Legacy”. Beliau telah membina institusi yang akan kekal melangkaui zamannya, serta menulis kebenaran yang akan bergema merentas generasi-generasi.
Bagi masyarakat Momogun, beliau ialah Huguan Siou Lundu Mirongod, pemimpin berani dan berfikir. Bagi dunia intelektual, beliau ialah seorang sarjana Harvard yang berintegriti dan mendalam ilmunya.
Bagi Sabah, beliau adalah - secara ringkas namun bermakna - seorang Anak Emas Momogun Yang Sejati, yang nyala perjuangan hidupnya terus menerangi jalan ke arah kesamarataan, kebebasan dan keadilan yang berkekalan.